KHIDMAT NASIHAT PENGGUNAAN BAHASA DALAM POSTER KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM (KPPA) Dengan segala hormatnya, saya diarah merujuk kepada perkara tersebut di atas. 2. Untuk makluman pihak Tuan/ Puan, saya daripada Unit Komunikasi Korporat di bawah Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam ingin mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dari segi penggunaan bahasa dan susunan ayat di dalam poster kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato' Sri KPPA. Ayat yang digunakan adalah seperti berikut : a) KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YBHG. DATO' SRI MOHD SHAFIQ BIN ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM. b) SELAMAT DATANG YBHG. ...... KE JABATAN PERKHIDMATAN AWAM ATAS KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YBHG. DATO' SRI MOHD SHAFIQ BIN ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM. 4. Kerjasama, perhatian dan maklum balas segera daripada Tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian. | 1. KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YBHG. DATO' SRI MOHD SHAFIQ BIN ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM. Ayat ini kurang tepat, lazimnya kunjungan hormat dinyatakan daripada siapa kepada siapa, seperti "Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. 2. SELAMAT DATANG YBHG. ...... KE JABATAN PERKHIDMATAN AWAM ATAS KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YBHG. DATO' SRI MOHD SHAFIQ BIN ABDULLAH, KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM. Ayat ini juga kurang tepat kerana ada dua perkara dalam ayat ini satu alu-aluan dan satu lagu ucapan terima kasih. Contoh, "Selamat datang YBhg. ... ke Jabatan Perkhidmatan Awam dan terima kasih atas kunjungan hormat YBhg. ... kepada YBhg. ... | Tatabahasa | 09.03.2022 |
Bilakah kita gunakan perkataan "Kerajaan" dan "Perkhidmatan Awam" dengan huruf besar, dan bila pula dengan huruf kecil (iaitu "kerajaan" dan "perkhidmatan awam")? | Untuk penggunaan secara umum, perkataan kerajaan dan perkhidmatan awam ditulis dengan huruf kecil, namun jika merujuk konteks khusus dan sebagai nama khas, perlu ditulis dengan huruf besar. Contohnya Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. | Lain-lain | 16.04.2013 |
MEMBUDAYA INTEGRITI SATU TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM BERKUALITI Adakah susunan dan penggunaan ayat betul sebagai satu slogan | Ayat yang lebih tepat ialah MEMBUDAYAKAN INTEGRITI SATU TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM BERKUALITI ataupun BUDAYA INTEGRITI SATU TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM BERKUALITI | Tatabahasa | 30.11.2010 |
Jabatan Perkhidmatan Awam sedang mengkaji Perintah Am Bab C Tahun 1974 berkaitan kemudahan cuti kepada Pegawai Perkhidmatan Awam. Soalannya, adakah istilah Cuti Tanpa Rekod yang digunakan secara meluas kini adalah tepat sebagai kata nama khas kepada kemudahan cuti yang tidak direkodkan atau penggunaan istilah Cuti Tidak Berekod lebih tepat seperti yang digunakan pada 1974 dahulu? | Menurut Kamus Dewan Edisi keempat: tanpa bermaksud - dgn tiada..., tidak dgn..., tidak ber- ...: ia berjalan terus ~ melihat ke kiri ke kanan lagi. Oleh itu, dari segi penggunaan bahasa, istilah Cuti Tanpa Rekod dan istilah Cuti Tidak Berekod adalah sama maksud dan kedua-duanya boleh digunakan. | Istilah | 16.08.2018 |
Maksud perkataan "sasana" seperti dalam ayat ini: YBrs. Dr/tuan/puan, Saya dengan hormatnya merujuk kepada perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) bertarikh 21 September 2017, mengenai perkara di atas. Keputusan YBhg. Tan Sri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi pelaksanaan Sasana Bahasa dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam Bil. 13 Tahun 2017 bertarikh 19 Julai 2017 dan Mesyuarat Prapelaksanaan Sasana Bahasa Bil. 1 Tahun 2017 telahpun diadakan pada 27 Julai 2017 (Khamis) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Suhaime Mahbar, Pengarah Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar (BPPD) adalah jua dirujuk. 2. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan ini akan mengadakan MESYUARAT PELAKSANAAN SASANA BAHASA BILANGAN 1 TAHUN 2017 seperti butiran berikut: Tarikh : 29 September 2017 (Jumaat) Masa : 9.00 pagi Tempat : Bilik Mesyuarat Utama Aras 9, Blok C1, Kompleks C Jabatan Perkhidmatan Awam 62510 PUTRAJAYA. | Kata sasana belum terakam dalam data DBP. Pencarian kami menemui kata sasana berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud lokasi, pusat, bangunan atau arena di mana masyarakat berkumpul untuk bermesyuarat. Frasa ‘sasana bahasa’ dalam pertanyaan puan boleh membawa maksud lokasi, pusat, arena, mesyuarat, majlis berkaitan isu atau program bahasa. | Makna | 28.09.2017 |
1. peraturan berkaitan kemudahan cuti tanpa rekod bagi pegawai Perkhidmatan Awam yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara. 2. Kemudahan cuti tanpa rekod untuk pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Adakah perkataan ini merupakan perkataan aktif bahawa pegawai berkaitan mengikut kursus secara sambilan atau IPT hendak mengesahkan kursus sambilan. Pemahaman saya adalah perkataan aktif bahawa pegawai berkaitan mengikuti kursus secara sambilan. Mohon nasihatkan saya. | Kami berpandangan, kedua-dua ayat tersebut memberitahu akan kewujudan peraturan yang berkaitan, yang boleh dirujuk oleh pembaca atau pihak-pihak yang berkeperluan. Walau bagaimanapun, dalam hal yang berkaitan dengan pekeliling, sila rujuk Jabatan Perkhidmatan Awam. Dewan Bahasa dan Pustaka membantu dari aspek teknikal ayat, manakala tafsiran yang persis dapatkan daripada pihak yang berwenang. | Lain-lain | 23.05.2023 |
Penulisan selepas tanda baca adakah perlu dirapatkan? Contoh, 1. Pegawai Perkhimatan Awam(PPP) atau Pegawai Perkhidmatan Awam (PPP) 2. tiga(3) atau tiga (3) | Cara penulisan yang betul ialah Pegawai Perkhidmatan Awam (PPP) dan tiga (3). (perlu ada jarak sebelum tanda kurungan) | Lain-lain | 01.02.2018 |
Pengwujudan program audit bahasa Melayu bertujuan memantau penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat perkhidmatan awam. Program tersebut perlu dilakukan dengan melihat dua aspek utama, iaitu untuk meninjau dalam perkhidmatan awam tentang; (i) sejauh mana bahasa Melayu diguna pakai; dan (ii) kualiti penggunaan bahasa kebangsaan. Tinjauan terhadap kedua-dua aspek lebih bermakna jika cara pelaksanaan adalah berkesan dan terdapat impak yang berguna ke arah pembangunan bahasa Melayu. Daripada pernyataan di atas, berikan ulasan anda tentang perkara-perkara berikut: i. Tiga langkah pelaksanaan program berkenaan secara sistematik. ii. Tiga implikasi program tersebut terhadap usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam. | Untuk makluman puan, soalan yang dikemukakan ini memerlukan kajian khusus untuk menjawabnya. Bagi membantu puan menyelesaikan tugasan ini, sila rujuk makalah yang berkaitan program audit bahasa yang dibincangkan di media massa. | Lain-lain | 28.03.2012 |
Terdapat beberapa pencanggahan format tentang surat rasmi kerajaan. Mohon dbp kemukakan format yang sebenar. | Sila rujuk format surat rasmi oleh INTAN dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan format Jabatan Perkhidmatan Awam yang disesuaikan dengan format DBP, iaitu format "modified block letter". Sila berhubung dengan Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu DBP untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Lain-lain | 25.09.2007 |
Dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menerima cadangan penambahbaikan ejaan/ istilah dalam penulisan Waran Perjawatan/ Surat Kelulusan Perjawatan (WP/SKP) seperti berikut: 1. Ejaan Sekarang : Bahagian Penguatkuasa Cadangan :Bahagian Penguatkuasaan (Dalam konteks Organisasi/ Bahagian/ Sektor/ Cawangan) 2. Ejaan Sekarang :Penguatkuasa Cadangan :Penguat Kuasa (Dalam konteks Jenis-jenis Jawatan dan Gelaran Jawatan) Contoh penulisan waran perjawatan adalah seperti di Lampiran. Sehubungan itu, mohon kerjasama tuan/puan untuk memberikan maklum balas ejaan sebenar bagi perkara yang dinyatakan di atas. Sekian, terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) kata penguat kuasa bermaksud orang atau pihak yang menguatkuasakan peraturan, undang-undang dan sebagainya, manakala penguatkuasaan ialah perbuatan atau proses menguatkuasakan peraturan, undang-undang dan sebagainya. Lantaran makna tersebut, jika nama jawatan perlulah menggunakan kata penguat kuasa, misalnya Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Penolong Pegawai Penguat Kuasa Trafik. Bagi nama unit/bahagian/jabatan dan sebagainya yang melibatkan proses atau tanggungjawab menguatkuasakan sesuatu, perlulah menggunakan kata penguatkuasaan misalnya Bahagian Penguatkuasaan Maritim, Unit Penguatkuasaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. | Makna | 06.01.2025 |