Salam. Saya ingin bertanya penggunaan "bawah" dan " di bawah". bawah pengaruh alkohol atau di bawah pengaruh alkohol? Minta penjelasan sebabnya. Terima kasih. | Kata sendi nama “di” digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Oleh yang demikian, penggunaan kata sendi nama yang betul ditunjukkan dalam ayat, seperti contoh yang berikut: “Ahmad memandu kereta di bawah pengaruh alkohol.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 265-266. | Tatabahasa | 19.08.2024 |
apakah istilah bau yg sesuai untuk bau alkohol | Istilah yang sesuai bagi bau alkohol ialah tengik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 1) tengik - i. bau atau rasa yg tidak sedap (bau minyak kelapa yg sudah lama disimpan dll), pering; ii. ki berbau busuk. | Istilah | 27.10.2006 |
Apakah terjemahan untuk liquor dan spirit? Apakah perbezaan antara keduanya? | Dalam pangkalan data DBP, terdapat beberapa padanan bahasa Melayu untuk "liquor", iaitu likuor, arak, minuman keras dan cecair. Padanan bahasa Melayu untuk "spirit" ialah spirit. Dalam bidang Farmasi, maksud yang diberikan untuk "spirit" ialah larutan alkohol atau hidroalkohol suatu bahan mudah meruap. Contohnya, spirit kamfor dan spirit ammonia aromatik. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, spirit bermaksud cairan yang mengandungi alkohol yang mudah menyejat atau terbakar. Dalam bidang Biologi, maksud likuor ialah 1. Cecair yang digunakan atau yang dihasilkan daripada beberapa proses. 2. Minuman alkohol yang diminum sedikit selepas makan. Oleh itu, padanan bahasa Melayunya bergantung pada konsep dan konteks penggunaan. | Istilah | 08.06.2016 |
Terjemahan untuk "alcohol withdraw" | Padanan bahasa Melayu bagi istilah alcohol withdrawal ialah sarak alkohol. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 30.04.2023 |
Apakah perkataan "metabolised" dalam ayat di bawah ini yang dipadankan dengan "dimetabolasi" betul dari aspek tatabahasa. Melalui semakan kami di prpm, tiada perkataan "metabolised" tetapi terdapat perkataan "metabolise/metabolize" iaitu memetabolismekan. 388.(2) For the purposes of this regulation, the term “carbohydrate” includes alcohol, glycerol, sorbitol or sugar alcohol, and any carbohydrate substance that is capable of being metabolised. 388.(2) Bagi maksud peraturan ini, terma “karbohidrat” termasuklah alkohol, giserol, sorbitol atau gula alkohol, dan apa-apa bahan karbohidrat yang boleh dimetabolasi. | Tuan boleh membetulkan ayat tersebut seperti di bawah: Bagi maksud peraturan ini, terma “karbohidrat” termasuklah alkohol, giserol, sorbitol atau gula alkohol, dan apa-apa bahan karbohidrat yang menggunakan kaedah metabolisme. | Tatabahasa | 18.07.2021 |
Assalamualaikum wb.t, Saya ingin mendapatkan maklumat berkenaan terjemahan bagi perkataan Cider. Sekarang perkataan dalam Bahasa Inggeris adalah Clear Cider carbonated drink. | Menurut istilah bahasa Melayu, maksud cider daripada bidang makanan dan pemakanan bermaksud sider iaitu jus perahan epal yang dijadikan minuman atau digunakan dalam pembuatan cuka. Di Britain, sider selalunya mengandungi alkohol manakala di Amerika Syarikat, sider selalunya tidak mengandungi alkohol. Sider keras ialah sider yang mengandungi alkohol. | Makna | 30.12.2019 |
Assalamualaikum. Perkataan berarak, dimabil daripada perkataan arak ke? Boleh kah sy tahu asal usul pengambilan perkataan berarak? | Salam sejahtera, Tuan, Berdasarkan Kamus Dewan, arak merujuk kepada dua maksud iaitu, pertama sejenis minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan. Maksud kedua merujuk kepada berarak iaitu berjalan beramai-ramai atau beriring-iring. Pihak kami tidak mempunyai maklumat berkaitan asal-usul terbinanya sesebuah perkataan. Pihak tuan boleh merujuk kepada universiti atau membuat kajian sendiri atau boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP untuk maklumat lanjut. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 15.02.2019 |
Adakah kata "pengaruh" berasal dari kata "aruh"? | Pengaruh yang mempunyai makna pengalir berbentuk gelung yang menghasilkan medan magnet (induktor) terbit daripada kata aruh. Manakala pengaruh yang mempunyai makna: kebolehan atau kelebihan yang ada pada seseorang atau sesuatu yang dapat mengubah pandangan, fikiran dan sebagainya seseorang; keupayaan yang ada pada alkohol, dadah dan sebagainya hingga dapat menguasai kewarasan seseorang; kuasa yang disebabkan oleh kedudukan, kekayaan dan sebagainya seseorang atau sesuatu pihak; berdiri sendiri sebagai kata dasar yang menjana terbitan lain seperti berpengaruh, mempengaruhi, pengaruh-mempengaruhi dan terpengaruh. | Lain-lain | 12.05.2025 |