saya nak tanya tentang 'sebagai akibat' atau 'sebagai akibatnya',yang mana betul? 'Sebagai akibatnya, imej seseorang remaja akan tercemar.',ayat ini betulkah? | Yang betul ialah akibat atau akibatnya - Akibat/Akibatnya, imej seseorang remaja akan tercemar. | Tatabahasa | 16.06.2010 |
Apakah peribahasa yang menepati maksud di bawah? orang lain yang berbuat salah, orang lain pula yang menanggung akibatnya. Terima kasih. | Terdapat beberapa peribahasa yang menepati maksud "Orang lain yang berbuat salah, orang lain pula yang menanggung akibatnya". Antaranya: 1) Lain orang yang makan nangka, lain orang yang kena getah 2) Lain yang bengkak, lain yang bernanah 3) Lain yang untut, lain yang mengisut. | Lain-lain | 27.06.2015 |
Salam, Adakah 'Antaranya', 'Contohnya', 'Akibatnya', 'Sebenarnya' termasuk dalam penanda wacana? Terima kasih. | Terdapat lima jenis penanda wacana: penanda penghubung, rujukan,penggantian,leksikal dan elipsis atau pengguguran. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525. Kesemua perkataan yang puan kemukakan bukan penanda wacana. | Tatabahasa | 19.08.2014 |
Bolehkah jika menggunakan 'sebagai akibat' dan 'justeru itu'? | Yang betul ialah "akibat" atau "akibatnya" mengikut konteks penggunaan perkataan itu dalam ayat. Bagi "justeru itu", yang betul ialah "justeru" yang bermaksud malahan atau bahkan. | Tatabahasa | 02.03.2009 |
Kekeliruante tentang penggunaan Penanda Wacana yang kerap digabungkan dengan kata ganti nama 'nya', sedangkan 'nya' membawa maksud dia iaitu ganti nama diri ketiga. Contoh-contoh yang saya dapat melalui bahan taklimat pihak Kementerian Pelajaran iaitu, Seterusnya, Tamsilnya, Misalnya, Contohnya, Kesannya, Akhirnya, Natijahnya, Tegasnya, Sesungguhnya, Akibatnya dan Secara keseluruhannya. Bukankah penggunaan ini merupakan satu bentuk kesalahan umum dalam tatabahasa ? Sekian, terima kasih. | Puan Allison, Fungsi 'nya' dalam perkataan tersebut adalah sebagai kata pembenda. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Apakah perbezaan makna antara perkataan "menyakiti" dengan menyakitkan" Kedua-duanya nampak sama saja. Terima kasih. | Menyakiti bermaksud menyebabkan orang berasa sakit atau menjadikan sakit seperti dalam contoh ayat: Sebenarnya polis tidak boleh menyakiti orang-orang tahanan, Kata-katanya menyakiti hatiku. Manakala menyakitkan bermaksud menimbulkan rasa sakit atau mendatangkan sakit, contohnya: Hulu kikir yang bujur akan menyakitkan tangan ketika menggunakannya. Berdasarkan contoh ayat yang diberi, menyakiti - akibatnya kena pada seseorang, manakala menyakitkan - akibatnya kena pada sesuatu/benda. | Tatabahasa | 29.11.2010 |
Salam, saya ingin bertanyakan penjodoh bilangan yang betul untuk bintang (jika banyak disebut gugus, namun bagaimana pula jika cuma satu bintang?) Saya sedang menulis cerita rakyat: Matahari dan Bulan merupakan pasangan suami isteri. Mereka dikurniai banyak cahaya mata, iaitu bintang-bintang ......... Namun apabila pulang, Bulan mendapati Matahari telah mengingkari perintahnya. Akibatnya, beberapa __________ anaknya telah mati dijilat api. Terima kasih. | Penjodoh bilangan tergolong dalam golongan kata nama yang berfungsi menjodohkan kata nama bilangan. Terdapat segolongan kata nama tunggal yang menjadi pasangan pada kata bilangan untuk menjadi sejenis penerang bentuk atau keadaan pada kata nama yang mengikutinya. Contoh: segugus bintang, seutas tali, sekapir sirih, dll. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 106. Sungguhpun begitu, bukan semua perkataan boleh diberikan penjodoh bilangan. Akan tetapi, lazimnya untuk merujuk satu bintang digunakan penjodoh bilang sebutir, iaitu sebutir bintang. | Tatabahasa | 29.12.2015 |
Cikgu, apakah beza antara "menyakiti" dengan "menyakitkan"? Adakah "menyakiti" mesti diikut objek orang dan objek hati, contohnya menyakiti Siew Meng dan menyakiti hati? Selain itu, mesti diikut oleh objek bahagian badankah "menyakitkan"? Contohnya: menyakitkan kaki saya. | Menyakiti bermaksud menyebabkan orang berasa sakit atau menjadikan sakit seperti dalam contoh ayat: Sebenarnya polis tidak boleh menyakiti orang-orang tahanan, Kata-katanya menyakiti hatiku. Manakala menyakitkan bermaksud menimbulkan rasa sakit atau mendatangkan sakit, contohnya: Hulu kikir yang bujur akan menyakitkan tangan ketika menggunakannya. Berdasarkan contoh ayat yang diberi, menyakiti - akibatnya kena pada seseorang, manakala menyakitkan - akibatnya kena pada sesuatu/benda. | Tatabahasa | 28.02.2015 |
Salam bahagia, sesetengah pelajar begitu ghairah menggunakan kata 'rentetan' untuk mengungkapkan maksud 'ekoran' atau 'akibat' atau 'gara-gara' dalam penulisan karangan. Sudah berkali-kali saya merujuki Kamus Dewan untuk memastikan penggunaan kata itu betul kerana penggunannya begitu lelluasa sekali. Sebagai contohnya, "Penghidupan nelayan di negara kita terancam rentetan pencemaran laut." Ada pula menggunakan frasa 'rentetan itu' untuk membawa maksud 'sebagai akibatnya'. Contohnya, "Renteran iu, remaja ponteng sekolah dan berpelesiran di kompleks beli-belah." Adakah kata 'rentetan' sesuai dalam konteks kedua-dua kalimat tersebut? Sila berikan penjelasan agar semua pengguna bahasa Melalyu mendapat manfaat daripadanya. Salam hormat, Kay Seven, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Rentetan bermaksud deretan peristiwa atau bunyi. Penggunaan perkataan rentetan hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya. Dalam hal ini guru boleh memainkan peranan untuk membimbing pelajar menggunakan perkataan yang betul berdasarkan konteks ayat. | Makna | 21.12.2016 |
Slm. Bolehkah tuan semak ayat di bawah. 1. Dalam perjalanan/perjalanannya pulang 2. Setelah memeriksa sangkar Dodo, barulah pengawal keselamatan itu menyedari bahawa Dodolah beruang yang terlepas dari sangkar itu. Pengawal itu menyesali perbuatannta yang cuai. Jika Dodo terlepas dan bertindak ganas terhadap manusia, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku. 3. Gunting ini boleh digunakan untuk menggunting banyak benda," kata bapa arnab sambil memangkas bunga. 4.Sedang Si Buaya termenung, tiba-tiba dia nampak seekor monyer sedang bergayut dari sebatang pokok ke pokok yang lain. 5.Tiba-tiba, Si Buaya berenang masuk ke dalam air sehingga air melepasi kepala Si Monyet pula. 6. "Ha ... ha ... ha kamu telah ditipu wahai Si Buaya yang jahat. Hati saya tidak pernah tinggalkan badan saya," kata Si Monyet. 7. Kamu lebih memerlukannya. Nanti kamu tentu akan demam jika berpanas dia bawah matahari terik. 8.Askar patung kayu menyerang mereka dengan menggunakan air. Akibatnya, askar patung besi menjadi berkarat. | Ayat yang betul ialah: 1. Dalam perjalanan pulang... 2. Setelah memeriksa sangkar beruang Dodo, barulah pengawal keselamatan itu menyedari bahawa beruang Dodo telah terlepas dari sangkar itu. Pengawal itu menyesali perbuatannya yang cuai. Jika beruang Dodo terlepas kemungkinan beruang Dodo akan bertindak ganas terhadap manusia, pasti sesuatu yang buruk akan berlaku. 3. Gunting ini boleh digunakan untuk menggunting banyak benda," kata bapa arnab sambil memangkas bunga. 4. Sedang si buaya termenung, tiba-tiba dia nampak seekor monyet sedang bergayut dari sebatang pokok ke pokok yang lain. 5. Tiba-tiba, si buaya berenang masuk ke dalam air sehingga air melepasi kepala si monyet. 6. "Ha ... ha ... ha kamu telah ditipu wahai si buaya yang jahat. Hati saya tidak pernah tinggalkan badan saya," kata si monyet. 7. Kamu lebih memerlukannya. Nanti kamu pasti akan demam jika berpanas dia bawah matahari yang terik. 8. Askar patung kayu menyerang mereka dengan menggunakan air. Akibatnya, askar patung besi menjadi berkarat.
| Tatabahasa | 18.12.2018 |