Ingin tahu ayat kumpulan beriku mana yang betul atau tepat: Kumpulan A 1) Dia belajar bahasa Mandarin. 2) Kami berbahasa kantonis. 3) Orang Cina Pulau Pinang petah bertutur dalam bahasa Hokkein. Kumpulan B 1) Dia belajar Mandarin 2) Kami bertutr dalam kantonis. 3) Orang Cina Pulau Piang petah bertutur dalam Hokkein. Mandarin, Hokkein, Kantonis semuanya adalah loghat Cina, sesuaikah perkataan bahasa digunakan/diletak di hadapan loghat? Terima kasih. | Encik Tan, Perkataan bahasa hanya digunakan bagi bahasa Mandarin sahaja. Manakala bagi Hokien,Kantonis tidak diletakkan perkataan bahasa di depannya. Tetapi bagi ayat kami berbahasa/bertutur bahasa Cina dalam loghat Kantonis, Hokien dan sebagainya adalah betul. | Tatabahasa | 24.06.2010 |
Soalan saya berkaitan Papan Tanda. Boleh atau tidak Papan Tanda rasmi mengandungi ayat atau tulisan berbahasa CINA (Mandrin atau Kantonis). Jika boleh, bagaimana cara saya untuk dapatkan terjemahan tulisan atau bahasa CINA (Mandrin atau Kantonis) untuk : GELANGGANG BOLA KERANJANG KAMPUNG DESA AMAN. | Untuk makluman tuan, paparan di tempat awam termasuklah iklan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan. Jika bahasa Mandarin hendak dikekalkan, mesti ada padanan dalam bahasa kebangsaan, iaitu sediakan dalam dwibahasa (Melayu dan Mandarin). Untuk pengesahan iklan, kemukakan permohonan tuan melalui domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP". | Lain-lain | 03.04.2017 |
soalan kedua saya ialah, panggilan "Ah Moi" pada perempuan berbangsa cina. Ada tak perkataan lain yang dapat mengganti panggilan ini dengan lebih sopan? Ini adalah kerana pada pendapat saya, panggilan ini dalam masyarakat cina terutama orang kantonis, maksudnya adik perempuan, tetapi pada sesetengah orang, panggilan sebegini adalah panggilan untuk orang gaji mereka. Kadang-kala, penggunaan panggilan ini akan menyebabkan situasi yang kurang sopan dan salah faham antara bangsa. | Terima kasih atas maklumat yang diberikan. Pada pandangan saya panggilan 'Ah Moi' lebih kepada dialek tempatan yang digunakan dalam daerah tertentu dan dalam konteks yang tidak rasmi. Berdasarkan sumber rujukan kami tidak ada maksud bagi gelaran tersebut. Oleh itu, untuk mengelak salah faham tentang penggunaan gelaran itu sebaik-baiknya kita menggunakan gelaran yang baik seperti 'cik' untuk yang belum berkahwin dan 'puan' untuk wanita yang telah berkahwin. | Lain-lain | 10.12.2010 |
Kekeliruan rakyat tetap timbul mengenai istilah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, bahasa Melayu ialah bahasa rasmi yang mendukung sebagai bahasa Kebangsaan. Persoalannya mengapa istilah bahasa Malaysia digunakan dalam konteks ini.Bukankah bahasa Malaysia itu mencakupi bahasa Melayu,bahasa Mandarin,bahasa Kantonis,bahasa Tamil. bahasa Iban,bahasa Kadazan dan lain-lain? Mengapa DBP tidak bertegas dalam soal ini? | Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia bolehlah digunakan di samping istilah bahasa Melayu. | Istilah | 06.09.2009 |
Apakah istilah 'Sycee'(ENG) dalam Bahasa Melayu? Bolehkah Sycee diterjemah sebagai "Yuan Bao", mengikut sebutan Mandarin? Terima kasih. | “Sycee” bukan perkataan dalam bahasa Inggeris tetapi merupakan perkataan dalam bahasa Cina (dialek Kantonis) yang bermaksud “sutera halus”, “yuan bao” pula ialah dialek Mandarin yang digunakan untuk merujuk “kantung syiling”. Secara simboliknya, kedua-dua dialek ini digunakan untuk merujuk objek yang sama dalam bahasa Inggeris, iaitu “ingot” (Rujukan: Kamus Inggeris-Melayu Dewan). Maka, kami mencadangkan “sycee” diterjemahkan sebagai “jongkong”, iaitu ketulan logam (emas, perak dan lain-lain) yang berbentuk perahu. (Rujukan: Kamus Dewan Edisi Keempat) | Istilah | 27.05.2020 |