Apakah istilah bahasa melayu untuk "job embeddedness"? | Dalam sumber rujukan belum ada lagi padanan untuk istilah job embeddedness, kami sedang berusaha mencari jawapannya dan akan menghubungi pihak puan dalam jangka masa yang terdekat ini. | Istilah | 02.09.2010 |
bagaimana mahu menggunakan kamus dewan online? | Kamus Dewan dalam talian belum ada lagi. Walau bagaimanapun saudara boleh menyemak perkataan/frasa yang hendak dicari melalui laman sesawang kami prpm.dbp.gov.my, dalam ruang cari, tuliskan perkataan yang dimaksudkan dan saudara boleh melihat dapatan daripada kamus, istilah, peribahasa dan sebagainya. | Lain-lain | 19.09.2010 |
Apakah terjemahan bagi "Market Premium" dan "Price Premium". Terima kasih. | Di dalam data PRPM, belum ada lagi terjemahan khusus bagi istilah Market Premium dan Price Premium. Walau bagaimanapun, cadangan kami bagi istilah Market Premium ialah Pasaran Premium dan Harga Premium bagi Price Premium. | Tatabahasa | 07.02.2013 |
apa kah padanan untuk perkataan "market rally" dalam bahasa melayu | Istilah "market rally" belum ada lagi padanannya dalam bahasa Melayu. Namun, kami mencadangkan padanan yang sesuai ialah "pengukuhan pasaran" yang merujuk suatu keadaan orang ramai yang berminat membeli sesuatu saham yang pada mulanya jatuh di pasaran. | Istilah | 09.06.2009 |
adakah dalam bahasa malaysia "bayaran penultimate" boleh digunakan atau ada lagi perkataan yang bersesuaian dengannya? | Saudara, Dalam bahasa Melayu tidak ada perkataan 'penultimate'. Padanan bahasa Melayu bagi perkataan 'ultimate' dalam bahasa Melayu ialah terakhir atau muktamad. Walau bagaimanapun diharap saudara dapat memberikan ayat yang lengkap atau contoh penggunaan agar dapat kami memberikan padanan yang sesuai. | Istilah | 28.07.2009 |
Saya memiliki buku Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu cetakan kedua, edisi kedua tahun 1992. Sudah adakah cetakan/edisi terbaharu buku ini? | Setakat ini belum ada lagi cetakan ketiga atau edisi baru buku ini. | Lain-lain | 14.01.2013 |
Tuan yang berkenaan, Apakah terjemahan yang betul untuk istilah 'Cloud Computing' dan 'Cloud Services' bagi bidang komputer/IT? Saya telah mencari di dalam Carian Kata namun gagal menjumpainya. Terima kasih | Belum ada lagi istilah cloud dalam bidang Komputer atau Teknologi Maklumat, manakala dalam bidang-bidang lain seperti Fizik, Kejuruteraan dan Komunikasi istilah cloud diterjemahkan kepada awan. Berdasarkan istilah tersebut kami cadangkan padanan cloud computing dan cloud services ialah pengkomputeran awan dan servis awan. | Istilah | 17.08.2011 |
apakah terjemahan bagi istilah 'fine-dining' dan 'fine-dining restaurant". Adakah 'makan beradab' dan 'restoran mewah' boleh digunakan? | Belum ada lagi padanan bagi istilah fine-dining dan fine-dining restaurant dalam sumber rujukan kami. Tidak ada terjemahan makan beradab ke bahasa Inggeris kerana makan beradab diketahui wujud dalam budaya Melayu dan lazimbnya bentuk-bentuk budaya ini dikekalkan penggunaannya. Satu contoh penggunaan restoran mewah yang terdapat dalam Kamus Inggeris Dewan ialah posh restaurant bukan fine-dining restaurant. | Istilah | 17.09.2010 |
Majlis graduasi akan diadakan untuk pelajar tingkatan 5 2010. Apakah istilah yang paling sesuai Majlis pra graduasi atau majlis graduasi ? Selepas ini memang tidak ada lagi majlis graduasi untuk mereka di sekolah ini. | Perkataan graduasi disesuaikan daripada bahasa Inggeris "graduation" yang bermaksud menyampaikan sijil atau ijazah. Oleh itu majlis graduasi ialah upacara penyampaian ijazah atau diploma di kolej dan universiti. Bagi pelajar tingkatan 5, majlis boleh dinamakan bergantung pada tujuan diadakan, sama ada untuk menyampaikan sijil atau kerana tamat tingkatan 5 (tamat sekolah). | Makna | 29.09.2010 |
Kenapa masih ada buku terbitan DBP yang masih menggunakan tanda hamzah dan ayn? Dalam panduan ejaan rumi DBP kedua-dua tanda itu dikatakan ditiadakan. | Kenyataan tuan betul, simbol hamzah dan ain tidak ada lagi dalam Sistem Ejaan Rumi. Walau bagaimanapun dalam penulisan buku agama, simbol berkenaan digunakan bagi menulis dengan tepat perkataan tersebut khususnya perkataan/istilah yang diambil secara langsung daripada bahasa Arab dan belum lazim digunakan dalam bahasa Melayu. Kami mohon maaf atas kelewatan menjawab soalan tuan kerana terdapat masalah teknikal dalam hal ini. Kami akan berusaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan kami dari semasa ke semasa. | Lain-lain | 06.11.2012 |