Kalau ejaan nama surah menggunakan al-(huruf kecil) spt. al-Baqarah dll., bagaimana pula dengan pengunaan al-sebelum kata nama apakah perlu al . at as, atau Al-. At- As-... dalam situasi perkataan ini terletak di tengah-tengah ayat seperti apakah betul ditulis begini: 1. Riwayat hadis oleh at-Tarmizi (atau At-Tarmizi)? 2. Khalifah Umar al-Khattab (atau Umar Al-Khattab)? 3. Abu Bakar as-Sidiq (atau As-Sidiq atau Al-Sidiq)? 4. Abu Hasan Din al-Hafiz (Abu Hasan Din Al-Hafiz)? Jika ada sebarang teks panduan berkaitan ejaan ini boleh juga e-melkan kepada saya. Sekian, terima kasih. | Perkataan Arab "al-" diterima sebagai kata nama khas dieja dengan tanda sempang dan diikuti dengan huruf besar selepasnya, seperti al-Quran, al-Attas, al-Kitab dan al-Wali. Tuan boleh merujuk buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu, penyusun Encik Ismail Dahaman, terbitan DBP. Buku ini menghuraikan secara terperinci tentang pengenalan sistem ejaan bahasa Melayu pada Bahagian Satu Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu. | Tatabahasa | 07.01.2014 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Soalan saya, bagaimanakah untuk menulis bibliografi bagi buku yang tidak ada tahun terbit, tempat terbit atau penerbit (buku-buku lama). Di mana saya boleh dapatkan rujukan penulisan bibliografi yang tidak lengkap maklumat sebegini? Terima kasih. | Cara untuk menulis bibliografi bagi buku yang tidak ada tahun terbit dan tempat terbit/penerbit, mengikut Gaya Dewan Edisi Keempat (2021) adalah seperti yang berikut: 1. Nama penulis/editor/penyusun diikuti dengan tanda koma. 2. Tahun terbit (t.t. sekiranya tiada tahun terbit) diikuti dengan tanda noktah. 3. Judul dicetak dalam huruf condong, diikuti dengan tanda noktah. 4. Jilid (jika berkenaan), diikuti dengan tanda noktah. 5. Edisi dan cetakan (jika berkenaan), diikuti dengan tanda noktah. 6. Tempat terbit (t.t. sekiranya tiada nama tempat terbit)diikuti dengan tanda titik bernoktah. 7. Nama penerbit, diikuti dengan tanda noktah. Contoh: Al-Ghazāliyy, Muḥammad Ibn Muḥammad, t.t. Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn. t.t.: Maṭba‘aṯ ‘Īsā al-Bābiyy al-Ḥalabiyy. Panduan untuk menulis bibliografi mengikut gaya penerbitan DBP, tuan/puan boleh merujuk Gaya Dewan Edisi Keempat (2024) terbitan Dewan bahasa dan Pustaka. | Lain-lain | 25.11.2024 |