Bagaimana cara menentukan penggunaan imbuhan akhiran -kan pada perkataan yang huruf akhirnya K..contoh lonjak, banyak? | Saudara harus tahu membezakan kata yang terbentuk dengan akhiran -kan dan kata yang terbentuk daripada akhiran -an. Kata kerja yang terbentuk dengan akhiran -kan, seperti bukukan, carikan dan tunjukkan. Kata nama yang terbentuk daripada akhiran -an, seperti tamparan, lukisan dan sepakan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 117 dan 183. | Tatabahasa | 10.07.2012 |
Apakah perbezaan dan kegunaan antara imbuhan akhiran -i dan -kan serta digunakan serta peraturan tatabahasanya? Contoh: Tolong sudahi / sudahkan tugasan yang diberi oleh guru tadi. Perkataan yang manakah sesuai digunakan mengikut sistem tatabahasa? | Akhiran kata kerja -i dan -kan diterangkan dengan jelas dalam buku Tatabahasa Dewan, mulai halaman 183. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja tanpa yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Persamaan antara kedua-dua akhiran ini ialah kedua-duanya membawa maksud kuasatif. Perbezaannya pula ialah akhiran -kan mengandungi unsur benafaktif, manakala akhiran -i mengandungi unsur lokatif. Untuk melihat contoh ayat yang digunakan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 13.01.2012 |
Assalamualaikum saudara, Saya agak keliru dengan penggunaan imbuhan akhiran -an dan akhiran -kan sebagai contoh perkataan pembalakan dan pembalakkan. Saya harap agar saudara dapat membantu saya dalam menyelesaikan masalah ini. Sekian,terima kasih. | Berdasarkan contoh yang diberi 'pembalakan', proses yang berlaku ialah apitan kata nama peN-...-an, iaitu peN- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf b menjadi pem + balak + an jadilah pembalakan, bukan akhiran ...-an atau ...-kan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 121. | Tatabahasa | 28.01.2011 |
Adakah semua kata nama terbitan berimbuhan akhiran -an ialah kata nama abstrak. Makanan, senyuman, lautan- kata nama konkrit atau kata nama abstrak sebab ketiga-tiganya boleh dilihat tetapi mempunyai imbuhan akhiran -an. | Akhiran -an apabila bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja tertentu, membawa maksud kerja atau perkara atau benda hasil daripada melakukan maksud yang terkandung dalam kata dasar. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 117 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 23.07.2010 |
i dan kan bagaimana digunakan dan bila sesuail untuk digunakan | Akhiran -kan digunakan wujud atau digunakan dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua (Rencana-rencana itu saya bukukan), dan 2. dalam ayat suruhan (Belikan saya sepasang kasut). Seperti akhiran -kan akhiran -i juga wujud atau digunakan dalam dua bentuk ayat, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi orang pertama dan kedua (Perangainya yang baik itu akan kami contohi), dan 2. dalam ayat suruhan (Contohilah teladan yang baik itu). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 183 hingga 190. | Tatabahasa | 21.02.2009 |
Salam, mengapakah imbuhan pinjaman akhiran bagi 'biduanita' dan 'karyawanita' ialah '-nita' dan bukannya '-ita'? Hal ini adalah kerana jika dipecahkan ejaannya, huruf 'n' sudah sememangnya ada pada kata dasar sebelum ditambahkan imbuhan. Terima kasih. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan, nita merupakan akhiran pinjaman daripada bahasa Sanskrit bukannya ita. Perkataan biduanita dan karyawanita menerima akhiran nita. Perkataan biduanita terhasil apabila biduan(kata dasar) + nita (akhiran) menghasilkan biduanita bukannya biduannita iaitu huruf n digugurkan. Akhiran nita tetap digunakan bukannya ita. | Tatabahasa | 10.07.2013 |
Saya ingin minta bantuan pihak tuan: bagaimana saya dapat menerangkan penggunaan akhiran 'kan' kepada pelajar-pelajar saya dengan cara yang termudah. Terima kasih. | Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif. Kata kerja yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan kedua, contohnya Rencana itu saya bukukan; dan ayat suruhan, contohnya Belikan saya sebuah buku. Untuk maklumat lanjut, rujuk Buku Tatabahasa Dewan, halaman 183. | Tatabahasa | 11.01.2012 |
Apa beza dirujuki dan dirujuk, garisi dan gariskan, tulisi dan tuliskan? Yang mana betul penggunaannya? | Penggunaan yang betul ialah dirujuk, gariskan dan tuliskan. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Perbezaan penggunaan ...i dan ...kan kerana akhiran ...kan mengandungi unsur benefaktif manakala akhiran ...i mengandungi unsur lokatif (tempat), contoh belikan - membeli untuk orang lain, naiki - naik ke atas suatu tempat. (Rujuk Tatabahasa Dewan) | Tatabahasa | 17.07.2013 |
Aspek makna akhiran -kan & -i Adakah ayat-ayat berikut gramatis? 1. Polis menemui kereta yang ditinggalkan penjenayah. 2. Polis menemukan kereta yang ditinggalkan penjenayah. Atas khidmat nasihat yang diberikan, didahului ucapan sesamudera terima kasih. | Dalam Kamus Dewan, menemui sama makna dengan menemukan iaitu berjumpa dengan apa yang dicari. Oleh itu, ayat 1 dan ayat 2 adalah betul. | Tatabahasa | 02.03.2009 |
Salam antara ayat berikut yang manakah betul? 1. Tolong temankan saya ke kedai buku. 2. Tolong temani saya ke kedai buku. Apakah alasannya? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah 1. Tolong temankan saya ke kedai buku. Akhiran kata kerja -i dan -kan diterangkan dengan jelas dalam buku Tatabahasa Dewan, mulai halaman 183. Akhiran -kan boleh bergabung dengan banyak golongan kata dan membentuk kata transitif. Biasanya kata kerja yang menerima akhiran -kan menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja tanpa yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua dan dalam ayat suruhan. Kata Kerja akhiran -i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran -i, iaitu: memberi pengertian menyebabkan sesuatu dan menyatakan unsur tempat. Persamaan antara kedua-dua akhiran ini ialah kedua-duanya membawa maksud kausatif. Perbezaannya pula ialah akhiran -kan mengandungi unsur benafaktif, manakala akhiran -i mengandungi unsur lokatif. Untuk melihat contoh ayat yang digunakan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 23.05.2013 |