| adakah perkataan anasir hanya digunakan untuk konotasi negatif sahaja? boleh ke guna istilah anasir untuk ganti elemen/prinsip spt anasir islam dalam pemakanan? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (2020), perkataan anasir mempunyai empat makna. Makna pertama, fahaman, perbuatan dan sebagainya yang tidak diterima oleh masyarakat pada keseluruhannya. Makna kedua, unsur atau faktor yang mempengaruhi sesuatu, manakala makna ketiga ialah zat yang empat, iaitu air, api, tanah dan angin yang dipercayai menjadi asas segala yang wujud di seluruh alam. Makna keempat, segala yang terdapat di dunia. Walau bagaimanapun, penggunaan anasir bagi ayat ...anasir Islam dalam pemakanan adalah kurang tepat kerana berdasarkan kaedah penyusunan kamus, makna sesuatu perkataan disusun mengikut kekerapan penggunaan. Oleh itu, secara umumnya, makna anasir lebih kepada maksud negatif (makna pertama). | Makna | 07.10.2025 |
| Boleh berikan perbezaan aspek penggunaan "bak, umpama, laksana, macam, bagai, seperti" dalam bandingan semacam? | Kata bak, umpama, laksana, macam, bagai dan seperti berada dalam medan semantik yang sama. Perbezaan antara kata tersebut sukar digarissempadankan kecuali dengan melihat laras penggunaan dan makna-makna bagi setiap kata. Misalnya kata umpama dan laksana lebih bersifat puitis jika dibandingkan dengan kata macam, dan makna bagi kata umpama mempunyai lima pecahan makna berbanding macam yang mempunyai tiga pecahan makna. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dalam takrifan bagi setiap kata tersebut. | Makna | 14.03.2024 |
| Apakah perbezaan bagi penggunaan istilah "budak-budak", "anak-anak" dan "kanak-kanak" dalam sesuatu konteks yang tertentu? | Konteks penggunaan "kanak-kanak" dipecahkan kepada konteks makna Undang-undang dan makna umum. Makna umum "kanak-kanak" luas kepada sinonim kata "budak-budak" dan "anak-anak" dalam bilangan jamak (lebih daripada seorang). Lazimnya kesesuaian untuk memilih antara ketiga-tiga perkataan lebih sesuai dalam gaya percakapan biasa atau bukan laras bahasa tinggi. Sebagai contoh ketiga-tiga perkataan boleh disetarakan dalam ayat: Mereka masih kanak-kanak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih anak-anak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih budak-budak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Tidak sepatutnya menukar ganti "kanak-kanak" dengan mana-mana kata lain tadi dalam contoh penggunaan seperti: Novel kanak-kanak terbitan DBP. taman asuhan kanak-kanak Hari Kanak-kanak Sedunia Untuk perincian takrif "kanak-kanak", "budak-budak" dan "anak-anak", sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 09.07.2025 |
| Apakah yang dimaksudkan dengan semantik? | Assalamualaikum wbt Makna semantik menurut Nik Safiah Karim (2001) ialah bidang yang mengkaji makna atau erti dalam sesuatu bahasa. Semantik juga boleh dirujuk sebagai sistem dan kajian tentang makna dalam bahasa (Kamus Linguistik ,1997). Menurut J.W.W Verhaar (1996: 284), semantik ialah cabang linguistik yang membahaskan erti atau makna. Abdul Chaer (1984: 284) pula mendefinisikan semantik sebagai bidang kajian linguistik yang objek penelitiannya ialah makna bahasa. Makna dalam sesuatu bahasa sentiasa mengalami perubahan dan berkembang mengikut peredaran masa. | Makna | 18.09.2024 |
| apakah perbezaan penyenggaraan dan penyelenggaraan. mohon bantuan untuk sertakan bersama contoh, kesesuaian ayat digunakan dan info terperinci. Terima kasih. | Kata penyenggaraan dan penyelenggaraan mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun penyelenggaraan mempunyai makna tambahan. Makna sesuatu kata di dalam kamus dipecahkan mengikut konteks penggunaannya oleh masyarakat. Berikut merupakan makna berserta ayat contoh bagi kata penyenggaraan dan penyelenggaraan dalam Kamus Dewan Perdana: senggara سڠݢارا [səŋ·gɑ·rɑ] menyenggarakan مڽڠݢاراکن [mə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: disenggarakan, senggarakan] kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan lain-lain) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kos menyenggarakan taman laut itu agak tinggi, maka caj terpaksa dikenakan kepada pengunjung.◆Setiap jurutera akan menyenggarakan pesawat yang mengalami kerosakan dengan bantuan mekanik.◆Landskap boleh direka secara ringkas supaya senang untuk disenggarakan. penyenggaraan ڤڽڠݢاراءن [pə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·ɑn] n perbuatan menyenggarakan sesuatu: Penyenggaraan itu dijalankan di hangar Malaysia Airlines. selenggara سلڠݢارا [sə·ləŋ·gɑ·rɑ] menyelenggara مڽلڠڬارا [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ] ktt memelihara atau menjaga bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kerja-kerja menyelenggara akan dimulakan segera. menyelenggarakan مڽلڠݢاراکن [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: diselenggarakan, selenggarakan] 1 kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Sepuluh orang pekerja ditugaskan untuk menyelenggarakan kawasan taman istana ini setiap hari.◆Landasan kereta api diselenggarakan oleh pekerja mahir. 2 kt mengatur dan mengurus (pertandingan, pameran dan lain-lain) supaya lancar dan sempurna: Pegawai ini telah ditugaskan untuk menyelenggarakan pameran buku agama Islam.◆Kursus kepimpinan ini diselenggarakan oleh Jabatan Perdana Menteri. 3 kt mengurus dan mengerjakan (ladang, kilang dan lain-lain) supaya berjalan dengan baik Syarikat menghabiskan banyak wang untuk menyelenggarakan kilang dan peralatannya.◆Ladang yang luas wajar diselenggarakan mengikut pengetahuan sains. 4 kt menjalankan atau melaksanakan (rancangan, perintah dan lain-lain) Parlimen harus menyelenggarakan tanggungjawab secara berkesan. penyelenggaraan ڤڽلڠݢاراءن [pə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·ɑn] 1 n hal atau perbuatan menyelenggara atau menyelenggarakan: Pengetahuan dan kemahiran penyelenggaraan komputer sangat penting pd masa kini. 2 n hal atau perbuatan mengawasi atau menjaga kesihatan, keselamatan dsb: Para doktor terlatih bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kesihatan pesakit yang mendapatkan rawatan di sini. | Makna | 08.08.2025 |
| Perbezaan makna kukus, rebus, bakar dan goreng. | Assalamualaikum, Merujuk kepada soalan puan, perbezaan makna perkataan kukus, rebus, bakar dan goreng dijawab berdasarkan penggunaan kata dalam bidang masakan: 1. kukus (makna ke-4 lihat mengukus) Makna mengukus - memasak atau memanaskan sesuatu dengan menggunakan wap air mendidih Contoh ayat - Memasak dengan cara mengukus dapat mengekalkan rasa dan zat bahan yang digunakan dalam sesuatu makanan. 2. rebus (makna ke-2 lihat merebus) Makna merebus - memasak (sesuatu) dalam air yang mendidih supaya masak, empuk dan sebagainya Contoh ayat - Nenek merebus jagung yang sudah dibuang kulitnya. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. 4. goreng (makna ke-3 lihat menggoreng) Makna menggoreng - memasak (telur, ikan, ayam dan sebagainya) dengan memasukkannya ke dalam kuali atau periuk yang mengandungi minyak Contoh ayat - Kak Halimah menggoreng pisang nangka. Puan disarankan merujuk Kamus Dewan Perdana untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai kata. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |
| makna perkataan - VIRTUAL STUDIO | Padanan bahasa Melayu bagi istilah virtual studio ialah studio maya. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 01.02.2023 |
| Perbezaan gril, panggang dan bakar untuk memasak | Assalamualaikum, Perbezaan makna perkataan gril, panggang, dan bakar untuk memasak: 1. gril (makna ke-4 lihat menggril) Makna menggril - memanggang (ikan, daging dan sebagainya) di atas gril Contoh ayat - Sebaiknya makanlah makanan yang direbus, digril atau dikukus. 2. panggang (makna ke-2 lihat memanggang) Makna merebus - memasak (makanan seperti daging, ikan atau pulut) dengan meletakkannya di atas bara, di dalam ketuhar dan sebagainya Contoh ayat - Dia memanggang daging yang dipotong itu di dalam ketuhar. - Ikan yang dipanggang tadi perlu dibalik-balikkan supaya masak dengan sekata. 3. bakar (makna ke-2 lihat membakar) Makna membakar - memasak (sesuatu) dengan meletakkannya di atas api atau di dalam alat yang mengandungi haba, misalnya ketuhar Contoh ayat - Zamri sedang sibuk membakar sate bersama pekerjanya. - Kek dibakar dalam ketuhar pada suhu 180°C. Terima kasih. | Makna | 02.11.2024 |
| Adakah tanah runtuh merupakan kata majmuk? | "Tanah runtuh" ialah kata majmuk. Kata majmuk merupakan bentuk kata yang wujud, apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna tertentu. Makna kedua-dua perkataan tersebut adalah seperti yang berikut: i. Tanah - permukaan bumi ii. Runtuh - jatuh atau roboh Apabila kedua-dua perkataan tersebut digabungkan, maka wujudnya kata majmuk, "tanah runtuh", iaitu merujuk kepada fenomena geologi yang melibatkan tanah atau batuan runtuh dari cerun atau kawasan tinggi – satu makna yang khusus, berbeza daripada makna perkataan asal secara berasingan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 48 - 49. | Tatabahasa | 06.09.2025 |
| Kami berhasrat mendapatkan makna, maksud, definasi "Sensora" dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, secara rasmi dan bertulis. | Maaf. Tiada kata dan makna/definisi yang terakam dalam kamus dan istilah (PRPM) bagi kata sensora. | Makna | 10.01.2024 |