assalamualaikum, nama saya azlin.. saya ingin bertanya..jika baru mendaftar KPBDBP, bagaimana saya nak tahu keputusan permohonan pendaftaran tersebut dan agak-agak berapa lama masa di ambil untuk menunggu keputusan pendaftaran? sebab saya baru mendaftar khidmat pengesahan bahasa tadi, jadi saya agak keliru sikit.. trima kasih | Puan akan menerima e-mel yang menyatakan sama ada permohonan tersebut diluluskan atau tidak diluluskan. Sila masuk semula sistem dan klik menu permohonan. Bagi permohonan yang tidak disahkan, sila buat pembetulan seperti yang dikehendaki dan hantar semula permohonan tersebut. Bagi permohonan yang disahkan, sila klik pada "No. Pengesahan" untuk mencetak Sijil Pengesahan Bahasa. Permohonan akan diproses dalam tempoh satu hari dan bergantung pada jumlah permohonan yang terdapat dalam sistem. | Lain-lain | 28.01.2014 |
Hi DBP Team, saya ingin bertanya jika ada apa-apa updates mengenai pertanyaan saya sebelum ini iaitu berkenaan terjemahan 'Inverse ETF' pada 15/05/2019. Adakah pihak Tuan sedang berbincang atau bagaimana? Agak-agak bila ya saya boleh dapat jawapan? Terima Kasih & Selamat Berpuasa. | Dalam data rujukan kami, belum terdapat padanan khusus bagi istilah “Inverse Exchange Traded Funds (ETFs)”. Walau bagaimanapun, terdapat istilah “inverse” yang dipadankan sebagai songsang (Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu). Cadangan kami bagi istilah “Inverse Exchange Traded Funds (ETFs)” ialah Dana Dagangan Bursa Songsang. | Istilah | 27.05.2019 |
apakah maksud simpulan bahasa bagi serkap jarang? saya sudah mencari di dalam kamus tapi tiada ,jadi saya berharap agar DBP boleh membantu saya .terima kasih | Maksud simpulan bahasa "serkap jarang" ialah menuduh (meneka dan lain-lain) secara sembarangan atau agak-agak sahaja | Makna | 12.06.2016 |
agak kebiru-biruan.(BETULKAH AYAT INI?) | kebiru-biruan ... Perkataan agak tidak perlu dimasukkan kerana kebiru-biruan bermaksud agak biru; seakan-akan biru. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
Perkataan yang manakah betul? A) menaksir B) mentafsir | Kedua-dua perkataan "menaksir" dan "mentafsir" adalah betul. Kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang berlainan. "Menaksir" bermaksud mengira atau menghitung jumlah, harga dan lain-lain atau maksud keduanya ialah menyangka atau mengagak dengan melihat-lihat keadaan; atau menilai secara agak-agak; atau mengagak. "Mentafsir" pula bermaksud menerangkan atau menjelaskan maksud ayat Quran atau hadis, atau memberikan penjelasan atau menghuraikan sesuatu perkara. Tuan/puan boleh melayari www.prpm.dbp.gov.my untuk mendapatkan maklumat berkaitan bahasa atau makna perkataan. | Lain-lain | 16.11.2016 |
Badan budak yang berambut pendek itu ialah agak kurus. Ayat di atas tidak gramatis, oleh itu manakah jawapan yang betul bagi jawapan di atas: 1. Badan budak yang agak kurus itu berambut pendek. atau 2. Badan budak yang berambut pendek itu agak kurus | Ayat yang lebih gramatis ialah "Badan budak yang berambut pendek itu agak kurus". | Tatabahasa | 21.06.2011 |
As salam, Saya ingin tahu cara menulis elipsis dengan betul.Perlukah ada jarak sebelum dan selepas tanda elipsis. contohnya, yang mana antara berikut yang betul? A. Saya ... agak keliru. (Jarak sebelum dan selepas elipsis) B. Saya...agak keliru. (Tiada jarak) C. Saya ...agak keliru. (Jarak sebelum elipsis) D. Saya... agak keliru. (Jarak selepas elipsis) Terima kasih. | Alaikumussalam. Cara penulisan elipsis untuk konteks ayat yang dijadikan contoh ialah kaedah A, iaitu perlu ada jarak sebelum dan selepas: Saya ... agak keliru. | Lain-lain | 08.01.2015 |
Saya agak keliru dengan penggunaan istilah kurun dan abad. Bilakah kata tersebut digunakan untuk memaknai 'century'? | Kurun dan abad membawa maksud yang sama, iaitu jangka masa seratus tahun. Perkataan tersebut mula digunakan secara meluas apabila terakam dalam kamus. | Makna | 25.12.2018 |
Saya agak keliru untuk ejaan Melayu bagi perkataan 'tart'. Dalam kamus dewan edisi keempat dan juga kamus pelajar, tart dirakamkan sebagai baku. Tetapi dalam istilah Malaysia ditulis tat sebagai padanan tart. Manakah yang patut digunakan dalam penulisan? Berdasarkan korpus DBP, manakah ejaan yang lebih luas diguna pakai dalam penulisan? | Ejaan yang betul ialah tart. Sedikit panduan yang boleh digunakan jika berlaku perbezaan maklumat, sila rujuk data Kamus Pelajar. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 28.10.2018 |
Saya agak keliru dengan penggunaan "memberi" dan "memberikan". Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (hlm.1723), contoh ayat yang diberikan untuk kata dasar "tuisyen" adalah seperti berikut: dia mencari nafkah dgn memberi ~ kepada pelajar-pelajar sekolah? Bukankah "memberi" digunakan hanya untuk sesuatu yang bernyawa dan "memberikan" digunakan untuk objek yang tidak bernyawa? | Perkataan 'memberi' dan 'memberikan' merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan 'memberi' hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala 'memberikan' hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Contoh : Abang memberi adik sebatang pensil; Pengetua memberikan nasihat kepada semua pelajar. Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, menerangkan maksud dan contoh penggunaan kedua-dua kata tersebut, iaitu:(i) Memberi - menyebabkan seseorang menerima sesuatu. Contoh ayat: Ia memberi anak-anaknya wang saku.(ii) Memberikan- menyerahkan sesuatu kepada. Contoh ayat: Saya memberikan buku itu kepada adik saya. | Tatabahasa | 14.10.2017 |