Harga tiga setengah kilogram pulut itu ialah RM18.00. Ayat tersebut betul atau salah. | Harga tiga setengah kilogram pulut itu ialah RM18.00. Ayat tersebut betul atau salah. Ayat tersebut betul, kiraan/ jumlah (tiga setengah) diikuti dengan unit (kilogram). | Tatabahasa | 29.05.2013 |
Tuan, Ayat manakah di bawah ialah ayat gramatis? 1. Ali bertolak ke sana pada pukul tiga setengah petang. 2. Ali bertolak ke sana pada pukul tiga jam setengah. Terima kasih. | 1. Ali bertolak ke sana pada pukul tiga setengah petang, merupakan ayat gramatis | Tatabahasa | 01.06.2020 |
Assalamualaikum... yang mana satu betul, tiga meter setengah atau tiga meter setengah... keliru. Tolong tuan jelaskan. Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah tiga setengah meter. Dalam konteks ini, nombor atau bilangan diletakkan dahulu sebelum unit. Contoh lain adalah seperti dua setengah kilometer, dua setengah inci dan dua setengah minit. | Tatabahasa | 15.07.2013 |
1. Adakah benar kata bilangan tentu tidak boleh diletakkan bersama-sama kata bilangan pecahan? Harap dapat jelaskan konsep yang harus diguna pakai. Yang manakah betul: 'Perjalanan itu mengambil masa satu suku/setengah jam' atau 'Perjalanan itu mengambil masa satu jam suku/setengah.' ? Mengapa? Yang manakah betul: 'Ali berjoging empat setengah kilometer setiap hari.' atau 'Ali berjoging empat kilometer setengah setiap hari.'? Mengapa? Yang manakah betul: 'Harga buku itu tiga setengah ringgit.' atau 'Harga buku itu tiga ringgit setengah.? Mengapa? Yang manakah betul: 'Sila bubuh dua setengah sudu garam ke dalam sup itu.' atau 'Sila bubuh dua sudu setengah garam ke dalam sup itu.'? Mengapa? Yang manakah betul: 'Ali minum dua satu pertiga gelas air tadi.' atau 'Ali minum dua dan satu pertiga gelas air tadi.'? Mengapa? | Frasa yang betul ialah: 1. Perjalanan itu mengambil masa satu suku/setengah jam. 2. Ali berjoging empat setengah kilometer setiap hari. 3. Harga buku itu tiga setengah ringgit. 4. Sila bubuh dua setengah sudu garam ke dalam sup itu. 5. Ali minum dua dan satu pertiga gelas air tadi. Rumus yang diikuti ialah nombor bacaan (1, 1/2 dan sebagainya) baru diikuti dengan unit kiraan (jam, kilometre dan sebagainya). | Tatabahasa | 28.03.2014 |
Adakah ayat-ayat berikut betul penggunaan kata bilangan? 1. Ibu membeli satu kilogram setengah buah langsat. 2. Kakak menggunakan satu meter setengah kain untuk membuat blaus. 3. Ali membayar dua ringgit setengah kepada penjaja itu. 4. Perjalanan itu mengambil masa selama tiga jam setengah untuk sampai ke destinasi. | Jawapan yang betul ialah: 1. Ibu membeli satu setengah kilogram buah langsat. 2. Kakak menggunakan satu setengah meter kain untuk membuat blaus. 3. Ali membayar dua ringgit lima puluh sen kepada penjaja itu. 4. Perjalanan itu mengambil masa selama tiga setengah jam untuk sampai ke destinasi. | Lain-lain | 11.01.2024 |
Selamat sejahtera. Ingin bertanya tentang soalan kesalahan umum tatabahasa. " satu setengah kilogram atau satu kilogram setengah" " tiga suku jam atau tiga jam suku " yang manakah betul? Sekian, terima kasih. | Frasa yang betul ialah "satu setengah kilogram" dan "tiga suku jam", iaitu jumlah kiraan dan diikuti dengan unit. | Lain-lain | 06.08.2015 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya adakah terdapat kesalahan tatabahasa pada ayat-ayat berikut dan jika ada apakah kesalahannya? Mohon beri pencerahan. Terima kasih. 1. Sekawan pengganas telah berjaya ditumpaskan oleh pihak tentera dalam kejadian tembak-menembak pada pagi kelmarin. 2. Ketua tingkatan meminta semua murid di Kelas Satu Harmoni membayar sebanyak tiga setengah ringgit untuk fail yang dibekalkan oleh guru kelas mereka. 3. "Saya bertemu Cikgu Ruslan di kedai buku itu semalam, " kata Johari kepada rakan baiknya. 4. Pemaju perumahan itu bankrap menyebabkan projek perumahan itu tergendala selama lima setengah tahun. 5. Beribu orang penyokong Kelab Pemuda Kedah membanjiri stadium itu untuk menyaksikan pertandingan bola sepak antara pasukan Kedah dengan pasukan Perlis yang berlangsung pada malam semalam. | 1. Sekawan pengganas telah berjaya ditumpaskan oleh pihak tentera dalam kejadian tembak-menembak pada pagi kelmarin. 2. Ketua tingkatan meminta semua murid di dalam Kelas Satu Harmoni membayar sebanyak RM3.50 untuk fail yang dibekalkan oleh guru kelas mereka. – Kelas merupakan bentuk fizikal yang boleh dilihat ruangnya, maka penggunaan yang betul ialah frasa di dalam. 3. "Saya bertemu Cikgu Ruslan di kedai buku itu semalam," kata Johari kepada rakan baiknya. 4. Pemaju perumahan itu bankrap sehingga menyebabkan projek perumahan itu tergendala selama lima setengah tahun. - Sehingga dalam ayat tersebut bermaksud sampai menjadi, iaitu sesuatu berlaku dan mengakibatkan sesuatu yang lain. 5. Beribu-ribu orang penyokong Kelab Pemuda Kedah membanjiri stadium itu untuk menyaksikan pertandingan bola sepak antara pasukan Kedah dengan pasukan Perlis yang berlangsung pada malam semalam. – Penggunaan beribu-ribu betul kerana menunjukkan beberapa ribu atau banyak ribu. Manakala perkataan beribu merujuk kepada mempunyai ibu atau menanggap sebagai ibu. | Tatabahasa | 11.11.2020 |
Salam sejahtera tuan. Adakah ayat-ayat berikut betul? 1. Betulkah bahawa kamu tidak membuli adik kamu? 2. Masa yang diuntukkan untuk menyiapkan projek ini ialah tiga jam setengah. 3. Kejadian mengajar saya agar berhati-hati memilih rakan. 4. Wartawan melaporkan kejadian yang mengorbankan lapan belas orang. Terima kasih. | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Betulkah bahawa kamu tidak membuli adik kamu? 2. Masa yang diuntukkan untuk menyiapkan projek ini ialah tiga jam setengah. 3. Kejadian mengajar saya agar berhati-hati memilih rakan. 4. Wartawan melaporkan kejadian yang telah mengorbankan lapan belas orang. | Tatabahasa | 19.08.2021 |
Berdasarkan penerangan daripada Tuan tiga hari yg lalu, tetapi saya masih tidak faham. Maaf ya... 1. Adakah separuh sama dengan setengah? Apakah jwp yg paling tepat utk soalan 2 dan soalan 4 ? 2. Hampir ________ daripada murid-murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis tulisan khat. A. separuh C. sebilangan B. setengah D. sesetengah 3. Adakah bahkan = malah = malahan ? 4. Beliau bukan sahaja pemurah ________ prihatin terhadap rakyat miskin. A.malah B. walaupun C. bahkan Terima kasih | 1. Perkataan separuh dan setengah membawa maksud yang sama. Namun begitu, perkataan tersebut tidak sesuai untuk dirujuk kepada manusia. 2. Ayat yang gramatis adalah seperti yang berikut: i. Sebilangan murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis khat. ii. Hampir setengah daripada bilangan murid di dalam kelas itu tidak tahu menulis khat. 3. Bahkan, malah dan malahan membawa maksud yang sama. 4. Beliau bukan sahaja pemurah malah/malahan/bahkan prihatin terhadap rakyat miskin. Sekian. Terima kasih.
| Tatabahasa | 07.06.2017 |
1. Tolong senaraikan jenis kata bilangan. 2. Adakah kata bilangan tingkat merupakan satu jenis kata bilangan? | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Tidak ada kata bilangan tingkat, termasuk dalam kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal.
| Tatabahasa | 03.04.2013 |