Terima kasih atas penjelasan tentang penggunaan ADA di depan kata kerja. Adakah ini bermakna ayat -ayat berikut betul? 1."Awak ada makan?" 2.Ali ada minum air 3. Muthu ada tidur. 3. Hasan ada mandi. | Penggunaan perkataan ada di hadapan kata kerja bergantung pada kata kerja yang hadir selepas perkataan ada. Berdasarkan contoh tersebut, penggunaan ada tidak tepat. Penggunaan perkataan yang betul ialah: 1."Awak ada makan?" Awak ada makanan?/ Awak sudah makan? 2.Ali ada minum air. Ali sudah/telah minum air. 3. Muthu ada tidur. Muthu telah/sedang tidur. Sila rujuk Kamus Dewan untuk makna ada. 3. Hasan ada mandi. Hasan sudah/telah/sedang mandi. | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Bolehkah perkataan "ADA" digunakan di depan kata kerja? Misalnya : 1. Saya ADA semak senarai hitam. 2. saya ADA membuat kerja. 3. Surat pelantikan ADA difailkan. minta penjelasan. | Perkataan ada boleh digunakan di hadapan kata kerja. Contoh: 1. Dia ada pergi ke sekolah pagi tadi. 2. Saya ada menerima surat daripadanya. | Tatabahasa | 12.08.2013 |
Saya mohon penjelasan pihak DBP. Ceri Terengganu dieja dengan huruf besar untuk "T", mengapa buah melaka dan durian belanda dieja dengan huruf kecil? Saya rujuk kepada e-mel maklum balas kdnp kepada saya pada hari Khamis 11 Julai. Terima kasih. | Merujuk pangkalan data kami di http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=ceri dan klik Istilah Malaysia, pelbagai ceri dieja dengan huruf kecil seperti ceri marascino, ceri hutan dan pokok ceri burung. Tidak ada ada perkataan Ceri Terengganu dalam pangkalan data kami. | Ejaan | 12.07.2012 |
Berdasarkan penjelasan tuan (ADA di depan kata kerja) Adakah ini bermakna ayat ADA di bawah tidak sesuai? 1(a) Dia ADA pergi ke sekolah pagi tadi. 1(b) Dia TELAH pergi ke sekolah pagi tadi. 2(a) Saya ADA menerima surat daripadanya. 2(b) Saya TELAH menerima surat daripadanya. 3(a) Dia ADA menyemak senarai hitam. 3(b) Dia TELAH menyemak senarai hitam. 4(a) Surat pelantikan ADA difailkan. 4(b) Surat pelantikan TELAG difailkan. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Empat, terdapat beberapa makna ada, iaitu; 1. boleh didapati (ditemui, dilihat, dsb), bukan khayalan atau rekaan, wujud: ada orang yg mempercayai hantu itu ~ dan ada pula yg mengatakan ianya khayalan manusia; tidak ~ lagi binatang raksasa sekarang; 2. boleh diperoleh (didapati, dijumpai, dsb) di sesuatu tempat: gula dan kopi ~ di dlm almari itu; dia tidak ~ di rumahnya sewaktu kami sampai; 3. telah sedia, telah terkumpul dsb (utk diberi perhatian dsb): ~ banyak surat yg perlu ditandatangani; ~ kerja penting yg belum diurus lagi; 4. mempunyai: Razi ~ banyak barang mainan; tidak ~ cita-cita; 5. (masih) hidup, belum meninggal dunia: ibunya masih ~ tetapi ayahnya sudah meninggal; dia sudah tak ~ dia sudah meninggal dunia; 6. benar-benar, sungguh-sungguh, sesungguhnya (digunakan utk menguatkan kata kerja selepasnya): dia ~ pergi ke sekolah petang tadi; saya ~ menerima surat daripadanya; 7. hadir (digunakan sbg menjawab panggilan guru dll sewaktu memastikan kedatangan murid dll); 8. apakah (digunakan utk melembutkan pertanyaan): ~ encik melihat adik saya? ~ gula, ~ semut prb kalau orang kaya banyaklah kawannya; ~ air, ~ (adalah) ikan = ~ padang, ~ belalang = ~ batang, ~ cendawan tumbuh prb di mana pun kita duduk, ada rezeki; Penggunaan perkataan ada dalam ayat yang dinyatakan boleh digunakan. | Tatabahasa | 16.08.2013 |
Adakah perkataan "di mana" boleh digunakan selain untuk pertanyaan. Bagaimana pula dengan kenyataan "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan." | Perkataan "Di mana" hanya digunakan sebagai kata tanya. Bagi frasa "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan", penggunaan "di mana" digunakan kerana frasa tersebut merupakan peribahasa dan ungkapan Melayu yang telah lama, mantap dan lazim digunakan. | Tatabahasa | 29.08.2013 |
Tuan, Salam sejahtera. Saya ingin bertanya sama ada pihak DBP ada menyediakan perkhidmatan penganjuran kursus penulisan surat rasmi untuk kakitangan awam. Jika ada JPJ Negeri Sarawak ingin menjemput pihak DBP untuk mengadakan kursus tersebut di Jabatan ini. Tujuannya adalah untuk memantapkan teknik penulisan surat dengan ayat/bahasa yang betul dan halus bagi kakitangan yang diminta untuk menyediakan surat/memo untuk pegawai atasan. Maklumbalas tuan amatlah dihargai. Sekian, terima kasih. | DBP menganjurkan pelbagai kursus penataran bahasa, sastera, penerbitan dan penulisan. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh berhubung dengan Akademi Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur atau hubungi pegawai Akademi Bahasa Puan Faridah A. Rahman melalui e-mel faridah@dbp.gov.my. | Lain-lain | 02.07.2013 |
Salam. Ada kekeliruan ejaan. Kamus Dewan Ed. 4 menyatakan ejaan "insya Allah" ada tanda sempang, "insya-Allah". Tetapi, dalam rujukan Khidmat Nasihat, ada yg menyatakan ejaan yg betul "insyaAllah" dan ada yg menyatakan "insya-Allah". Rujukan prpm di sini http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=insya-allah&d=10. Mohon pencerahan. T.k. | Ejaan yang betul ialah insya-Allah. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Ejaan | 24.07.2013 |
ada istilah2 yang tidak dapat diperolehi. Saya mencari istilah utk frasa "cross cutting issues" | Untuk makluman, istilah "cross cutting issues" tidak terdapat dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah isu lintas sektor atau isu rentas sektor. | Istilah | 12.11.2013 |
ada orang cakap, wisma ialah bangunan sekurang-kurangnya 3 unit dan 3 tingkat, betul ke? | Untuk keterangan lanjut berhubung kriteria bangunan untuk "wisma", mohon diajukan pertanyaan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 10.04.2013 |
Ada sesiapa yang mengetahui asal usul perkataan "sanubari"? | Salam sejahtera, Sanubari bermaksud hati, jantung hati dan perasaan dalam hati atau batin. Tiada maklumat secara terperinci mengenai asal usul perkataan sanubari dalam sumber rujukan kami. | Lain-lain | 05.11.2012 |