makna terbuka | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, terbuka ialah tidak tertutup (bertutup), terdedah; 2. terlepas, terurai, tertetas (ikatan, jahitan); 3. terkembang, terbentang (layar, payung); 4. terluang, ada (peluang pekerjaan), tersedia: peluang pekerjaan terbuka luas kepada anak-anak muda di kawasan perusahaan luar bandar; 5. telah dilihat (diketahui) orang (rahsia), terdedah, terbongkar: rahsianya telah terbuka; 6. tidak terhad (tersekat) kepada orang tertentu sahaja. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=terbuka untuk lebih lanjut. | Tatabahasa | 07.03.2013 |
Assalamualaikum...... saya Maizura Binti Abd Aris ingin mengemukakan soalan mengenai peluang pekerjaan yang ada di Dewan Bahasa dan Pustaka. Adakah pada waktu ini DBP ada membuka peluang pekerjaan? Saya merupakan pelajar Bacelor Bahasa dan Linguistik Melayu dari UPM dana akan bergraduat pada tahun ini. saya mengharapkan kepada pihak DBP untuk memberi maklumat kepada saya sekiranya ada peluang pekerjaan di sana. sekian terima kasih. | TErima kasih di atas minat yang sdr tunjukkan untuk berkhidmat bersama-sama kami. Sebagai makluman sdr, kami akan mengiklankan pelawaan untuk mengisi jawatan kosong melalui laman web DBP dan juga melalui akhbar tempatan berbahasa Melayu khususnya terbitan hujung minggu. Sila pastikan sdr tidak terlepas daripada membaca iklan tersebut. | Lain-lain | 09.06.2008 |
Salam sejahtera. Saya telah menerima baucar pembayaran DBP dan belum saya tunaikan sehingga kini atas faktor kelewatan baucar tersebut sampai ke tangan saya. Butiran baucar tersebut adalah seperti berikut: NO. BAUCAR- 0001008/09 TARIKH- 16.06/2009 NO.CEK- 035718 BUTIRAN BAYARAN- Honorarium WBS pada 6/5/2009- PUISI:INDAHNYA ALUNAN ITU. Soalan,adakah masih ada peluang untuk saya menunaikan baucar tersebut sedangkan tempoh sah laku cek yang sudah lama tamat?Jika ada,bagaimana? | Salam sejahtera, Puan diminta untuk mengembalikan baucar tersebut ke Unit Bayaran, Bahagian Kewangan dan Bekalan, Aras 27, Menara DBP untuk disemak dan diperbaharui. Sekian, harap maklum. | Lain-lain | 07.10.2010 |
Assalammualaikum..dan selamat petang Terlebih dahulu saya memperkenalkan diri ini,saya Noor Azreen Binti Jalaludin bekerja sebagai Guru di sebuah Sekolah Antrabangsa Islamik Greenview.Sukacitanya,sekira pihak DBP memberi peluang kepada murid-murid saya sekiranya terdapat pelbagai bentuk pertandingan untuk Tahap 1 dan Tahap 11 dan juga Menengah sekira mereka layak. Tujuan untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada mereka yang belajar di sekolah swasta atau antarabangsa sekaligus meningkatkan kualiti bahasa melayu mereka di peringkat lebih tinggi. Oleh itu,besar harapan saya sekiranya ada peluang yang diberi kepada sekolah kami. Yang benar, ---------------------- (Cikgu Azreen Haji Jalaludin) TIC-BM Greenview Islamic International School Bukit Jelutong | Salam puan budiman, Penyertaan dalam pertandingan anjuran DBP Dimaklumkan bahawa, Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama beberapa buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan menganjurkan Festival Perkampungan Seni 2019 7 November 2019, pukul 8.30 pagi hingga 10.30 malam, bertempat di Wisma DBP, Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti telah dirancang, antaranya, Pertandingan Bengkel Seni Khat Jawi, Pertandingan Cerdas Istilah, Roda Kata, Dam Bahasa dan banyak lagi. Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi: Encik Dinie Asyraf bin Rodzi melalui talian telefon: 03-2147 9684 atau e-mel asyraf@dbp.gov.my. Bersama-sama ini dilampirkan jadual tentatif pengisian program untuk makluman pihak puan selanjutnya. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 01.11.2019 |
mohon tunjukkan kesalahan-kesalahan yang ada pada perenggan ini. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut: (i) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran; (ii) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti peluang dan harapan;dan (iii) Mengenal pasti visi, misi dan objektif ICT untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan projek ICT. | Ayat tersebut diperbaik menjadi: Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti yang berikut: (i) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran; (ii) Perbincangan secara berkumpulan bagi mengenal pasti peluang dan harapan;dan (iii) Mengenal pasti visi, misi dan objektif ICT untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan projek ICT. | Tatabahasa | 05.07.2012 |
Assalamualaikum saudara, Saya mencari peluang menulis secara sambilan untuk artikel/sayembara/penulisan kreatif dan seumpamanya. Adalah lebih baik sekiranya saudara di DBP sendiri sudi membantu atau memaklumkan kepada saya berkenaan apa apa peluang untuk menulis yang ada di DBP sendiri. Salam hormat. | Wassalam. Berhubung hasrat puan untuk menghantar karya berbentuk artikel/puisi/cerpen dan seumpamanya, pihak kami amat mengalu-alukan. Sehubungan itu, pihak kami mencadangkan puan menghubungi Bahagian Majalah dan berbincang dengan editor berkaitan. Untuk makluman, pihak DBP setiap bulan menerbitkan 11 jenis majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Siswa dan sebagainya. Sila hubungi Bahagian Majalah menerusi telefon: 03-21479001/9002 atau mengirimkan sebarang tulisan ke Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Sekian. | Lain-lain | 20.06.2018 |
Assalamualaikum, saya mempunyai minat yang mendalam untuk menjadi penulis sambilan. Walaubagaimanapun saya tidak pernah mencuba atau mengambil peluang yang ada memandangkan saya kekurangan pengetahuan dlm bidang penulisan. Saya mempunyai banyak idea atau sumber utk menulis melalui pengalaman dan pemerhatian. Saya melihat bahawa Malaysia kekurangan bahan penulisan yang lain daripada lain dari segi kehidupan sosial remaja. Boleh dikatakan 60 peratus penulisan berkisarkan tentang cinta. Saya pernah bekerja selama 2 tahun di sebuah gerai buku terkenal dan melalui pekerjaan tersebut, saya berpeluang untuk meningkatkan pembacaan saya dan idea penulisan saya tidak kira di dalam Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Inggeris. Jadi saya amat berharap agar pihak tuan dapat membantu saya untuk bermula sebagai penulis baru atau pelapis demi mewarnai industri buku/penulisan di negara kita.Tambahan pula, baru-baru ini telah tersiar di akhbar utama bahawa untuk menjadi salah satu negara maju, Malaysia perlu menerbitkan beribu-ribu judul.Saya ingin menjadi salah seorang daripadanya. Saya harap tuan/puan dapat memberi respon dan membalas emel ini. Sekian, terima kasih. | Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penrbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Selamat mencuba. | Lain-lain | 07.04.2009 |
saya merupakan pelajar universiti sains malaysia tahun 2 mengambil kursus ijazah sarjana muda sastera dalam pengkhususan bahasa malaysia. saya ingin bertanya mengenai tempat praktikal di dewan bahsa dan pustaka. adakah DBP membuka peluang untuk pelajar membuat praktikal di DBP? | DBP ada menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar universiti membuat latihan industri.Sila kemukakan permohonan anda kepada Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia,Tingkat 7,Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka,50460,KL.Kami akan mempertimbangkan permohonan berdasarkan kekosongan tempat dan bidang pengkhususan pelajar. | Lain-lain | 21.01.2008 |
Saya pelajar tahun 2 Program Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM yg akan berpraktikal bermula pada Julai 2013. Boleh saya tahu ttg praktikal di DBP? adakah DBP membuka peluang untuk pelajar membuat praktikal di DBP?dan saya perlu berhubung dengan siapa untuk keterangan lanjut mengenainya? | DBP ada menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar universiti membuat latihan industri. Sila kemukakan permohonan anda kepada Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Tingkat 7, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Kami akan mempertimbangkan permohonan berdasarkan kekosongan tempat dan bidang pengkhususan pelajar. | Lain-lain | 06.11.2012 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Peluang pekerjaan sentiasa (buka) luas kepada penganggur. (b) Karipap itu sudah (cerah) dimakan oleh adik. (c) Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akan (cerah) kehidupannya. (d) (Lembut) gadis itu memikat hati abang. (e) Suasana pagi itu sungguh (lembut) dan damai. (f) Layang-layang yang ditiup angin itu telah (jalan) dengan pantas ke udara. (g) Taman sains itu telah mendapat (jalan) daripada Guru Besar supaya diteruskan. (h) Hatinya menjadi (buku) apabila mendapat tahu berita itu. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |