| “Erk… ’kau panggil aku? Maaflah, serabut sikit otak aku sekarang ni,” Amri menjawab dengan perlahannya. Adakah ayat di atas baku? Frasa kerja "menjawab dengan perlahannya" seolah-olah tidak baku ketika tiada objek yang menyusuli kata kerja transitif "menjawab". Namun demikian, saya berpandangan bahawa objek sudah dimaklumi umum, iaitu pihak sasaran yang telah dinyatakan nama dalam ayat sebelumnya, jadi tidak perlu objek itu ditulis lagi. Apakah pandangan tuan? | Dalam karya sastera, bentuk penulisan tidak sama dengan bahasa rasmi. Walau bagaimanapun, ayat yang betul ialah "Erk... kau panggil aku? Maaflah, serabut sikit otak aku sekarang ni" Amri menjawab dengan perlahan. | Lain-lain | 19.06.2020 |
| salam, saya dalam perancangan nak wujudkan nama atau perkataan "ibu bersalin dalam patang, 40hari'. ada tak perkataan yang sesuai di panggil atau mudah orang ingat, dan nama baru untuk keadaan zaman sekarang. ada ke? Terima Kasih. | Untuk makluman tuan,penggunaan frasa ibu bersalin dalam pantang sudah mantap dalam bahasa Melayu. | Lain-lain | 05.05.2020 |
| saya nak tanya, orang bukan islam panggil apa kepada orang islam yang dah meniggal dunia? allahyarham atau arwah atau ada nama lain? | Gelaran untuk orang lelaki beragama Islam yang telah meninggal dunia ialah allahyarham, manakala gelaran untuk orang perempuan Islam pula ialah allahyarhamah. kata arwah digunakan apabila menyebut orang Islam yang telah meninggal dunia. Harap maklum. | Makna | 05.12.2007 |
| Saya ada pertanyaan tentang penggunaan sapaan dalam bidang penulisan kreatif, contohnya seperti di dalam dialog atau terjemahan sari kata. Bagi sapaan secara langsung daripada seorang anak kepada ayahnya. Contoh ayat. "Terima kasih, ayah." atau "Terima kasih, Ayah". Ayat kedua, "Apa pendapat Tuanku?" atau "Apa pendapat tuanku?". Ayat ketiga, "Adik, panggil Ayah makan." Atau "Adik, panggil ayah makan." Seterusnya, apabila perkataan "ayah" digunakan dalam nuansa yang berbeza sebagai kata ganti diri. Contoh. "Ayah rasa, ayah tak dapat pergi hari ini." Yang ini apabila seorang ayah berkata kepada anaknya dan "ayah" yang kedua bertindak sebagai kata ganti diri "saya". Adakah betul penggunaan seperti demikian dalam bidang penulisan kreatif khususnya dalam bidang penulisan dialog dan penterjemahan sari kata drama. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Dalam ayat 1 dan 3, penggunaan kata ayah dieja dengan huruf kecil pada pangkal kata “ayah” kerana ayah ialah kata nama am. Dalam ayat 2, sapaan Tuanku dieja dengan huruf besar pada pangkal kata kerana “Tuanku” ialah kata nama khas yang merujuk kata ganti nama diri kedua. Pihak puan juga perlu membetulkan ayat tersebut dengan menggunakan laras bahasa istana/bahasa diraja. “Ayah rasa, ayah tak dapat pergi hari ini.” – Teks ini dibenarkan penggunaannya dalam dialog yang tidak rasmi. | Tatabahasa | 21.02.2026 |
| saya ingin tanya tentang pelipur lara.jenis,bentuk,peranan dan lain-lain yang berkenaan dengan pelipur lara.harap anda dapat membantu.terima kasih | Pelipur lara ialah orang yang pandai bercerita dengan panjang lebar dan pandai menyampaikan cerita sehingga boleh menarik perhatian pendengar( khalayak). Secara umum, orang yang menyampaikan sesuatu cerita (pada waktu dahulu) dikenali sebagai penglipur lara, namun terdapat nama lain atau panggilan lagi kepada pencerita berdasarkan daerah atau negeri. Contohnya di Perlis dan Langkawi di panggil Awang Batil atau Awang Belanga. Di Kedah pula dipanggil Tuk Jubang, sedangkan di Kelantan digelar Tuk Selampit dan di Pahang di panggil Pencerita sahaja. Jenis-jenis cerita penglipur lara yang selalu dituturkan ialah Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Terung Pipit dan beberapa lagi hikayat yang sangat popular dalam kalangan masyarakat dahulu. Bentuk cerita penglipur lara mudah dan lurus. pada umumnya bentuk ceritanya terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu kelahiran wira, pengembaraan wira dan kejayaan wira dalam pengembaraan dan pulang ke negeri asalnya. | Lain-lain | 23.04.2008 |