Betulkah ayat ini? (Di kaca mata...) Di kaca mata kebanyakan ibu bapa, anak-anak merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga. | Kaca mata dalam konteks ayat tersebut bermaksud sudut pandangan. Ayat yang betul ialah "Dari kaca mata kebanyakan ibu bapa...". | Tatabahasa | 04.02.2014 |
Merujuk jawapan kepada soalan saya yang lepas tentang ketepatan perkataan mencolok mata dan menjolok mata, mengapakan perkataan menjolok mata tidak dapat diterima kerana menurut carian dalam http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/ka_rujukan_kamus_dbp.aspx?KataKunci=menjolok%20mata&Type=1, maksudnya ialah a. sangat jelas kelihatan. b. memberi malu atau menyakiti hati (kerana perbuatan yg tidak sopan, cara berpakaian dsb).? Bukankah maksudnya sama? Persoalan ini timbul kerana dalam ujian sekolah anak mereka telah diberi soalan untuk memilih di anatara menjolok mata dan mencolok mata. Kekeliruan timbul kerana carian dalam kamus memberikan maksud yang sama kepada kedua-dua perkataan tersebut. Bagaimanakah hal ini dapat diterangkan kepada anak-anak?? Harap dapat membantu | Menjolok mata antara maksudnya ialah memberi malu atau menyakiti hati (kerana perbuatan yang tidak sopan, cara berpakaian dan sebagainya); manakala mencolok mata merupakan kata kiasan yang bermaksud menimbulkan rasa meluat dan sebagainya kepada sesiapa yang melihat kerana berlebih-lebihan (tentang pakaian, kelakuan dan lain-lain). Kedua-dua makna tersebut boleh menjadi jawapan tetapi kita menerima pakai kata kiasan (mencolok mata) untuk menggambarkan perbuatan yang boleh menimbulkan rasa meluat kepada yang melihatnya sebagai jawapan yang paling tepat. Walau bagaimanapun dalam hal peperiksaan saudara perlu merujuk kepada pihak Kementerian Pelajaran kerana pihak Kementerian telah menyediakan skema jawapannya sendiri. | Tatabahasa | 23.03.2010 |
betul ke cahaya mata diguna pakai kembali menggantikan "cahaya hati". pohon penjelasan. | Terima kasih kerana bersahabat dengan DBP. Kedua-dua istilah ini boleh digunakan kerana cahaya mata membawa maksud a) kilau mata, sinar mata; b) kekasih, buah hati; dan juga c) anak. Manakala cahaya hati merujuk kepada pengunaan dalam bidang sastera yang bersifat metafora yang menujukkan kebaikan, kebeningan akhlak, dan maksud khusus daripada pengkarya. Molek kiranya dijadikan http://prpm.dbp.gov.my/ sebagai teman setia di hujung jari. | Lain-lain | 05.02.2014 |
peribahasa ibarat burung, mata lepas badan terkurung. Tidakkah sebetunya begini; ibarat burung dalam sangkar, mata lepas badan terkurung. dan kalau mahu melentur buluh, barlah dari rebungnya. terima kasih | Dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu terbitan DBP, ibarat burung: mata lepas badan terkurung bermaksud tidak ada kemerdekaan. Peribahasa umpama burung di dalam sangkar, mata lepas badan terkurung pula bermaksud anak gadis dalam pingitan. Peribahasa melentur biarlah waktu rebung bermaksud mengajar anak-anak biarlah selagi kecil, apabila telah besar, keraslah hatinya dan tidak dapat diajar lagi. | Lain-lain | 08.04.2012 |
assalamualaikum. pertanyaan tentang penggunaan 'menjolok mata' dan 'mencolok mata'... yang manakah lebih tepat? | Puan Ramlah, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Perkataan menjolok membawa makna menusuk (merodok) sesuatu dgn galah dll supaya gugur, menusuk ke dlm lubang dll: kalau engkau hendak ~ buah rambutan itu carilah galah yg panjang sedikit; 2. memasukkan jari tangan ke dlm lubang hidung (kerongkong dll); 3. memancing-mancing keterangan dll drpd orang, mengajuk atau menduga (hati orang); ~ alang (orang) yg sangat tinggi; ~ anak menggugurkan kandungan; ~ hati mengajuk hati; ~ mata a) sangat jelas kelihatan, sangat nyata; b) memberi malu, menyakitkan hati; ~ sarang tebuan prb melakukan sesuatu yg mendatangkan bahaya; yg dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas prb keuntungan yg diharap-harapkan tidak didapat, sedangkan modal atau alat utk mendapatnya hilang juga; Manakala perkataan mencolok membawa makna mencucuk (menusuk); 2. = ~ mata a) mencucuk mata; b) ki tampak jelas, kelihatan jelas benar; c) membangkitkan marah orang yg melihat, menyakitkan hati, memberi malu: apabila berlaku peristiwa-peristiwa yg ~ mata, menyakitkan hati, kita hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Oleh itu perkataan mencolok mata adalah lebih tepat daripada menjolok mata. | Makna | 07.03.2009 |
Salah sejahtera. Adakah kita perlu meletakkan tanda koma (,) sebelum kata hubung 'tetapi', 'dan' serta 'jadi'? | Tanda koma (,) digunakan sebelum kata hubung gabungan "tetapi" yang membawa maksud "pertentangan fakta" dalam ayat majmuk. contoh: Kerajaan berusaha hendak membendunng pengaruh kebudayaan barat yang negatif, tetapi anak-anak muda pula kian tergila-gila mengikutinya. Tanda koma sebelum "dan"bergfungsi sebagai kata hubung setara untuk memisahkan ayat-ayat atau klausa yang fakta-faktanya berurutan yang membawa maksud "serentak", "bersama" atau "berurutan". Contoh: Mohd baru sahaja kematian kedua-dua ibu bapanya, dan menjadi anak yatim piatu. Kata Jadi boleh digunakan di awal ayat, tapi perlu meletakkan koma selepas perkataan "Jadi" Contoh, Jadi, tegaslah bahawa setiap ahli keluarga khususnya ibu bapa tidak harus bersifat materialistik semata-mata. | Tatabahasa | 16.01.2019 |
1. kesedaran mengamalkan makanan sihat memang telah ada tetapi belum memuaskan, kebanyakkannya hanya mula menjaga atau mengubah tabiat makan bila telah menghidap penyakit walaupun ramai tahu mencegah adalah ubat yang paling baik sekali. 2. di zaman ini, adalah sangat sukar sekali untuk seseorang itu merealisasikan sesuatu maklumat. apa yang di klasifikasikan sulit dan rahsia, boleh menjadi pengetahuan umum dan mudah sekali menyebar ke pelusuk dunia. cuma hanya dalam sekelip mata sahaja. 3. adalah menjadi tanggung-jawab syarikat otomatif mempastikan keadaan kenderaan sentiasa berada ditahap terbaik sekali. sebelum dibenarkan bergerak di jalanraya dimana ini wajar menjadi pra-syarat utama sebelum kereta tersebut terjual. 4. akibat penceraian menyebabkan anak-anak akan menjadi liar atau sebaliknya menjadi pendiam dan pendendam, sebagai akibat perbuatan bapa yang kerap melepaskan ketik puas hati kepada anak-anak dengan memukul, menumbuk dan menendang dengan tujuan untuk menghilangkan fikiran terhadap kes penceraan itu. 5. mereka perlu mengenal pasti halangan-halangan yang mungkin mereka menghadapi supaya pencapaian yang mereka perolehi itu lebih baik. | Sila jelaskan soalan saudara. | Lain-lain | 08.12.2011 |
1.Yang manakah betul-mengajar kami mata pelajaran Sejarah ATAU mengajari kami mata pelajaran Sejarah. 2. Sila berikan satu contoh yang dapat membezakan 'merindui' dengan 'meridukan' 3. Ayat Aktif-Salim menulis karangan ini dengan baik Ayat Pasif-Karangan ini ditulis oleh Salim dengan baik -Karangan ini ditulis dengan baik oleh Salim (Yang manakah betul ayat pasif di atas) | Ayat yang betul ialah, 1. Mengajari kami mata pelajaran Sejarah - mengajari bermaksud mengajar seseorang (sesuatu ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sebagainya), melatih (seseorang): contoh, guru yang mengajari murid-murid darjah 5 ilmu alam dan sejarah. 2. Merindui bermaksud mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk bertemu dengan seseorang atau mendapatkan sesuatu dan sebagainya, yang sentiasa berada dalam ingatan, kenangan dan sebagainya: contohnya, orang tua itu merindui anak cucunya, manakala merindukan bermaksud membangkitkan rasa rindu, mendatangkan rindu, menjadikan rindu: contohnya, nyanyian yang merawankan dan merindukan hati. 3. Karangan ini ditulis oleh Salim dengan baik dan Karangan ini ditulis dengan baik oleh Salim, kedua-dua ayat ini boleh menjadi ayat pasif. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
Anak musang ---- tangan Amran sehingga berdarah. A memamah B memagut C menggerit. 1 E lakkan membaca di tempat yang gelap supaya mata tidak cepat KABUR . 2 Cermin itu kelihatan KABUR kerana sudah lama tidak dibersihkan. 3 Soalan yang KABUR biasanya sukar dijawab oleh murid 4 Cuaca hari ini diramalkan KABUR pada sebelah petang. Pilih ayat yang menggunakan perkataan KABUR dengan betul. | A. Ketiga-tiga pilihan jawapan yang diberikan tidak sesuai. Dicadangkan: Anak musang menggigit tangan Amran sehingga berdarah. B. 1 Elakkan membaca di tempat yang gelap supaya mata tidak cepat KABUR. 2 Cermin itu kelihatan KABUR kerana sudah lama tidak dibersihkan. 3 Soalan yang KABUR biasanya sukar dijawab oleh murid 4 Cuaca hari ini diramalkan KABUR pada sebelah petang. Untuk ayat 1 dan 2, perkataan kabur boleh digunakan. Untuk ayat 3 dan 4, tidak sesuai digunakan. Untuk ayat 3, perkataan kabur perlu ditukarkan kepada tidak jelas. Manakala untuk ayat 4, perkataan yang lebih sesuai bagi menggantikan perkataan kabur ialah mendung.
| Lain-lain | 06.09.2015 |
air matanya meremang sewaktu melihat jenayah isteri dan anak kecilnya. soalan saya ialah mengikut kamus dewan edisi ketiga, maksud meremang kedua ialah mengalir perlahan-lahan, meleleh, bersimbah (peluh). bolehkah meremang bagi pernyataan di atas. air mata boleh digunakan? | Air matanya meremang sewaktu melihat jenayah isteri dan anak kecilnya. Maksud meleleh atau bersimbah peluh tidak lazim digunakan untuk meremang, makna yang lazim ialah tegak atau berdiri (bulu badan atau roma), kata lainnya seram. Oleh itu kata meremang tidak sesuai digunakan dalam ayat itu, yang betul ialah "Air matanya mengalir sewaktu melihat jenazah isteri dan anak kecilnya" | Tatabahasa | 22.06.2008 |