apa beza penggunaan kata sejuk dan dingin? contoh; kesejukan air sungai atau kedinginan air sungai? mana satu yg betul? saya perlukan penjelasan tetntang perbezaan penggunaannya | Sejuk bermaksud tidak panas atau tidak hangat, rendah suhunya dan dingin. Maksud dingin ialah tidak panas, sejuk. Ini bermakna, sejuk dan dingin merupakan kata sinonim dan kedua-duanya boleh digunakan berdasarkan contoh soalan yang telah diberikan. | Makna | 10.11.2020 |
Adakah ada ikan di dalam air sungai itu? Adakah ikan di dalam air sungai itu? Ayat yang manakah betul? | Ayat yang betul dan sesuai digunakan ialah “Adakah terdapat ikan di dalam sungai itu?” | Tatabahasa | 23.04.2024 |
Air Sungai Dong itu menjadi cetek kerana musim kemarau yang berpanjangan. (kerana, apabila)Betulkah penggunaan kerana di dalam ayat tersebut? | Menurut data kami, kedua-dua ayat di atas betul. | Tatabahasa | 11.05.2020 |
Adakah ayat-ayat ini betul? 1. Air sungai itu biasanya akan pasang pada waktu malam. 2. Cuaca pada hari ini sangat dingin sekali. | 1. Betul. | Tatabahasa | 16.07.2010 |
hi. ayat ini betul atau salah?......1. Air sungai itu sangat dalam sekali. | Saudara Jonathan, Kata penguat amat,sangat,sungguh, dan begitu semuanya boleh digunakan serentak dengan kata penguat "sekali". Ayat yang anda berikan betul. Kata penguat yang tidak boleh digunakan serentak dengan "sekali" ialah "paling" dan "ter" sahaja. | Tatabahasa | 03.10.2012 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi "promenade" (iaitu kawasan tepian air/sungai/laut yang biasanya dijadikan kawasan rekreasi/tumpuan pelancong). Contoh: Kuantan Promenade dan Kota Bharu Promenade. | Kami mencadangkan "promenade" diterjemahkan sebagai "sesiaran". Namun, padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 25.04.2022 |
Adakah betul secara istilahnya menggunakan perkataan 'mengaut' didalam konteks ayat ini. Saya mengaut air sungai dengan baldi . saya berpendapat mencedok tidak tepat jika digunakan dengan kata nama baldi kerana cedok adalah untuk kuantiti yang sedikit seperti sendok atau cetung. Mohon jawapan dan nasihat. | Lazimnya perbuatan mengaut dilakukan dengan tangan (mengumpulkan dengan tangan), seperti mengaut pasir di pantai. Oleh itu, kata mengaut tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 20.09.2011 |
Betulkah Perkataan "Deras" ialah kata adverba? Mohon penjelasan pihak DBP. Terima kasih. | Saudari, Perkataan deras merupakan kata adjektif. Sebagai contoh, air sungai itu mengalir begitu deras. Walaubagaimanapun, perkataan ini boleh jadi kata adverba mengikut pada penggunaan ayat tersebut. | Tatabahasa | 17.08.2020 |
Salam, boleh tuan/puan berikan maksud 'air laut', 'air kolam' dan 'air sungai'? Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan, laut ialah air masin yang menggenangi sebahagian besar daripada muka bumi, sungai ialah tali air yang semula jadi dan kolam ialah lubang (lekuk) di tanah yang berisi air. Puan boleh melayari laman PRPM.dbp.gov.my untuk makna perkataan. | Tatabahasa | 03.09.2013 |
Salam Sejahtera. Mohon penjelasan Tuan/Puan berkenaan dengan kesalahan bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat berikut. Difokuskan kepada pemilihan kata yang digunakan sama ada sesuai atau salah. (Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Sendi) 1. Sungai merupakan sumber semula jadi dalam ia mempunyai banyak ekosistem contohnya ikan, udang, tumbuhan dan lain-lain. 2. Jika pada suatu hari air sungai tidak lagi ada, hari itulah kematian masyarakat. 3. Kepentingan sungai kepada masyarakat mempunyai beberapa utama iaitu sebagai sumber air kepada kita. 4. Air sungai berasal dari air hujan yang mengalir ke gunung dan lalu ke tanah selepas itu air akan menjadi sedap dan bersih dan lalu ke sungai. 5. Sungai yang bersih dan besar akan mempunyai banyak ekosistem yang besar dan mempunyai banyak ikan, udang dan lain-lain. 6. Protein dapat memulihkan organ otak tisu yang rosak. 7. Sungai adalah penting untuk manusia kerana ia merupakan sumber air dan membekalkan protein, 8. Kita harus bersama-sama menjaga kebersihan sungai supaya kita dapat menggunakannya selama-lamanya. Ayat ini merupakan tulisan karangan pelajar sekolah menengah berkaitan tajuk kepentingan sungai. Mohon penjelasan tentang kesalahan bahasanya. Terima kasih. | Bentuk ayat yang betul ialah: 1. Sungai merupakan sumber semula jadi yang mempunyai pelbagai hidupan seperti ikan, udang, tumbuhan dan lain-lain. 2. Jika pada suatu hari air sungai tidak lagi ada, itulah hari penamat bagi manusia. 3. Antara kepentingan sungai kepada masyarakat termasuklah sebagai sumber air kepada kita. 4. Air sungai berasal dari air hujan yang mengalir dari gunung ke tanah selepas itu dan sungai. 5. Sungai yang bersih dan besar mempunyai pelbagai hidupan seperti ikan, udang dan lain-lain. 6. Protein dapat memulihkan organ otak tisu yang rosak. (semak kesahan fakta ini) 7. Sungai adalah penting untuk manusia kerana ia merupakan sumber air dan membekalkan sumber protein. 8. Kita harus bersama-sama menjaga kebersihan sungai supaya kita dapat menggunakannya selama-lamanya. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan untuk menyemak penggunaan kata dan ketepatan ayat yang dibina. | Lain-lain | 27.11.2017 |