tuan, saya difahami bahawa kata pemeri ialah, untuk frasa nama manakala untuk kata adjektif, perlu guna adalah. Merah jambu ialah kata adjektif warna. Oleh itu, saya ingin tahu adakah ayat ini betul: Warna gincu pada bibirnya ialah merah jambu. Harap pencerahan. Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | Ayat yang betul ialah Gincu pada bibirnya berwarna merah jambu. | Lain-lain | 19.09.2021 |
Adakah 'kata majmuk' merupakan sebahagian daripada 'frasa' kerana saya mendapati bahawa contoh yang diberikan untuk 'kata adjektif majmuk' (merah jambu, hijau daun, biru laut m.s:242) sama dengan contoh yang dikemukakan untuk 'frasa adjektif yang membawa maksud keserupaan' (merah jambu, hijau daun, biru laut m.s: 409) : Tatabahasa Dewan Edisi ketiga | Betul, kata majmuk merupakan sebahagian daripada frasa. | Tatabahasa | 06.03.2012 |
1. Segi tiga, ringan tulang, anak pungut, bilik mandi adakah tergolong dalam jenis kata majmuk bebas? 2. Air hujan , pita suara, batu kapur, garis pusat..yang mana satukah jenis kata majmuk istilah khusus? 3. Pukul curi, merah jambu, biru laut, buah hati . Antara berikut yang manakah jenis kata majmuk kiasan? | 1. Segi tiga dan bilik mandi. 2. Pita suara, batu kapur dan garis pusat. 3. Buah hati dan pukul curi. | Tatabahasa | 17.10.2013 |
Mohon terjemahkan warna-warna ini di dalam Bahasa Malaysia: Powder blue Mint green Pale green Dusty pink Banana Toffee Beige Pink champagne Burnt orange Brown | Berikut ialah cadangan terjemahan sekiranya sesuai dengan konteks penggunaan: i. Powder blue - Biru serbuk ii. Mint green - Hijau pudina iii. Pale green - Hijau pucat iv. Dusty pink - Merah jambu pudar v. Banana toffee - Perang muda vi. Beige pink - Merah jambu kuning air vii. Champagne burnt - Merah tua perang viii. Orange brown - Perang jingga | Makna | 29.01.2021 |
Adakah koma (,) perlu diletakkan selepas perkataan iaitu? Sekiranya ya, dalam situasi apakah koma perlu diletakkan selepas perkataan iaitu? | Tidak. Penggunaan tanda koma (,) yang betul adalah sebelum kata iaitu untuk memisahkan ayat induk daripada keterangan tambahan yang mengikutinya yang bermula dengan kata iaitu, yakni, misalnya, contohnya, atau seumpamanya. Contoh ayat: Ada dua warna yang menjadi pilihannya, iaitu merah jambu dan hijau tua. | Tatabahasa | 13.08.2021 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya adakah aman damai itu merupakan kata ganda? Terima kasih | Kata aman damai digolongkan sebagai kata adjektif majmuk. Kata adjektif majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata adjektif dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Antara kata adjektif yang lain ialah buta huruf, cantik jelita, gagah perkasa, merah jambu, iri hati, dan kelam kabut. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Kata Adjektif Majmuk, sila rujuk buku Tatabahasa Bahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 242-247. | Tatabahasa | 07.08.2020 |
Salam Sejahtera tuan/puan. Bolehkah tuan/puan jelaskan cara menggunakan tanda baca koma sebagai pemisah ayat atau klausa | Antara fungsi tanda koma sebagai: 1. Memisahkan unsur kata dan frasa yang berurutan. Contoh: Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. 2. Memisahkan beberapa ayat setara. Contoh: Pelita itu dinyalakan, dibawa masuk ke bilik tidur, diletakkan di hujung katil. 3. Memisahkan klausa utama daripada keterangan tambahan yang bermula dengan “iaitu”, “yakni” dan “misalnya”. Contoh: Ada dua warna yang selalu menjadi pilihannya, iaitu merah jambu dan kuning langsat. 4. Memisahkan klausa komplemen, atau frasa klausa dan keterangan daripada ayat induk (dalam ayat songsang). Contoh: Jika hujan lebat, pertunjukan itu terpaksa dibatalkan. 5. Memisahkan kata atau ungkapan yang diulang. Contoh: Tiada lain yang dibuatnya, melainkan menangis, menangis, menangis! 6. Memisahkan ayat petikan langsung. Contoh: Katanya, “Esok kita pulang.” 7. Memisahkan kata nama atau frasa nama daripada frasa penjelasan yang mengikutinya. Contoh: Dia ke kota dengan kereta abangnya, Proton Perdana hitam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023) halaman 109 – 113. | Ejaan | 05.07.2024 |