| Peranan Kamus Dewan edisi keempat dalam perkembangan bahasa melayu | Assalammualaikum WM WBT Secara umumnya, kamus berperanan dalam hal pembinaan bahasa. Kamus Dewan merupakan sebuah kamus umum bahasa Melayu yang paling autentik yang menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu di Malaysia, dan juga di negara lain yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara masing-masing, seperti negara Brunei Darussalam dan Indonesia, dan juga negara yang sebahagian penuturnya merupakan penutur asli bahasa Melayu, seperti Singapura dan Thailand. Di samping itu, Kamus Dewan juga menjadi rujukan penting para pengkaji bahasa Melayu di seluruh dunia, terutama di negara yang ada pengajian Melayu, seperti China, England, Korea dan beberapa buah negara di Eropah. Oleh itu, Kamus Dewan digunakan oleh penutur asli dan bukan penutur asli bahasa Melayu dan umum di sini bermaksud menyeluruh, iaitu penyusunan Kamus Dewan bukan untuk kelompok tertentu sahaja, malah untuk seluruh pengguna bahasa Melayu termasuklah penutur asli dan pengkaji bahasa Melayu di seluruh dunia. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Saudara dicadangkan untuk merujuk terus kepada pegawai di Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka. (a) Puan Hajah Salmah binti Jabbar, di talian 03-21479175 e-mel salmah@dbp.gov.my (b) Puan Hajah Kamariah binti Yusof, di talian 03-21479174 e-mel kamari2@dbp.gov.my | Pengembangan | 18.02.2014 |
| Assalammualaikum 1.Apakah ada terdapat kesalahan dalam ayat berikut .....wahai anak-anak muridku semua... Terima kasih | Waalaikumsalam WM WBT Ayat tersebut mengandungi unsur lewah, iaitu perkataan "anak-anak" dan "semua" yang menunjukkan jamak. Ayat yang gramatis ialah "Wahai anak-anak muridku". | Tatabahasa | 08.04.2014 |
| Aminur Ariffan Aug 28th, 8:24pm Salam DBP...bila ye kembara bahasa tahun 2014? Sya berharap sangat dapat join...last sya join tahun 2001...klau boleh sya nak sertai.. | Assalammualaikum WM WBT Saudara, program Kembara Bahasa akan berlangsung dari 10 hingga 15 Oktober 2014. Saudara boleh mendapatkan boriag penyertaan dengan melayari laman web www.dbp.gov.my | Lain-lain | 28.08.2014 |
| Salam sejahtera. Adakah perkataan "Yunani" dan "Greek" boleh digunakan untuk merujuk kepada istilah bahasa Inggeris "Greek" (untuk istilah umum)? Bagaimana pula dengan "Greece"? Adakah boleh digunakan perkataan "Yunani" juga untuk merujuk kepada negara itu? | Assalammualaikum WM WBT dan Salam Sejahtera. Mengikut Kamus Dewan, Yunani bermaksud negara Greece (di Eropah): orang (bahasa, bangsa), orang (bahasa,bangsa) Greek. Maka berdasarkan soalan Saudara, perkataan Yunani dan Greek bagi penggunaan istilah yang umum, masing-masing boleh digunakan untuk merujuk bahasa dan bangsa. Perkataan Greece pula lebih sesuai digunakan untuk merujuk sebuah negara. | Istilah | 13.01.2014 |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya ingin memohon bantuan pihak DBP untuk mengenal pasti padanan kata bagi perkataan berikut: (1) brain teaser (2) mind twister (3) Master Mind Game. Sekian, terima kasih. | Waalaikumsalam WM WBT dan Salam Sejahtera. Padanan harus digunakan dalam konteks yang bersesuaian. Cadangan padanan berdasarkan perkataan yang diberikan ialah (1) brain teaser - belit-belit akal; masalah yang rumit (2) mind twister - enigma; teka-teki (3) master minda game - perancangan permainan; perancang percaturan. | Istilah | 13.10.2014 |
| Tuan, Dalam bahasa Inggeris, penggunaan Mrs Ali adalah untuk panggilan isteri kepada Tuan Ali yang bernama Muna. Soalannya: 1) Mengapa dalam bahasa Melayu tidak diguna pakai panggilan Puan Ali, sebaliknya kita memanggil dengan nama Puan Muna. 2) Adakah rujukan untuk panggilan hormat kepada seseorang. Terima kasih. | Assalammualaikum WM WBT. 1. Saudara, kata sapaan dalam bahasa Melayu mencorakkan ketinggian nilai dan akal budi masyarakat Melayu. Kata sapaan dalam bahasa Melayu jelas untuk membezakan jantina dan tersurat juga dalamnya nilai-nilai Islam yang amat berkait dengan budaya masyarakat Melayu. 2. Panggilan hormat kepada seseorang biasanya berdasarkan jantina, kedudukan dalam masyarakat, dan pangkat dalam perjawatan. Contohnya, tuan, puan, mak cik, pak cik, Yang Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Mulia dan sebagainya. | Lain-lain | 19.06.2014 |
| untuk tajuk back drop samada: MAJLIS MERAIKAN PESARA DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR ataupun MAJLIS MERAIKAN PESARA-PESARA DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR untuk tagline... KASIH DISEMAI...BAKTI DITUAI atau KASIH DISEMAI BAKTI DITUAI yang mana lebih tepat digunakan. | Assalammualaikum WM WBT Tajuk latar pentas yang betul ialah MAJLIS MERAIKAN PESARA DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR. Ejaan tema yang tepat ialah KASIH DISEMAI BAKTI DITUAI. Untuk makluman saudara, ejaan yang betul ialah sama ada bukan samada. | Ejaan | 19.02.2014 |
| Assalamu'alaikum, Saya berhasrat untuk menerbitkan sebuah antologi puisi persendirian di mana beberpa karya adalah dari karya saya sendiri yang pernah disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Perlukah saya mendapatkan izin dari pihak DBP, atau mamadai dengan meletakkan rujukan 'bulan dan nama majalah' karya itu diterbitkan. Mohon pencerahan dalam hal ini, terima kasih. | Waalaikumsalam WM WBT Berkenaan hasrat tuan tersebut, perlu diletakkan rujukan bulan dan nama majalah karya itu diterbitkan. Tuan juga perlu membuat surat pemakluman kepada Bahagian Harta Intelek, DBP. Tuan boleh menghubungi pegawai bertugas untuk penjelasan lanjut, iaitu Encik Mohd. Hafizi bin Ahmad, mohdhafizi@dbp.gov.my atau Puan Nor Aida binti Mohd. Salleh, noraida2@dbp.gov.my | Lain-lain | 04.04.2014 |
| Assalamualaikum, [TEMA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA 2014: DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA] Pada pendapat saya, terdapat kesalahan tatabahasa dalam tema kemerdekaan pada tahun ini. 'CINTA' merupakan kata nama abstrak dan menurut hukum tatabahasa, kata nama abstrak tidak memerlukan penjodoh bilangan. Maka, penggunaan 'SEBUAH' sebagai penjodoh bilangan untuk kata nama 'CINTA' telah menyalahi hukum tatabahasa. Saya mohon penjelasan daripada pihak DBP berkaitan perkara di atas, terima kasih. | Waalaikumsalam WM WBT. Terima kasih atas pandangan saudara dan pihak kami menerima serta mengambil maklum pandangan ini. | Lain-lain | 22.08.2014 |
| Assalamaualaikum. Saya inging bertanya maksud perkataan pemukiman sebagaimana dalam surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 8 April 2014 yang menyatakan dalam ayat berikut : Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. Saya sudah merujuk Kamus Dewan, yang membawa maksud daerah mewah. Boleh tuan perjelaskan. | Waalaikumsalam WM WBT Ejaan pemukiman yang betul ialah permukiman yang bermaksud kegiatan bermukim. Kata dasarnya ialah “mukim” yang antara maksudnya ialah tinggal tetap, kawasan yang di dalam lingkungan sebuah masjid, dan kawasan (tempat tinggal) yang di bawah perintah seorang penghulu. Kegiatan bermukim bermaksud kegiatan berkumpul atau tinggal di sesuatu kawasan. Dalam hal ayat contoh yang saudara berikan, perkataan “permukiman” telah diperluas maknanya menjadi kegiatan para pemimpin dari Malaysia dan Singapura berkumpul di Kuala Lumpur untuk membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan hal ehwal perhubungan kedua-dua buah negara. | Istilah | 08.04.2014 |