1. Ahli bomba memadamkan api dengan air. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan hos. 3. Ahli bomba memadamkan api dengan saluran paip air. Adakah penggunaan "hos" dan "saluran paip air" boleh digunakan untuk ayat di atas. Mengikut kamus, hos bererti tiub untuk mengalirkan air dari paipnya. Adakah saluran yang digunakan oleh ahli bomba untuk memadamkan api ialah hos? | Tiub merujuk tiub yang dibuat daripada getah dan sebagainya untuk menyalurkan cecair atau gas; manakala saluran ialah sesuatu (seperti paip) yang digunakan untuk mengalirkan benda-benda cair. Merujuk maksud perkataan hos dan saluran tersebut ketiga-tiga contoh ayat tersebut boleh diterima. | Tatabahasa | 14.04.2010 |
Salam.Saya ingin mendapatkan penggunaan sebenar Penjodoh bilangan untuk pemetik api | sebuah pemetik api, namun ada kala penjodoh bilangan tidak diperlukan. contoh : 1. Saya membeli sebuah pemetik api. 2. Saya membeli pemetik api. Kedua-dua ayat di atas adalah tepat penggunaan tatabahasa bahasa Melayu. | Tatabahasa | 13.08.2012 |
A. Apakah perbezaan 'hembus' dan 'tiup' Antara contoh berikut yang mana betul? 1. Amirul meniup api pelita itu apabila bekalan elektrik telah pulih. 2. Amirul menghembus api pelita itu apabila bekalan elektrik telah pulih. B. Penjodoh bilangan bagi 'pingat" Antara contoh berikut yang mana betul? 1. Nabilah telah memenangi beberapa buah pingat dalam sukan berkuda. 2. Nabilah telah memenangi beberapa butir pingat dalam sukan berkuda. | A) Dalam Kamus Dewan menghembus dan meniup sama maknanya iaitu meniup/menghembus, mengeluarkan nafas (udara) dari mulut. Oleh itu, ayat; 1. Amirul meniup api pelita itu apabila bekalan elektrik telah pulih. dan 2. Amirul menghembus api pelita itu apabila bekalan elektrik telah pulih. adalah betul. B) Penjodoh bilangan bagi "pingat" ialah buah, ayat "Nabilah telah memenangi beberapa buah pingat dalam sukan berkuda." adalah betul. | Tatabahasa | 05.07.2009 |
bagaimana perkataan ini dieja. perlu dieja dekat atau dijarakkan 1. sekaligus atau sekali gus 2. keretapi atau kereta api 3. penambahbaikan atau penambah baikan 4. lalu lintas atau lalulintas 5.kemas kini atau kemaskini 6.Projek Landasan Keretapi Berkembar atau dieja dengan huruf kecil 7. pempiawaian atau pemiawaian 8. Rangkaian Kereta api Ekspres atau dieja dengan huruf kecil rangkaian Kereta api ekspres 9. Sistem Transit Aliran Ringan dieja dengan huruf kecil sistem transit aliran ringan 10.adakah Projek Landasan Keretapi Berkembar sebagai nama khas 11.adakah Rangkaian Kereta api Ekspres (ERL) sebagai nama khas | 1. sekali gus. 2.kereta api. 3.penambahbaikan. 4. lalu lintas. 5. kemas kini. 6. Projek Kereta Api Berkembar. 7. pemiawaian. 8. Rangkaian Kereta APi Ekspres. 9. Sistem Transit Aliran Ringan. 10. Kata nama khas. 12. Kata nama khas. | Tatabahasa | 20.05.2010 |
Tolong jelaskan perbezaan antara memanggang,membakar dan menyalai.Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, memanggang bermaksud memasak (memanaskan, mendiangkan) di atas bara api. Membakar bermaksud 1. memanaskan sesuatu (seperti ikan, daging, pisang dan sebagainya) di atas api supaya masak, memanggang. 2. Memasak sesuatu (seperti kuih, ikan, daging, dll) dengan jalan memanaskannya dalam ketuhar. Menyalai bermaksud mengeringkan (mengasapi, memanggang) di atas api. Berdasarkan penerangan di atas, ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai maksud yang sama. | Makna | 01.04.2011 |
Ayat yang manakah betul? 1. Cikgu Abu mengagihkan tugas seperti menanak nasi, menjinjing air, mencari kayu api, mendirikan khemah dan lain-lain kepada kami. 2. Cikgu Abu mengagihkan tugas kepada kami seperti menanak nasi, menjinjing air, mencari kayu api, mendirikan khemah dan lain-lain. | Ayat yang gramatis ialah Cikgu Abu mengagihkan tugas seperti menanak nasi, menjinjing air, mencari kayu api, mendirikan khemah dan lain-lain kepada kami.
| Tatabahasa | 29.05.2012 |
1. Tiap-tiap petang, abang mengambil upah memotong rumput.Betulkah struktur ayat ini? 2. Ahli bomba memadamkan api dengan paip air. Atau Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani kebiasan di negara ini.Betulkah penggunaan imbuhan kebiasan dalam ayat ini ? 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembang perutnya.Apakah kata yang sesuai untuk menggantikan kata kembang? | Ayat sdr yang telah disemak dan disahkan penggunaan bahasa Melayu betul adalah seperti yang berikut: 1. Tiap-tiap petang abang mengambil upah memotong rumput. atau: Abang mengambil upah memotong rumput pada setiap petang. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan air paip. 3. Penggunaan alat moden dalam pertanian memerlukan modal yang besar dan tidak mampu dibiayai oleh petani yang miskin di negara ini. (Nota: Kata "kebiasaan" membawa makna hal yang biasa dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, kata kebiasaan ini tidak merujuk taraf petani tersebut. Justeru, frasa yang tepat ialah petani yang miskin yang tidak mempunyai kemampuan untuk membeli peralatan moden seperti jentera untuk bertani.) 4. Mayat yang dijumpai terapung di tasik itu kembung perutnya. (Nota: kata kembung menunjukkan perut mayat tersebut membesar akibat dimasuki air dan udara, manakala kata kembang merujuk keadaan sesuatu benda yang terbuka atau terbentang luas. Misalnya, bunga yang telah kembang itu terbuka luas. Begitu juga kata kembang merujuk perasaan seseorang. Contohnya, hidungnya kembang apabila dipuji oleh ketuanya ). | Tatabahasa | 09.04.2009 |
Salam, Tuan, 1.Mana yang betul di kalangan atau dalam kalangan. 2. Kenapa kereta api bukan keretapi? 3. urus setia apabila menerima apitan keurusetiaan, kenapa tidak keurussetiaan. | 1. Yang betul ialah dalam kalangan. 2. kereta api ialah kata nama majmuk yang ditulis sebagai dua perkataan. 3. Urus setia apabila menerima apitan ke-...-an menjadi keurussetiaan, bukan keurusetiaan. | Tatabahasa | 29.07.2010 |
Adakah kedua-dua ayat berikut betul dari aspek tatabahasa? 1) Oleh kerana kelaparan, dia terpaksa mencuri. 2) Ianya salah di segi undang-undang untuk memiliki senjata api. Terima Kasih. | Kedua-dua ayat kurang tepat dari segi tatabahasa. 1) Adakah kedua-dua ayat berikut betul dari aspek tatabahasa? Ayat yang tepat - Oleh sebab kelaparan, dia terpaksa mencuri. 2) Ianya salah di segi undang-undang untuk memiliki senjata api. Ayat yang tepat - Salah di sisi undang-undang memiliki senjata api. | Tatabahasa | 29.06.2011 |
Soalan 1 a. ahli bulan sabit merah @ b. ahli Bulan Sabit Merah Soalan 2 a. Rama-rama hinggap pada bunga. @ b. Rama-rama hinggap di bunga. Soalan 3 a. sayur-sayuran sudah masak @ b. sayur-sayuran sudah matang Soalan 4 a. mencari kayu api di hutan @ b. mencari kayu api di dalam hutan TQ | Jawapan yang betul ialah 1. b. ahli Bulan Sabit Merah. 2. a. Rama-rama hinggap pada bunga. 3. a. sayur-sayuran sudah masak. 4. b. mencari kayu api di dalam hutan. | Lain-lain | 07.10.2010 |