sila semak, apapun atau apa pun, sepertimana atau seperti mana, warawiri atau wara-wiri, fatamorgana atau fata morgana apakah maksud kausa dan lokatif berikan contoh kata kerja yg disertakan dengan imbuhan, men---kan atau men---i yang membawa maksud kasatif atau lokatif berikan contoh bagi kata kerja yang sama imbuhannya tetapi selepasnya, membezakan benda bernyawa atau tidak berkan contoh bagi kata kerja yang sama imbuhannya yang kalau diganti sesama sendiri masih tidak mengubah maksud perkataan berkenaan | Ejaan yang betul ialah apa pun, seperti mana, warawiri dan fatamorgana. Maksud kausatif ialah (Lin) berkenaan bentuk kata kerja transitif yg berakhiran -kan yg mengatakan sebab berlakunya sesuatu kejadian (mis dlm ayat Ali membesarkan rumah, -kan dlm kata membesarkan membawa pengertian kausatif, iaitu menjadikan besar). Contoh kata kerja yg disertakan dengan imbuhan meN-...-kan atau meN-...-i yang membawa maksud kausatif atau lokatif ialah menghadiahi dan menghadiahkan. Contoh kata kerja yang menerima imbuhan meN-...-kan dan meN-...-i serta boleh silih berganti tanpa mengubah maksud perkataan berkenaan seperti Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. | Tatabahasa | 29.08.2007 |
Kenapa apa pun tidak boleh dieja dekat (apapun)? Apa bezanya dengan 13 perkataan lain yang boleh dieja dekat tu? | Kata "pun" sebagai partikel dieja rapat seperti walaupun dan sungguhpun, manakala "pun" yang bermaksud juga dieja terpisah seperti dia pun dan telah pun. | Tatabahasa | 16.08.2011 |
salam, ejaan apakah tyang betul bagi perkataan "walau apapun"? | Ejaan yang betul ialah walau apa pun. | Ejaan | 02.04.2012 |
Boleh terangkan ejaan manakah yang betul bagi penggunaan PUN? Apapun atau Apa pun? | Ejaan yang betul ialah apa pun. | Ejaan | 13.08.2011 |
mana satu betul, Dato' Seri Najib atau Datuk Seri Najib, apapun atau apa pun, sepertimana atau seperti mana, Orang Asli atau orang asli, Tan Sri atau Tan Seri, Allah SWT atau Allah S.W.T. , pribumi atau peribumi, bumiputera b huruf besar atau kecil, ada kala atau adakala, senjakala atau senja kala, kerap kali atau kerapkali, Tunku ARahman Putra Al-Haj atau al-Haj, Alor Setar atau Alor Star, hub atau hab, titik tolak ada - atau tiada, perihatin atau prihatin, sembahyang Zohor, zohor atau Zuhur, mentua atau mertua, | Jawapan yang betul ialah 1. Dato' Sri Najib. 2. apa pun. 3. seperti mana. 4. orang Asli. 5. Tan Sri. 6. Allah SWT. 7. peribumi. 8. bumiputera. 9. adakala. 10. senjakala. 11. kerapkali. 12. Tunku Abdul Rahman Putra al-haj 13. Alor Star. 14. hab. 15. Titik tolak bermaksud perkara yang menjadi bahan atau yang digunakan untuk membuka perbincangan (huraian dll) tentang sesuatu; sesuatu yang menjadi dorongan untuk permulaan bagi sesuatu (usaha, kegiatan dll). 16. prihatin. 17. sembahyang zuhur. | Lain-lain | 02.09.2010 |
Saya merujuk soalan Tatabahasa yang ditanya pada 16.08.2011 berkenaan "pun" sebagai partikel. Oleh itu, jika saya ejakan "apapun" sebagai satu perkataan, adakah ia betul? Di sini pun tidak bermaksud juga. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah apa pun. Ada 13 perkataan yang telah ditetapkan ejaannya supaya ditulis serangkai dengan partikel pun, iaitu adapun, andaipun, biarpun, kendatipun, mahupun, sekalipun, walaupun, ataupun, bagaimanapun, kalaupun, lagipun, meskipun. | Tatabahasa | 01.07.2013 |
saya membuat laman web dalam bahasa melayu boleh terjemakan dalam bahasa inggeris | Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menyediakan khidmat terjemahan dalam bentuk apapun, saudara boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia di talian 012-2811814 untuk mendapatkan khidmat terjemahan. | Lain-lain | 06.12.2009 |
apakah faktor-faktor yang menyebabkan bahasa melayu gagal berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dewasa ini. | Bahasa Melayu atau bahasa apapun untuk berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi memerlukan azam politik, perancangan dan penguatkuasaan dalam menangani unsur-unsur yang merosakkan bahasa. Untuk maklumat yang lebih terperinci sila rujuk buku yang berkaitan. | Lain-lain | 15.08.2008 |
Selamat sejahtera. 1. Bolehkah kata 'maka' digunakan sebagai permulaan ayat? Misalnya, 'Maka mereka pun beredar dari situ.' 2. Bilakah kata 'pun' perlu bergabung dengan suatu perkataan? Misalnya, 'telahpun' atau 'telah pun', 'apa-apapun' atau 'apa-apa pun'. Mana satukah yang betul? 3. Betulkah penggunaan imbuhan akhiran -i dalam contoh-contoh berikut? Dia memaklumi keluarganya tentang berita itu. Biar Tuhan yang menghukumi aku. Bolehkah kau menjagainya? Aku akan mengotai janji saya. Wang perak sebanyak lima tahil ini, bukankah dah cukup untuk menyarai hidup selama tiga lima bulan? Sekian, terima kasih daun keladi. | 1. Maka tergolong dalam penanda wacana yang boleh hadir di awal atau pertengahan ayat. 2. Kata adapun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun, sungguhpun dan walaupun dieja sebagai satu perkataan, yang selain daripada senarai tersebut iaitu pun yang bermaksud juga dieja sebagai dua perkataan, contohnya dia pun (juga). 3. Penggunaan memaklumi, menjagai, menyarai dan mengotai (kata kiasan bermaksud menepati janji) dalam ayat-ayat tersebut adalah betul. Tidak ada kata terbitan menghukumi, yang ada menghakimi, seperti contoh ayat: kamu jangan menghakiminya. | Tatabahasa | 28.06.2010 |
Wall FB DBP : 24 Nov 2014 Lyd Singgam Mohon DBP menegur Jabatan Parit dan Saliran.(JPS) yang menamakan projek pengindahan Sungai Klang dengan nama River of Live. Padahal mereka boleh saja namakan projek itu dalam bahasa Melayu yang sesuai seperti Sungai Nadi Kehidupan, Sungai Kehidupan, atau apapun istilah lain yang menarik pada pandangan mereka. Juga program anjuran Kementerian Belia dan Sukan FitMalaysia yang boleh ditukar kepada MalaysiaCergas | Terima kasih aduan daripada pihak tuan. Pihak kami akan menjalankan siasatan dan menghantar surat teguran kepada pihak yang berkenaan jika perkara ini betul. | Lain-lain | 24.11.2014 |