Berkenaan dengan bidang Tekonologi Maklumat/Komputer: 1) "Burstable" ialah kaedah mengukur lebar jalur berdasarkan penggunaan puncak, bagi tujuan pengebilan. Kaedah ini juga membolehkan penggunaan melebihi ambang tertentu untuk jangka masa yang singkat tanpa kesan kewangan ke atas pengguna. 2) "Peering" ialah proses apabila dua rangkaian internet menyambung dan menukar trafik. Proses ini membolehkan rangkaian tersebut menghantar trafik secara langsung antara pelanggan masing-masing, tanpa penglibatan pihak ketiga. Saya amat berbesar hati jika pihak DBP dapat mencadangkan istilah yang sesuai bagi "burstable" dan "peering" (jika ada). Terima kasih. | Cadangan kami peering diterjemahkan kepada merangkai padan dan burstable diterjemahkan kepada boleh langkau sekiranya sesuai dengan konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun, kedua-dua terjemahan ini akan diteliti dengan lebih lanjut lagi dan setelah memperoleh jawapan rasmi kami akan meng-e-melkannya kepada pihak tuan. | Lain-lain | 26.05.2019 |
Saya ingin bertanya makna personfikasi, bombastic ,ironi dan sebagainya berkitan dengan linguistik | Personifikasi ialah pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan sastera atau seni, 2. pelambangan atau pengemukaan benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia; mempersonifikasikan melambangkan atau mengumpamakan sesuatu benda yang tidak bernyawa (atau abstrak) sebagai manusia atau mempunyai sifat-sifat manusia: dia ~ Kuala Lumpur dengan kata-kata yang terpilih. Bombastik ialah banyak menggunakan kata yang indah-indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas atau jelas: Arena Wati menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami, pemilihan kata-katanya dibuat begitu teliti dan tidak ~. Ironi ialah keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya: ~nya jika Dasar Belia Nasional ini mahu diterima, maka dengan sendirinya kita mempersempit ruang lingkup pelaksanaan dasar itu sendiri. | Makna | 15.07.2013 |
Terima kasih untuk jawapan yang diberikan. Jawapan : ku- merupakan singkatan bagi aku. Singkatan tidak boleh berdiri sendiri dan perlu dieja rapat. Ku sebagai kata klitik diikuti kata kerja tanpa imbuhan awalan. Penggunaan yang betul ialah "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa" Saya faham dengan penggunaan yang betul tentang "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa." Namun terdapat penggunaan tidak lazim bagi singkatan "Ku" dalam lirik lagu, puisi dan sebagainya. Jadi manakah yang betul "Ku dicipta" atau "kudicipta"; "Ku berjalan" atau "Kuberjalan"; "Ku tertawa" atau "Kutertawa". Terima kasih. | Untuk makluman, dalam penulisan karya sastera mempunyai "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai “kebebasan penyair” (poetic licence). Kebebasan yang dimaksudkan ialah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu. Biasanya lesen ini lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. Ejaan yang betul ialah "kudicipta", "kutertawa", "kuberjalan". | Tatabahasa | 17.06.2023 |
Apa maksud badan bebas? | Badan bebas ialah badan atau pertubuhan atau kumpulan yang sama ada dilantik oleh pihak tertentu atau diwujudkan atas matlamat tertentu yang tidak dikongkong, tidak terikat atau tidak dikuasai oleh pihak lain. Contoh : pihak kerajaan melantik kumpulan pakar untuk mengkaji kesan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sisa toksid, maka badan tersebut diberi kuasa atau kebebasan untuk melaksanakan tugasnya tanpa dikongkong oleh pihak kerajaan. | Makna | 27.05.2008 |
1)Pemanasan global yang berlaku adalah akibat daripada kekhilafan dan kesalahan manusia yang sangat begitu rakus sekali membaham segala-galanya kekayaan yang ada demi untuk memenuhi tuntutan duniawi. 2)senaman adalah salah satu daripada aspek yang termat penting sekali di dalam rawatan komprehensif sakit tulang belakang.Apa yang perlu kita tahu terdapat pelbagai rawatan-rawatan untuk kesakitan kronik itu seperti makan ubat,suntikan,tampalan,vitamin,fisioterapi dan terapi kogniti. 3)Bila menyentuh tentang kecantikan tentu sekali perkara yang paling dititikberatkan adalah kulit yang cantik dan sihat tanpa perlu menggunakan makeup untuk menutup kulit yang rosak yang sekaligus tidak diperlukan oleh kita menghabiskan banyak wang dan masa 4)guru sehahrusnya dapat mempamirkan sepenuhnya komitmen yang dengan seikhlas mungkin.murid-murid boleh menilai diri guru samada pengajaran yang guru lakukan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sahaja di samping mampu memberi bimbingan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. | Berikut ayat yang telah disemak. 1)Pemanasan global yang berlaku merupakan kesan daripada kekhilafan manusia yang sangat rakus sekali membaham semua kekayaan yang ada demi memenuhi tuntutan duniawi. 2)Senaman ialah salah satu daripada aspek yang amat penting sekali dalam rawatan komprehensif sakit tulang belakang. Kita perlu mengetahui terdapat pelbagai rawatan untuk penyakit kronik itu seperti memakan ubat,suntikan,tampalan,vitamin,fisioterapi dan terapi kogniti. 3)Apabila menyentuh mengenai kecantikan, tentu sekali perkara yang paling dititikberatkan ialah kulit yang cantik dan sihat tanpa perlu menggunakan mekap bagi menutup kulit yang rosak serta mengelakkan pembaziran banyak wang dan masa. 4) Guru seharusnya dapat mempamerkan sepenuh komitmen dengan ikhlas. Murid-murid boleh menilai guru sama ada pengajaran yang diberikan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sahaja atau mampu memberi bimbingan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. | Tatabahasa | 04.03.2013 |