| Bolehkah beri maksud bagi peribahasa di bawah ini, kerana saya sudah cari banyak buku rujukan atau peribahasa tetapi masih tidak dapat cari... 1 kusangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari 2 dendam tak sudah 3 ambil mudah 4 merak mengigal di hutan Terima kasih. | Sdr. Gan, 1. maksudnya- jika berkasih sayang biarlah daripada mula kita bercinta hinggalah ke akhir hayat. bukannya sampai separuh jalan berpisah. 2. bermaksud seseorang yang berdendam dengan seseorang dan tidak mahu pula memaafkannya sampai bila-bila 3. Melakukan sesuatu kerja dengan tidak mahu berfikir panjang, asal siap sudah 4. yang ini saya pernah dengar tetapi pada ketika ini masih belum dapat berikan maknanya. | Makna | 01.12.2010 |
| NOTIS DENGAN TINDAKAN: MENGADAKAN TONG SAMPAH JENIS MUDAH ALIH Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas. 2. Dukacita dimaklumkan, berdasarkan pemantauan pegawai dan makluman dari konsesi kutipan sisa pepejal seliaan pihak Majlis mendapati, pengurusan sisa buangan dirumah sampah iaitu sisa domestik (sisa kantin) masih berulang dan tidak diurus dengan baik. Perkara ini telah diingatkan melalui notis terdahulu berkaitan untuk mengadakan tong sisa dan mengasingkan lokasi antara sisa domestik (sisa kantin) dengan sisa asrama. 3. Sehubungan itu, pihak tuan dimohon dalam tempoh empat belas (14) hari untuk mengadakan tong sampah jenis mudah alih berkapasiti 1100liter untuk pengurusan kutipan sisa domestik (sisa kantin) sahaja oleh pihak Majlis dan menyemak semula perjanjian tuan dengan pihak kontraktor kebersihan sekolah yang perlu menguruskan baki sisa dari asrama untuk dilupuskan ke lokasi yang dibenarkan oleh pihak Majlis. 4. SILA AMBIL PERHATIAN, bagi melicinkan proses kutipan sisa pepejal di tempat tuan, pihak tuan kehendaki untuk mematuhi kehendak notis ini dan pihak Majlis boleh menjalankan aktiviti penguatkuasaan berhubung perkara tersebut. Kerjasama dari pihak tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai. | Tiada soalan yang dikemukakan melalui platform ini. Untuk makluman tuan, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen berbayar bagi teks/dokumen yang panjang. Tuan boleh meng-e-melkan teks ini kepada nawal@dbp.gov.my dalam format langkau dua baris (double spacings), fon tulisan 12 dan jenis tulisan Arial, serta fail dihantar dalam bentuk MS-Word dan PDF, dengan kelarasan (justified). Pihak kami akan menyediakan sebut harga. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.03.2025 |
| Kami hendak mendapatkan pengesahan dari pihak DBP untuk penterjemahan berikut (versi Bahasa Inggeris sebulem Bahasa Melayu). Ini adalah untuk iklan pelanggan kami. Sila ambil perhatian bahawa VERSI 1 menggunakan perkataan 'tap' merujuk kepada tarian 'tap'. Kami memerlukan pengesahan secepat mungkin. Harap dapat maklum balas tuan/puan supaya iklan kami boleh kami bentangkan kepada pelanggan kami (pagi Isnin depan). Terima Kasih. VERSI 1: Just tap & save! It’s time to groove to more savings at the pump. ‘Tap’ aje & jimat! Kini tiba masanya untuk lebih penjimatan di pam petrol. VERSI 2: FAST CARD. BIG SAVINGS. It only takes a tap to save you 10% in petrol rebates! Kad pantas. Penjimatan besar. Hanya sentuh untuk mendapatkan penjimatan 10% dalam rebat petrol! | Kami tidak jelas dengan pertanyaan tuan, terutamanya kaitan antara tarian tap dengan petrol, berkemungkinan jika dilampirkan visual lebih mudah untuk kami memahaminya. Sila kemukakan terus iklan tuan dalam domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP", iaitu domain yang dibangunkan khusus untuk pengesahan iklan. | Penyemakan dan penterjemahan | 10.07.2015 |
| Dari Maalik, Saya ingin membuat aduan mengenai maklumat yang dicari dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka tidak dapat saya temui dengan lebih terperinci.Kebiasaanya, saya dapat mencarii maklumat dalam kamus ini dengan mudah, akan tetapi pada masa kini tidak dapat ditemui. Oleh itu, saya berharap pihak atasan dapat melihat mesej saya ini dan harap dapat diselenggara dengan baik. Sekian | Kami ambil maklum berkaitan aduan tuan. Kami akan terus mempertingkatkan perkhidmatan kami. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Lain-lain | 26.08.2024 |
| Salam, Saya ingin bertanyakan bagaimana pihak DBP menyusun entri yang akan dipapar dalam carian PRPM? Contohnya, saya mencari perkataan 'selesai'. Maka, carian yang bakal saya peroleh ialah segala perkataan termasuk makna perkataan dan sebagainya yang mengandungi perkataan 'selesai' akan turut dipaparkan. Sedangkan makna perkataan 'selesai' yang ingin saya cari entah berada di halaman yang ke berapa. Saya cadangkan, pihak PRPM perlu memaparkan makna perkataan yang dicari mengikut urutan 1. (makna perkataan itu-tunggal mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat), disusuli mengikut kamus edisi kedua dan kamus pelajar. 2. (makna perkataan itu-kata ganda, kata majmuk dan sebagainya) Bukankah lebih mudah dan efisien jika sistemnya disusun dengan begitu sistematik dan mudah difahami? Bukankah PRPM ini untuk rujukan pantas selain melihat ke dalam Kamus Dewan Edisi Keempat itu sendiri? Maka, segalanya harus lebih mudah dan efisien di laman web ini. Harap maaf jika ada terkasar bahasa dan harap pihak DBP dapat ambil tindakan atas perkara ini. Terima kasih. | Terima kasih atas pandangan puan. Untuk makluman puan, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) bukan hanya merakam Kamus Dewan Edisi Empat tetapi merakam pelabagai lagi rujukan seperti Peribahasa, Daftar Istilah, Kamus Pelajar dan lain-lain untuk pengguna bahasa. Puan boleh melayari Gerbang Kata melalui http://ekamus.dbp.gov.my untuk carian makna dalam Kamus Dewan dengan lebih fokus. | Tatabahasa | 27.09.2013 |
| Jika ditinjau dari dimensi yang berbeza,ibu bapa juga dapat memberi ilmu mengurus wang yang betul.Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa ibu bapa sepatutnya menasihati bahawa anak-anak supaya tidak berbelanja wang atas membeli barangan yang tidak berguna untuk belajar pengajian tinggi di Universiti Biar kita lihat,anak-anak yang masih belajar mengatur belanjawan masing-masing dengan cara menyimpan sebahagian daripada wangg saku dalam simpanan tetap di institusi kewangan kini.Anak-anak mereka sering mengadakan pertemuan di pusat beli-belah,pusat hiburan dan di tepi-tepi tembok hingga pada waktu malam.Anak-anak yang sering belanjawan wang saku atas membeli barangan makanan tahun permainan dan sebagainya keluar dari rumah .Biar kita ambil contoh,kita perlu bijaksana membeli barangan yang kita memerlukan dalam kehidupan seharian .Baiarlah kita mula menabung dengan bijaksana atau menyimpan walaupun dengan jumlah yang sedikit pada awalnya kerana “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.” Saya nak tahu akan semua ayat ada kesalahan tatabahasa atau kesalahan istilah tak?Jika ada,bolehkah membetulkan kesalahan yang saya buat.Terima kasih | Jika dilihat dari sudut yang berbeza, ibu bapa juga perlu memberikan ilmu tentang pengurusan wang yang betul kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa seharusnya sentiasa menasihati anak mereka supaya tidak boros ketika berbelanja khususnya ketika melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Perkara ini penting untuk diterapkan dalam diri anak-anak kerana mereka mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya untuk keluar melepak di pusat membeli-belah dan pusat hiburan yang akhirnya akan menyebabkan pembaziran wang. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dengan menasihati anak-anak supaya bijak mengatur perbelanjaan mereka dengan membeli barangan yang diperlukan sahaja. Dalam masa yang sama, budaya menabung juga perlu disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi walaupun dengan jumlah yang sedikit, kerana bak kata pepatah, “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”.
| Lain-lain | 27.01.2021 |
| Salam, bolehkah para Pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu hari ini mempertahankan bahasa Melayu dengan mengurangkan peminjaman istilah-istilah asing seperti bahasa Inggeris dan Eropah sebab bahasa-bahasa itu bukan rumpun Melayu. Jika tiada perkataan atau istilah yang sesuai untuk menterjemahkan sesuatu istilah Inggeris, ada baiknya jikalau para pakar DBP dan tokoh bahasa Melayu meminjam istilah serumpun seperti bahasa Melayu Indonesia, bahasa Jawa, Arab, Filipina dan lain-lain serta ada baiknya juga jikalau dipinjam daripada istilah-istilah loghat negeri atau daerah seperti loghat Kelantan, Kedah, Johor dan jikalau tiada sekalipun, cubalah untuk mereka dan mencipta istilah baru. Untuk itu saya memberi contoh, bahasa Melayu tiada istilah "Bicycle" dalam bahasa Inggeris, lalu dipinjam menjadi ''basikal'' dan itu memang kerja menjengkelkan serta kerja mudah. Apa kata, para DBP dan tokoh bahasa Melayu berfikiran terbuka dan berdaya cipta sedikit . Jadi, dalam loghat kedah ''basikal'' disebut ''gerek''. Jadi, apa salahnya jikalau digunakan ''gerek'' untuk ''basikal'' dalam bahasa Melayu dan boleh juga mencipta istilah lain seperti ''bi'' dalam bahasa Inggeris dan ''dwi" dalam bahasa Melayu serta ''cycle'' dalam bahasa Inggeris dan ''kitar'' dalam bahasa Melayu. Jadi, tak salahkan jikalau digabungkan dua perkataan Melayu itu seperti "dwikitar'' untuk ''bicycle'' dalam bahasa Inggeris. | Kami ambil maklum pandangan tuan. Walau bagaimanapun suka untuk kami berkongsi maklumat bahawa peminjaman bahasa sememangnya berlaku secara tabii apabila dua komuniti, bahkan juga dua komuniti dialek, bertemu antara satu sama lain. Ini bermakna akan berlaku pengambilan unsur bahasa daripada suatu bahasa lain ke dalam bahasa sendiri. Contohnya, perkataan fikir (bahasa Arab), ayu (dialek Jawa) dan almari (bahasa Portugis) telah lama diterima pakai dalam bahasa Melayu sehinggakan perkataan tersebut dianggap sebagai kata jati Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang khusus (peristilahan). Kata serapan pula ialah kata daripada bahasa asing yang diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaannya (jika perlu) supaya sesuai dengan bunyi dan ejaan Melayu. Peminjaman usur-unsur bahasa asing merupakan kelaziman atas beberapa alasan tertentu, iaitu: i. tiada perkataan dalam bahasa Melayu dan keperluan memberikan nama am atau khusus kepada benda atau perkara; ii. perkataan bahasa Melayu belum ada yang dapat menepati maksud semantik bahasa asing; dan iii. Perkataan asing sesuai dan kelihatan lebih bergaya berbanding dengan bahasa Melayu sedia ada yang mungkin sudah lapuk atau jarang-jarang digunakan, misalnya perkataan matematik menggantikan ilmu hisab. Dalam dunia tanpa sempadan, hakikat yang perlu diterima ialah peminjaman bahasa ini juga berlaku dalam semua bahasa dan semakin meluas. Bahasa Inggeris sendiri banyak meminjam bahasa daripada bahasa Latin, Greek dan Perancis. Berdasarkan semakan kami, perkataan bicycle itu sendiri merupakan gabungan daripada bi- (bahasa Inggeris) dan kuklos (bahasa Greek), diasimilasikan menjadi bicycle. Bahasa Arab juga meminjam perkataan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang teknologi. Bahasa Melayu yang mempunyai ciri-ciri bahasa moden tidak dapat lari daripada fenomena sejagat ini. Penggunaan bahasa asing dalam bahasa Melayu juga dilihat semakin berleluasa dan tidak terkawal kerana sifat sesuatu bahasa itu sendiri yang sentiasa berkembang seiring dengan perubahan dari semasa ke semasa. DBP, melalui Jawatankuasa Istilah dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim) hanya menerima perkataan asing sekiranya mematuhi proses peminjaman unsur asing ke dalam bahasa Melayu. | Istilah | 06.11.2015 |