| APAKAH MASA DEPAN PELAJAR SEPERTI SAYA YANG MENGAMBIL STPM UNTUK MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU? | Sdr. boleh melanjutkan pelajaran sdr. ke peringkat paling tinggi dan seterusnya memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga, fikiran dan kerjasama kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh mana-mana agensi atau badan awam mahupun swasta untuk terus memartabatkan bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. | Lain-lain | 19.04.2008 |
| Assalamualaikum tuan/puan, saya bercadang untuk menterjemahkan istilah-istilah bagi bidang undang-undang yang masih belum mempunyai terjemahan dalam bentuk glosari. Soalan saya adakah apa-apa garis panduan untuk membuat glosari ini? Serta bagaimanakah saya boleh menghantar untuk disemak oleh pihak DBP? | Istilah dalam sesuatu bidang/subbidang akan digubal, disemak, dan disahkan melalui penubuhan jawatankuasa bukan secara individu. Jawatankuasa terdiri daripada pakar bidang yang merupakan ahli akademik, pengamal industri, penjawat awam/swasta yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu. Penerbitan buku istilah dikategorikan kepada daftar istilah, glosari istilah atau kamus istilah yang akan menjadi hak milik DBP atau organisasi kerjasama DBP tanpa melibatkan royalti kepada pakar bidang selaku ahli jawatankuasa. | Lain-lain | 21.09.2021 |
| Mohon kerjasama meneliti terjemahan Bahasa Melayu bagi jabatan-jabatan ini :- (1) Corporate Affairs & Communications - Hal Ehwal Korporat & Komunikasi (2) Financial & Management Audit - Audit Kewangan & Pengurusan (3) Investment Analysis - Analisa Pelaburan (4) Equity Market Operations - Operasi Pasaran Ekuiti (5) Fixed Income - Pendapatan Tetap (6) Performance & Portfolio Assessment - Penilaian Portfolio & Prestasi (7)Public Equity - Ekuiti Awam (8) Private Investment - Pelaburan Swasta (9) Corporate Planning & Strategy - Strategi & Perancangan Korporat (10) Landbanking - Perbankan Tanah (11) Investment Property - Pelaburan Harta (12) Affordable Housing - Perumahan Mampu Milik (13) Marketing & Sales - Pemasaran & Jualan (14) Agent Management & Customer Relations - Pengurusan Ejen & Perhubungan Pelanggan (15) Unit Trust Strategy & Product Management - Strategi Unit Amanah & Pengurusan Produk (16) Business Solutions - Solusi Perniagaan (17) Branch Management & Supervision - Pengurusan & Penyeliaan Cawangan (18) Unit Trust Operations & Record Administration - Operasi Unit Amanah & Pentadbiran Rekod (19) Investment Processing - Pemprosesan Pelaburan (20) Management Information System - Sistem Maklumat Pengurusan Terima kasih. | 1. Simbol & perlu dieja penuh "dan". 2. Investment Analysis = Analisis Pelaburan 3. Pelaburan Harta atau Harta Pelaburan? Kerana padanan bahasa Inggeris ialah Harta Perlaburan 4. Business Solutions = Penyelesaian Perniagaan | Penyemakan dan penterjemahan | 26.01.2017 |
| Salam sejahtera. Saya pelajar UPSI telah diberi tajuk kajian iaitu "pemantauan dan pengauditan bahasa DBP".. Apakah peranan DBP dalam pemantauan dan pengauditan bahasa tersebut? Harap dapat membantu. Terima kasih | Program Audit Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam dilaksanakan sebagai susulan daripada arahan YAB Timbalan Perdana Menteri untuk memantau pelaksanaan Pekeliling Bil. 9 Tahun 2011, Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam bagi menegaskan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan. Audit Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam ini bertujuan untuk membuat penilaian tentang tahap dan mutu bahasa Melayu yang digunakan bagi maksud urusan rasmi dalam negara, urusan rasmi antarabangsa, pengiklanan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam, perkhidmatan kaunter, maklum balas aduan dalam akhbar dan isu media massa serta paparan dan peragaan. Program ini dilaksanakan dengan melihat dua aspek utama, iaitu: (i) Tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam, dan (ii) Mutu bahasa kebangsaan yang digunakan. DBP melakukan pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, sektor awam, sektor swasta dan aduan pengguna. Pemantauan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang mencakupi papan iklan premis perniagaan, papan iklan luar, gegantung, kain rentang, penamaan bangunan dan jalan, pusat beli-belah dan lain-lain. Dewan Bahasa dan Pustaka akan mengeluarkan surat teguran kepada pihak yang melakukan kesalahan bahasa supaya kesalahan tersebut dibaiki atau surat penghargaan kepada pihak yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan serta yang baik dan betul. | Lain-lain | 30.10.2016 |
| Saya sedang mengikuti pengajian separuh masa sekarang ni dan saya juga sedang membuat kajian tentang bahasa kebangsaan kita.. soalan saya mengenai bahasa kebangsaan kita. Bahasa kebangsaan kita adalah bahasa utama di malaysia, tetapi bahasa yang selalu di pakai sekarang ialah bahasa international iaitu bahasa english. kenapakah kita tidak menggunakan bahasa kita dalam apa jua urusan di negara kita?bagaimanakah kita sebagai rakyat malaysia untuk membangunkan semula bahasa kebangsaan kita? bagaimana pula kerjasama kerajaan dan swasta dalam membangunkan bahasa kebangsaan? | Usul untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lambang penyatuan telah diterima dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (1957) apabila negara kita mencapai kemerdekaan. Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi yang tunggal dalam menggantikan bahasa Inggeris. Pelaksanaan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dikuatkuasakan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) melalui Seksyen 5, 6, 7 dan 8. Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang digunakan untuk tujuan perpaduan dalam kalangan warganegara manakala bahasa rasmi ialah bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan sehari-hari negara. Sesuatu bahasa itu tidak boleh dianggap bahasa rasmi hanya kerana terdapat undang-undang dan peruntukan dalam perlembagaan yang memberikan taraf tersebut. Sesungguhnya bahasa itu sendiri haruslah dapat berfungsi sebagai bahasa rasmi apabila memenuhi beberapa kegiatan pada peringkat kenegaraan seperti:· Sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan semasa menjalankan tugas-tugas rasmi negara;· Sebagai media segala urusan surat-menyurat dalam dan antara jabatan kerajaan;· Digunakan dalam semua rekod kerajaan;· Sebagai media untuk menulis semua undang-undang dan peraturan negara; dan · Digunakan dalam semua jenis borang urusan rasmi kerajaan. DBP menjalankan pengembangan bahasa Melayu dalam negara terbahagi kepada sektor awam dan sektor swasta. Untuk sektor awam, empat sektor utama yang terlibat, iaitu Sektor Kerajaan Pusat; Sektor Kerajaan Negeri dan Tempatan; Sektor Badan Berkanun; dan Sektor Pendidikan. Manakala dalam sektor swasta pula tumpuan diberikan kepada empat sektor, iaitu Sektor Perdagangan Dalam Negeri; Sektor Perkhidmatan Kewangan; Sektor Industri Khusus; dan Sektor Media Massa. | Lain-lain | 10.05.2008 |
| Salam sejahtera. Saya ingin cadangkan bahawa satu jawatan baharu digelar 'Pesuruhjaya Bahasa Malaysia' diujudkan. Antara tugas utama pegawai ini adalah untuk mengesahkan betul (dari segi tatabahasa, nahu dsbnya) dokumen yang penting termasuk papan-tanda/notis yang hendak dipamerkan kepada umum. Saya dapati pencemaran bahasa Bahasa Malaysia mahu pun Inggeris berlaku secara berleluasa sekarang dan pihak kerajaan hendaklah mewajibkan semua dokumen tertentu dan papantanda/notis yang disahkan oleh pegawai tersebut sahaja boleh diterima. Pegawai ini hendaklah dilantik oleh DBP dan status mereka adalah sebagai pegawai badan berkanun atau pun swasta seperti Pesuruhjaya Sumpah. Sekian, terima kasih. KRISHNAN | Terima kasih atas keprihatinan tuan. Untuk makluman tuan, setiap permohonan iklan perlu mendapat pengesahan bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Apa yang berlaku mungkin terdapat iklan yang tidak disahkan tetapi diletak untuk paparan di tempat awam. Kami berharap dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk orang awam dengan melaporkan kesalahan bahasa yang ditemukan kepada DBP masalah seperti ini dapat kita kurangkan sedikit demi sedikit. Aduan kesalahan bahasa boleh disalurkan melalui domain "Pantau Tegur Bahasa". | Pengembangan | 30.06.2015 |
| Cadangan: Di negara-negara Asia timur seperti Jepun,Korea,malahan di rantau Asia seperti China,Thailand,Loas,Vietnam,Filipina dsbnya meletakkan bahasa kebangsaan masing-masing di atas bahasa Inggeris,.Hal ini dapat dilihat pada singboard2 sama ada merujuk lokasi-lokasi mahupun iklan-iklan.Saya sebagai pencinta bahasa Melayu menyimpan hasrat dan cita-cita agar Malaysia mengorak langkah yang sama.hasrat kerajaaan memartabatkan bahasa Melayu boleh diambil melalui langkah tersebut.Oleh hal yang demikian, DBP diharap dapat memainkan peranan agar menjadi institusi yang lebih dinamik untuk merealisasikan cita-cita tersebut,sekian-matpapaya n geng | Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera; mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan; membakukan ejaan dan sebutan; menggalakkkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas. Namun DBP belum diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Untuk itu DBP menggunakan kuasa yang sedia ada pada pihak berkuasa tempatan melalui undang-undang kecil iklan, peraturan dan garis panduan yang disediakan. DBP mengadakan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa tempatan seperti DBKL bagi memastikan paparan di tempat awam menggunakan bahasa yang baik dan betul. DBP sentiasa berusaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bergerak dalam ruang lingkup kuasa yang ada. Martabat bahasa kebangsaan lebih terserlah apabila digunakan dalam urusan kenegaraan untuk maksud rasmi dalam kalangan jabatan sektor awam, antara sektor awam dengan sektor swasta, dan antara sektor awam dengan orang awam. | Lain-lain | 04.06.2011 |
| apakah kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam text tersebut? Penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial (MPKS) yang berperanan mengiktiraf, mendaftar dan mengawal selia amalan kerja sosial di negara ini dicadangkan untuk dimasukkan dalam penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS). Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata MPKS akan bertindak sebagai medium untuk membincangkan cadangan penambahbaikan latihan dan program pembangunan profesional berterusan bukan hanya dalam kalangan penjawat awam, tetapi juga kepada mereka yang terlibat dalam kerja sosial di sektor swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Ini akan membantu melancarkan jaringan kerjasama dalam penyampaian perkhidmatan yang profesional, perkongsian amalan terbaik dan menyokong profesion menerusi rangkaian badan profesion lain termasuklah pada peringkat antarabangsa," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. | Untuk membantu tuan membuat semakan berkenaan tatabahasa yang betul, puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015) atau menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). | Tatabahasa | 05.05.2024 |