Pada masa ini = Kini. Akan tetapi, dalam buku Tatabahasa Dewan halaman 258, ada tercatat Pada masa kini... Yang manakah frasa yang betul? | Kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 31.05.2010 |
isi dan kandungan mempunyai maksud yang sama, akan tetapi mengapa kebanyakan kita sering menggunakan isi kandungan, sama ada dalam pertuturan mahu pun penulisan? Terima kasih | Isi dan kandungan mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, bersama-samalah kita membiasakan yang betul. | Tatabahasa | 10.04.2012 |
Saya dimaklumkan bahawa perkataan "memberi" perlu diikuti dengan benda bernyawa. Akan tetapi, bagaimanakah kalau benda bernyawa menjadi objek pemberian? Contoh: Pak Samad memberikan anak perempuannya kepada Ali untuk dijadikan isterinya. Dalam kes ini, "memberi anak perempuan" atau "memberikan anak perempuan" yang betul? | Perkataan "memberi" dan "memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan "memberi" hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala "memberikan" hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa.
| Tatabahasa | 30.10.2013 |
Assalamualaikum, pertama sekali saya adalah orang awam yang tiada pelajaran, akan tetapi saya suka membaca sehingga membuat keputusan untuk menulis sebuah buku, tapi bagaimanakah untuk menghasilkan sebuah buku? saya tiada pengalaman dan pengetahuan sama sekali. | Penulisan buku dan majalah sama seperti menulis esei. Penulis perlu faham tentang struktur kandungan buku/majalah sebelum mula menulis. Penulisan sesebuah buku memerlukan perancangan yang rapi berbanding dengan majalah. Hal ini demikian kerana sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: halaman separa judul, halaman judul, halaman hak cipta, dedikasi, halaman kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk buku Memahami penerbitan buku:siri penulisan,penerbitan dan percetakan, terbitan Wei-Ling Gallery, 2008. | Lain-lain | 09.04.2013 |
Tuan / Puan, adakah istilah "baharu" merupakan bentuk lama untuk istilah "baru"? Akan tetapi, ada pandangan kini yang mengatakan istilah "baharu" digunakan untuk merujuk "sesuatu benda atau ciptaan yang baharu", manakala istilah "baru" untuk merujukkan "sesuatu (peristiwa) yang baru berlaku", adakah ini betul? Contohnya, laman jaringan sosial adalah satu medium komunikasi yang "baru" atau "baharu"? Terima Kasih. (Daripada Soo Yew Phong) | Puan Soo, Perkataan baharu /baru( padanan bahasa Inggeris "new") digunakan dalam konteks tahun baharau/baru; rumah baharu/baru, iaitu sebagai kata sifat, manakala perkataan baru(padanan bahasa Inggeris "just" atau "recently") digunakan dalam konteks baru tiba ; baru-baru ini, iaitu sebagai kata bantu. | Tatabahasa | 27.12.2010 |
Sekolah-sekolah kini telah menggunakan istilah BAHASA MALAYSIA berbanding BAHASA MELAYU.. akan tetapi, Lembaga Peperiksaan masih menggunakan BAHASA MELAYU.. soalan : yang mana satu penggunaan terkini ?? tq | Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa selagi dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dalam Perkara 152 menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak diubah, maka nama rasmi bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu oleh Lembaga Peperiksaan, sila dapatkan penjelasan lanjut daripada Lembaga Peperiksaan. | Makna | 01.06.2008 |
Salam sejahtera dan Salam Satu Malaysia, Saya sudah terima maklum balas tentang penggunaan kata tanya "di mana" dalam ayat pernyata. Akan tetapi, saya ingin mengemukakan satu pertanyaan lagi iaitu, bolehkah saya menggunakan "sepertimana/sebagaimana" bagi menggantikan kata tanya "di mana" dalam ayat pernayata? Sekian terima kasih. | Penggunaan frasa 'di mana' dan 'yang mana' dalam ayat penyata boleh digantikan dengan perkataan lain yang sesuai dengan makna dan fungsinya dalam ayat tersebut. Lazimnya frasa 'di mana' digantikan dengan perktaan jika atau apabila. Sila berikan contoh penggunaan sepertimana atau sebagaimana sebagai terjemahan which atau where dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 05.04.2011 |
Saya agak keliru mengenai penggunaan perkataan justeru. Menurut guru Bahasa Melayu saya, perkataan 'justeru' tidak boleh digunakan dengan diikuti perkataan 'itu'. Akan tetapi mengikut DBP perkara itu boleh dilakukan. Boleh diperjelaskan | "Justeru" sama makna dengan bahkan, malahan dan lazimnya kita tidak berkata malahan itu, bahkan itu. Oleh itu kata justeru telah memadai dan diikuti dengan tanda koma. | Tatabahasa | 19.08.2009 |
Assalamualaikum... Saya mempunyai persoalan yang mungkin kecil akan tetapi penggunaan perkataan ini menyebakan saya masih keliru adakah wujud perkataan ini di dalam kamus dewan bahasa melayu kesemuanya. Perkataan atau penggunaan istilah ini selalu digunakan pada kertas kerja. soalan saya,adakah wujud perkataan 'persegaran' Harap pihak tuan dapat membantu. Kerjasama pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih. | Untuk makluman sdr, tidak ada kata “persegaran” dalam Kamus Dewan. Kata akarnya ialah “segar” yang membawa maksud segar atau benda yang baru. Walau bagaimanapun, sekiranya kata segar ini diberi kata imbuhan men-, me-...-kan, ke-...-an, pen-...-an, pen-, kata ini akan menjadi menyegar, menyegarkan, kesegaran dan penyegar. Perlu diingatkan, bahawa penggunaan kata ini bergantung pada konteks ayat dan bidang. Justeru, kata yang gramatis ialah "penyegaran" yang membawa maksud proses menyegarkan sesuatu. | Tatabahasa | 02.07.2009 |
Saya rasa terpanggil untuk bertanya samada perkataan Pegawai Waran atau Pegawai Waren yang seharusnya digunakan. Saya telah merujuk kepada Kamus Dewan dan mendapati hanya mendapati terjemahan perkataan Waran sahaja. Akan tetapi, Laman Web Rasmi TLDM menggunakan perkataan Waren. Persoalan saya adakah Waran dan Waren merupakan 2 perkataan yang berbeza maksudnya? Mana satu yang betul dari segi ejaan? | Waran bermaksud surat kuasa yg dikeluarkan oleh majistret, biasanya kpd pegawai polis utk membolehkannya menangkap seseorang atau menggeledah (merampas) harta, dll (rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Oleh itu yang betul ialah Pegawai Waran. | Makna | 07.08.2007 |