Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin bertanya mengenai penggunaan perkataan "ku" dalam penulisan puisi. Contohnya : Andai kutahu atau andai ku tahu? Dan bagaimana pula dengan penggunaan elipsis 3 tanda (...) dan 4 tanda (....) dalam penulisan puisi? Adakah ia dibenarkan? | 1. Mengikut pedoman yang sedia ada kata ganti 'ku', 'kau' dan sebagainya ditulis serangkai dengan kata yang mengikutinya dan kata yang mendahuluinya. Contoh: i. Apa yang kumiliki boleh kauambil ii. Bukuku, bukumu dan bukunya. 2. Penggunaan elipsis ditulis dengan tiga titik sama ada dalam puisi atau ungkapan umum. | Tatabahasa | 20.12.2013 |
AsSalam.. mohon pencerahan mengenai cara penulisan betul bagi kata kependekan "aku" kepada "ku". Sebagai contoh dalam lirik lagu Warisan berikut: Andai (kuterbuang) atau (andaiku terbuang) tak diterima Andai aku disingkirkan Ke mana harus (kubawakan) atau (harusku bawakan) Ke mana harus (kusemaikan) atau (harusku semaikan) cinta ini Ada hukum hakam tak mengenai cara penulisan ini. mengahrapkan bantuan. Terima kasih | Kata ganti nama diri kau ialah kependekan engkau, digunakan sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif maka itu ditulis bercantum contohnya: kaubacalah buku ini. Kata ganti nama diri ku ialah kependekan aku dan digunakan juga sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif atau kata yang mendahuluinya, contohnya kulihat, kudengar, rumahku, menemaniku dan lain-lain. Bagi kata ganti nama diri mu pula (kependekan kamu), digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata yang mendahuluinya, contohnya kepadamu, bukumu, menyayangimu dan lain-lain. | Ejaan | 18.09.2013 |
Salam sejahtera. Sehubungan dengan frasa adjektif ‘...lemah dengan tiba-tiba’, yakni dalam ayat ‘Badannya lemah dengan tiba-tiba’, adakah kata ‘dengan’ merupakan kata hubung pancangan? Andai kata ‘dengan’ itu kata hubung pancangan keterangan cara, adakah ayat itu ayat majmuk pancangan. Pertanyaan ini saya ajukan kerana dalam soal jawab yang bertanggal 18 November 2018, saya difahamkan bahawa ‘dengan’ dalam frasa ‘berbelanja dengan cermat’ merupakan kata hubung. Sekian, terima kasih. | Menurut buku Tatabahasa Dewan, perkataan “ dengan” ialah kata sendi nama yang membawa maksud bersama-sama atau berserta. Dalam ayat “Badannya lemah dengan tiba-tiba”, ayat ini ialah frasa adjektif dan “dengan” di sini membawa maksud unsur keterangan, iaitu keterangan cara bagi kata adjektif lemah. | Tatabahasa | 21.11.2018 |
apakah perbezaan antara "yang" dengan "bahawa". contoh ayat, Ali mengakui ( ) dia sememangnya berasa gementar sewaktu berucap di perhimpunan sekolah petang tadi. jawapan A. yang B. jika C. andai kata D. bahawa nampaknya jawapan A dan D boleh diterima | Saudara/Saudari, "Yang" ialah kata hubung pancangan relatif (kata relatif), berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain. Contoh: Saya membeli baju yang berwarna hijau. "Bahawa" ialah kata hubung pancangan komplemen (kata komplemen), berfungsi sebagai pelengkap pada klausa utama. Contoh, Guru itu menyatakan bahawa Anita sangat rajin. Jadi menerusi ayat contoh yang dikemukakan tersebut kata pancangan 'bahawa' ialah penggunaan perkataan yang tepat dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 20.09.2012 |
Saya mahu tahu imbuhan bagi perkataan ubah. Bolehkan menulis merubah?? Adakah imbuhan 'mer'? Setahu saya hanya ada mengubah. Dalam lirik lagu Siti - Bukan Cinta Biasa ada menggunakan ejaan merubah. Contoh: Andai ku bisa merubah semua Hingga tiada orang terluka | Tidak ada imbuhan mer_. Imbuhan yang betul ialah meng- --> mengubah | Ejaan | 21.05.2014 |
Tuan, minta lihat ayat contoh di bawah. 1. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api. Ayat (1) ialah ayat majmuk pancangan keterangan. Perkataan "dengan" bertugas sebagai kata hubung keterangan cara dalam ayat ini. Andai kata saya menggugurkan kata kerja "menaiki" dalam ayat keterangan "dengan menaiki kereta api", ayat akan menjadi begini: 2. Pemuda itu datang dengan kereta api. Saya hendak bertanya, adakah ayat (2) ialah ayat tunggal atau ayat majmuk pancangan keterangan? Ada orang yang mengatakan bahawa bentuk ayat (2) ialah ayat tunggal. Setelah pengguguran kata kerja "menaiki" dalam ayat keterangan digugurkan, ayat majmuk akan berubah kepada ayat tunggal. Ada hal demikiankah? Satu soalan lagi. Adakah perkataan "dengan" dalam ayat (2) bertugas sebagai kata sendi nama atau masih kata hubung keterangan cara? Bagaimanakah saya membezakan tugas "dengan" sebagai kata sendi nama dan kata hubung? | Ayat Pemuda itu datang dengan kereta api ialah ayat tunggal, kata dengan berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila rujuk Tatabahasa Dewan berkaitan kata sendi nama dan jenis ayat. | Tatabahasa | 22.12.2014 |
Tuan, "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk? Adakah "cuba kata" ialah frasa atau kata majmuk (saya tak pasti) yang bertugas sebagai kata hubung (atau frasa hubung?) keterangan syarat? Kata hubung keterangan syarat seperti "jika", "jikalau", "andai kata", "seandainya". Jadi, adakah "cuba kata" ialah kata atau frasa hubung keterangan syarat? | Tidak ada maklumat dan contoh penggunaan "cuba kata" dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan kata majmuk dibina dengan rumus yang tertentu, tidaklah dengan hanya menggabungkan mana-mana dua perkataan untuk menghasilkan kata majmuk. | Tatabahasa | 17.01.2015 |
Salam sejahtera. “Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam kalangan remaja.” Ayat di atas merupakan ayat tesis atau ayat arahan yang lazim ditemukan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Dari aspek sintaksis, adakah ayat ini betul? Andai kata betul, yang mana subjek dan yang mana predikat? Sekian, terima kasih. | Ayat yang diberikan tidak mempunyai sebarang kesalahan. Subjek bagi ayat tersebut ialah "Terdapat beberapa faktor", manakala predikatnya pula iala "yang menyumbang kepada keleluasaan gejala sosial dalam karangan remaja. | Tatabahasa | 20.11.2018 |
Saya adalah salah 1 agen yang menguruskan reka bentuk grafik dan periklanan, yang membabitkan pelanggan serta membabitkan proses pencarian rezeki didalam perniagaan. soalan pertama. Mengapa proses penyemakkan dari pihak DBP mengambil masa terlalu lama daripada 1 hari jadi ke 3 hari dan kemudian menjadi melebihi 1 minggu? Sedangkan proses ini perlu dibayar memandangkan sebelum ini tidak perlu dibayar namum proses amat bagus yang hanya memerlukan masa 1 hingga 2 hari bekerja sahaja. Perkara sedemikian bukan la baru sekali dua berlaku pada saya, namun proses ini bole menjejaskan perniagaan saya yang mana saya perlu menunggu melebihi 1 minggu untuk mengaut keuntungan sebanyak rm200.00. Soalan kedua Adakah logik akal pada pihak DBP yang mana rm200.00 sudah cukup bagus tuk perniagaan yang perlu kita kutip dalam masa seminggu lebih? Soalan ketiga Adakah tujuan DBP membuat percaturan sedekian adalah untuk menjatuhkan ekonomi atau menjatuhkan penigaan orang melayu di malaysia ini. Soalan ke empat Kenapa perlu diwujudkan sistem ini andai boleh menyusahkan, merugikan pihak lain dan kenapa perlu dibayar andai sistem ini lembab. | Untuk makluman tuan/puan, proses penyemakan dan pengesahan bahasa ditetapkan dalam tempoh 3 hari bekerja selepas bayaran diterima oleh DBP. Walau bagaimanapun, kami berusaha untuk memproses permohonan dalam tempoh kurang dari 3 hari bekerja. Sistem pengesahan bahasa dalam talian diwujudkan bagi memberikan kemudahan dan pilihan kepada pelanggan yang tinggal di luar kawasan Lembah Kelang kerana tidak perlu ke Kaunter Pengesahan Bahasa di DBP Kuala Lumpur untuk mendapatkan khidmat pengesahan bahasa. Sekian. Terima kasih. | Lain-lain | 26.08.2017 |
saya ingin menayakan tentang bagaimana mahu memulakan sesuatu drama?? dan apakah perlu saya buat apabila drama sekolah tersebut gagal?? | Untuk memulakan pengarahan sesuatu drama atau pementasan, amat perlu terlebih dahulu mengenalpasti skrip yang sesuai dan bermutu. Berdasarkan kepada skrip tersebut (setelah dianalisis), baharulah boleh mencari pelakon. Walaupun demikian, teks (skrip) dengan pengarahan adalah dua perkara yang berbeza. Andai skrip memerlukan 10 orang pelakon, seseorang pengarah yang bijak dan kreatif boleh menjadikan hanya empat (4) orang pelakon sahaja. Dalam hal ini, kegagalan sesuatu pementasan sering dikaitkan dengan kegagalan pengarah memindahkan inti cerita teks kepada bentuk gerak dan lakonan yang bermutu. Sekian. | Lain-lain | 16.02.2009 |