| bolehkah perkataan 'dakyah' yang membawa maksud kefahamaan digunakan dalam esei? terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah yang betul ialah diayah yang bermaksud penyiaran (penyebaran) sesuatu ideologi (doktrin, pendapat, dsb) utk mendapat sokongan, propaganda: anasir-anasir komunis telah cuba menjadikan isu Islam utk mengembangkan ~ mereka; | Istilah | 01.04.2010 |
| adakah perkataan anasir hanya digunakan untuk konotasi negatif sahaja? boleh ke guna istilah anasir untuk ganti elemen/prinsip spt anasir islam dalam pemakanan? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (2020), perkataan anasir mempunyai empat makna. Makna pertama, fahaman, perbuatan dan sebagainya yang tidak diterima oleh masyarakat pada keseluruhannya. Makna kedua, unsur atau faktor yang mempengaruhi sesuatu, manakala makna ketiga ialah zat yang empat, iaitu air, api, tanah dan angin yang dipercayai menjadi asas segala yang wujud di seluruh alam. Makna keempat, segala yang terdapat di dunia. Walau bagaimanapun, penggunaan anasir bagi ayat ...anasir Islam dalam pemakanan adalah kurang tepat kerana berdasarkan kaedah penyusunan kamus, makna sesuatu perkataan disusun mengikut kekerapan penggunaan. Oleh itu, secara umumnya, makna anasir lebih kepada maksud negatif (makna pertama). | Makna | 07.10.2025 |
| Salam sejahtera. Apakah perbezaan huru-hara dan haru-biru dari segi penggunaan? Harap dapat keterangan yang jelas. Terima kasih. | Haru-biru ialah haru-hara, huru-hara, kacau-bilau, porak-peranda, kekalutan, kerusuhan: kota yang dahulunya sangat tenang telah menjadi haru-biru; Mengharu-birukan 1. menimbulkan kerusuhan (kekacauan dan lain-lain), mengelam-kabutkan, mengacau-bilaukan: rusuhan itu telah mengharu-birukan suasana di bandar itu; 2. menyebabkan sangat gelisah (runsing dan sebagainya): yang sangat mengharu-birukan fikirannya ialah perceraian anaknya; masalah itu mengharu-birukan fikirannya; keharu-biruan keadaan haru-biru: keharu-biruan yang berlaku dalam mimpinya itu pasti akan menambah tekanan jiwanya. Huru-hara ialah dalam keadaan tidak tenteram, kacau-bilau: negeri yang aman akan huru-hara akibat hasutan daripada anasir-anasir komunis; 2. dalam keadaan kelam-kabut (tidak keruan dan sebagainya): dia bimbang kalau diisytiharkan pada waktu itu, akan huru-haralah tentera yang berperang di bawah pemerintahannya; 3. bp berjalan dengan tidak tentu tujuan: janganlah huru-hara ke sana ke mari dengan kawan-kawan pada waktu malam; 4. keadaan kacau-bilau: ahli nujum meramalkan bahawa huru-hara akan berlaku di negeri itu dalam tahun 1990-an; | Tatabahasa | 08.07.2013 |
| 1. Saya memimpin tangan / memimpin orang tua melintasi jalan. Perlukah kata kerja memimpin diikuti dengan tangan? kerana perkataan memimpin telah membawa maksud memegang tangan. 2. Sekolah saya mengadakan pertandingan menyanyi / pertandingan nyanyian? Apakah perbezaan antara kedua-dua frasa nama tersebut? 3. Saya menghidangkan makanan kepada / untuk ibu. Apakah perbezaannya ? kerana saya pernah terjumpa menghidangkan .... kepada dan menghidangkan ... untuk. | 1. Ayat yang betul ialah saya memimpin tangan orang tua melintas jalan. Hal ini kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, memimpin mempunyai tiga takrifan, iaitu: 1. memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat (menunjukkan jalan dll), membimbing, menuntun: Malim Deman pun ~ tangan puteri lalu berjalanlah; 2. mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara, dll), mengepalai (rapat dsb): dia tidak pernah ~ apa-apa pergerakan; tentera yg dahulu dipimpin oleh Jeneral Suharto telah siap sedia utk menghadapi kemungkinan perlawanan drpd anasir-anasir prokomunis; 3. melatih (mendidik, mengasuh, dll) supaya boleh bekerja (berfikir) sendiri; pelajar-pelajar ini dipimpin oleh guru-guru yg terlatih. 2. Frasa yang betul ialah Sekolah saya mengadakan pertandingan nyanyian kerana nyanyian ialah kata nama, sedangkan menyanyi ialah kata kerja. Penamaan sesuatu perkara hendaklah dalam kata nama. 3. Syat yang lebih tepat ialah saya menghidangkan makanan kepada ibu kerana penggunaan kata sendi nama kepada dalam ayat tersebut menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Ayat tersebut boleh juga diolah sebegini: Saya menghidangi ibu makanan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 272 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 07.02.2010 |