Assalamualaikum, Saya ada persoalan tentang penggunaan dalam/di dalam. Sebagai editor BM, saya sedia maklum bahawa "di dalam" seharusnya digunakan untuk sesuatu yang ada ruang, tempat, dan masa. Walau bagaimanapun, bagi sesuatu yang kelihatana seperti ada ruang/tempat tetapi sebenarnya ruang/tempat tersebut adalah abstrak/tidak maujud, bagaimana pula? Contoh: "Buffer" ialah ruang dalam/di dalam memori komputer yang membolehkan data disimpan buat sementara. "Bug" ialah kepincangan dalam/di dalam program komputer yang menyebabkan kesilapan berlaku. ... simbol yang digunakan dalam/di dalam suatu senarai seperti -, +, @ dalam/di dalam perisian seperti PowerPoint. | Sekiranya merujuk kepada ruang yang abstrak atau tidak maujud, kata sendi yang betul dan sesuai ialah dalam. | Tatabahasa | 29.02.2012 |
Buku dan surat khabar ada ruang untuk mengisi teks, justeru itu, kata sendi manakah yang sesuai. a) Di dalam buku b) Dalam buku a) Di dalam surat khabar b) Dalam surat khabar | Berdasarkan konsep buang di dalam ruang yang jelas fizikalnya seperti gelas dan kelas, penggunaan yang gramatis ialah dalam buku namun frasa di dalam buku juga banyak digunakan. | Tatabahasa | 19.12.2011 |
Salam tuan/puan, Apakah kata arah yang sesuai untuk ayat ini? Gelas-gelas disusun di dalam dulang. @ Gelas-gelas disusun di atas dulang. Harap tuan/puan boleh nyatakan alasan. Terima kasih. | Gelas-gelas disusun di atas dulang, kerana dulang tidak ada ruang fizikal yang jelas seperti balang atau kotak. | Tokoh | 30.04.2014 |
Tuan DBP, 1. "dalam pantun" atau "di dalam pantun barulah betul? 2. "dalam kesusasteraan klasik" atau "di dalam kesusasteraan klasik", yang manakah betul? Minta sertakan penjelasan. | Frasa yang betul ialah "dalam pantun" dan "dalam kesusasteraan klasik" kerana pantun dan kesusasteraan ialah dua perkara yang tidak ada ruang fizikal yang jelas seperti frasa "di dalam kelas" dan "di dalam kotak". | Tatabahasa | 07.05.2014 |
Contoh tanda pisah dalam Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu (DBP Malaysia, 1992: 49): “1910–1954” dan “Taiping–Seremban” (tiada ruang sebelum dan selepas tanda pisah). Contoh tanda pisah dalam Gaya Dewan (1995: 70): “Jun – Oktober” dan “Dia tinggal di bandar itu dari tahun 1977 – 1980” (ada ruang sebelum dan selepas tanda pisah). Contoh tanda pisah Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu (DBP Brunei, 2010: 42): “1910 – 1954” dan “Bandar Seri Begawan – Seria” (persis Gaya Dewan). Panduan mana menjadi pegangan DBP Malaysia untuk saya ikuti? | Seperti yang tuan maklum, penggunaan tanda baca dalam buku Gaya Dewan, Edisi Ketiga betul dan digunakan dalam buku terbitan DBP. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan hal ini akan dikemukakan kepada pihak yang berkaitan. | Lain-lain | 14.01.2013 |
Tuan, adakah frasa "dimasukkan ke dalam kamus" tepat tatabahasanya? Saya bertanya demikian kerana pada faham saya, "ke dalam" frasa sendi nama arah yang digunakan untuk benda yang beruang dan ruangnya nyata kelihatan. Dengan ada ruang yang nyata, barulah benda itu dapat dimasuki sesuatu dan dengan itu barulah frasa sendi nama arah "ke dalam" digunakan! Namun begitu, ruang "kamus" tidak kelihatan dan hanya dapat dibayangkan dalam fikir, maka ruang "kamus" dinamai ruang abstrak. Ruang abstrak "kamus" ini berisi kata, ilmu, ayat dan sebagainya. Kerana ruang "kamus" abstrak, maka tidak bolehlah digunakan frasa sendi nama arah "ke dalam" yang menyatakan ruang nyata! Saya berpendapat bahawa sendi nama "dalam" yang lebih patut digunakan kerana mencitrakan ruang abstrak, seperti dalam persidangan, dalam hal. Maka frasa yang betul "dimasukkan dalam kamus", misalnya: Bentuk bahasa yang sudah diterima oleh pemerintah harus dimasukkan dalam kamus - dimasukkan dalam kamus, bukan ke dalam kamus kerana ruang kamus abstrak. | Frasa "dimasukkan ke dalam kamus" adalah salah. Ayat yang betul ialah "dimasukkan dalam kamus" | Tatabahasa | 23.12.2016 |
Tuan, adakah ayat ini betul? Ayat: Narut terbayang gadis dalam kostum opera Cina yang berwarna merah. Adakah "dalam" digunakan dengan betul dalam ayat ini? Pada pengetahuan saya, "dalam" sebagai kata sendi nama bermaksud lingkungan yang tidak berjarak atau tidak beruang. Tetapi, "baju" ada ruang dan merupakan benda konkrit. Jadi, adakah kata "dalam" tidak patut digunakan dalam ayat ini? Adakah "dalam" perlu diganti dengan "di dalam"? | Betul, kata sendi nama "dalam" hadir di hadapan kata nama yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Mengambil ayat daripada sumber karya kreatif sebagai contoh untuk memahamkan aspek tatabahasa, perlu dielak kerana sebahagian karya kreatif tidak mematuhi seratus peratus peraturan tatabahasa. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
Minta maaf, kerana saya masih keliru tentang: 1) Simpan sesuatu di dalam beg atau simpan sesuatu ke dalam beg? Kerana dalam soalan awal, tuan telah memberitahu bahawa kita patut simpan sesuatu | Frasa "di dalam" digunakan di hadapan kata yang menunjukkan ada ruang seperti di dalam gelas, di dalam beg, manakala frasa "ke dalam" digunakan di hadapan kata nama yang menunjukkan arah/tempat yang dituju yang mempunyai ruang yang jelas/abstrak seperti ke dalam sungai, ke dalam beg dan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, ayat Simpan sesuatu di dalam beg atau simpan sesuatu ke dalam beg adalah betul bergantung pada konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Tuan, "berpengalaman dalam membuat lakaran wajah penjenayah" betul tak? Saya berpandangan frasa kerja ini harus dipinda kepada: "berpengalaman dalam pembuatan lakaran wajah penjenayah" ATAU "berpengalaman dalam pelakaran wajah penjenayah. Mengikut Tatabahasa Dewan, kata sendi nama "dalam" diikut oleh frasa nama yang abstrak, iaitu mempunyai lingkungan yang tidak ada jarak atau tidak ada ruang. Jadi, kata kerja "membuat" yang mengikut kata sendi nama "dalam" tidak sesuai digunakan dalam ayat ini kerana kata sendi nama "dalam" berada di hadapan frasa nama, bukan kata kerja. Oleh hal demikian, saya telah mengubah bentu kata kerja "membuat" kepada bentuk kata nama "pembuatan", atau bentuk kata nama "pelakaran" yang bermaksud hal melakar. Betulkah pembetulan saya? (Punca: Novel Hantu Gadis Opera, lembaran 20, terbitan Syarikat Pelangi) | Kami berpandangan ayat "berpengalaman dalam pelakaran wajah penjenayah", betul. Sila ambil contoh ayat daripada buku bahasa untuk berhujah atau memahamkan peraturan tatabahasa. Mengambil ayat daripada karya kreatif bukanlah langkah yang tepat kerana sebahagian karya kreatif tidak mematuhi seratus peratus peraturan tatabahasa. | Tatabahasa | 20.03.2015 |
salam... saya ingin mengetahui penggunaan istilah yang betul.'Ali makan di dalam pondok' atau 'Ali makan di bawah pondok'. Di dalam atau di bawah? | Kedua-dua ayat tersebut betul mengikut konteks. Dalam ayat pertama, Ali makan ketika dia berada di dalam pondok. Dalam ayat kedua, Ali makan ketika dia berada di bawah pondok (dengan andaian bahawa ada ruang di bawah pondok itu). | Tatabahasa | 24.07.2012 |