1. Saya ingin bertanya, ejaan yang betul bagi perkataan atlet. Adakah atlet atau atlit? 2. Sekiranya ejaan yang betul adalah atlet, mengapa ada penceramah dari satu bengkel yang saya hadiri mengatakan ejaan yang betul adalah atlit? malahan penceramah itu mengatakan dia pakar bahasa/majornya penulisan bahasa/sastera melayu? Dan perkara itu dimaklumkan kepada kesemua peserta bengkel itu yang ramainya terdiri dari semua IPTA? mohon pandangan dan ulasan dari pihak DBP? | Ejaan yang betul ialah atlet. Dalam kaedah penulisan kata serapan daripada bahasa Inggeris, bentuk visual diutamakan. Oleh itu, bentuk e tetap jadi e , contohnya: athlete (BI) = atlet (BM), decription (BI) = deskripsi (BM). | Ejaan | 13.05.2011 |
Assalamualaikum. Jika dirujuk khidmat nasihat tentang ejaan atlet dan atlit, dikatakan bahawa ejaan atlet ialah ejaan yang tepat. Namun demikian, mengapakah ejaan atlit masih terakam di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (halaman 88) ? Benar ada anak panah yang mengkehendaki pembaca untuk merujuk atlet (atlit->atlet) di dalam kamus tetapi hal ini telah mengelirukan pembaca kerana selagi entri atlit wujud di dalam kamus, maka masyarakat beranggapan bahawa atlit ialah ejaan yang sah. Sekiranya atlit ialah ejaan yang salah, ada baiknya dipadam sahaja daripada Kamus Dewan. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah "atlet" dengan sebutan e taling. Ejaan ini telah digunakan dalam Kamus Dewan Edisi Kedua yang diterbitkan pada tahun 1986. Atlet diambil dan melalui penyesuaian ejaan daripada bahasa Inggeris athlete. Tanda anak panah bererti lihat, iaitu lihat perkataan di hadapan. Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum akan cadangan yang dikemukakan oleh tuan untuk penambahbaikan pada masa akan datang. | Ejaan | 11.12.2019 |
Atlet berdiri di atas podium untuk menerima pingat daripada guru besar. Perkataan"podium"betulkah penggunaannya? Terima kasih atas jawapan. | Perkataan "podium" boleh digunakan. Podium bermaksud pentas kecil tempat seseorang berdiri untuk berceramah, meminpin orkestra, dsb. | Istilah | 18.05.2015 |
Zalina Taib Jun 10th, 7:20pm atlit atau atlet | Ejaan yang betul ialah "atlet" dengan sebutan e taling. Ejaan ini telah digunakan dalam Kamus Dewan Edisi Kedua yang diterbitkan pada tahun 1986. Atlet diambil dan melalui penyesuaian ejaan daripada bahasa Inggeris athlete. | Ejaan | 10.06.2015 |
Semua atlet berada dalam keadaan sihat adakah ayat di atas betul? | Ayat itu betul. | Tatabahasa | 08.10.2011 |
Saya merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat, perkataan atlet mempunyai penjelasan manakala perkataan atlit mempunyai anak panah yang merujuk kepada perkataan atlet. Ejaan yang manakah yang harus digunakan dalam penggunaan Bahasa Melayu rasmi? | Tanda anak panah bererti lihat, iaitu lihat perkataan di hadapan. Oleh itu, ejaan yang betul ialah atlet. | Ejaan | 23.08.2011 |
Contoh ayat : Atlet Malaysia yang merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik itu meraih wang tunai berjumlah satu juta Ringgit Malaysia. Soalan : Bagaimanakah cara penulisan untuk 'satu juta Ringgit Malaysia'? a. 1 juta ringgit b. 1 Juta Ringgit c. satu juta ringgit d. Satu Juta ringgit c. Ringgit Malaysia satu juta d. Ringgit Malaysia Satu Juta e. RM 1 Juta f. RM 1 juta g. RM 1000,000 mengapa? | Untuk makluman, tidak ada format yang ditetapkan berkenaan cara penulisan angka. Walau bagaimanapun, kami di Dewan Bahasa dan Pustaka menjadikan buku Gaya Dewan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panduan. Buku berkenaan menjelaskan sekiranya hendak menyatakan jumlah ringgit yang besar, eja unit bagi jumlah yang lebih daripada RM1 juta, atau turunkan semula nombor dengan menjarakkan setiap kelompok tiga digit terakhir. Namun demikian, jumlah tersebut boleh dieja sepenuhnya mengikut kesesuaian. Contoh: 1. RM1 juta 2. RM1 000 000.00 | Ejaan | 11.03.2020 |
Mana perkataan betul ' atlit ' atau ' atlet '? | Yang betul ialah atlet. | Lain-lain | 21.09.2006 |
Beliau mengalungkan pingat kepada ATAU pada atlet itu. Soalan: pada ATAU kepada, dan alasannya? | Beliau mengalungkan pingat kepada atlet itu. Kata sendi nama kepada berfungsi di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, manakala kata sendi nama pada berfungsi di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan keterangan waktu atau tempat. | Tatabahasa | 16.05.2009 |
Salam, saya ingin tahu adakah terjemahan bahasa Melayu berikut, "Atlet Balapan", sesuai untuk padanan bahasa Inggeris, "Track Athlete". Terima kasih | Untuk makluman, belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk track athlete. Walau bagaimanapun, istilah bahasa Melayu untuk track ialah balapan dan istilah bahasa Melayu untuk athlete ialah atlet. Oleh itu, istilah atlet balapan adalah betul dan boleh digunakan. | Istilah | 08.10.2012 |