Bagaimana hendak menerbitkan sebuah majalah sekolah?Harap dapat memberi tunjuk ajar.Terima kasih | Majalah sekolah telah banyak yang diterbitkan. Kaedah penerbitannya sama dengan kaedah penerbitan bahan berkala; penulisan, penyuntingan, atur huruf, dan percetakan. | Lain-lain | 18.05.2008 |
Salam Sejahtera.. Saya ingin tahu mengenai proses penerbitan. Sekiranya status manuskrip ialah Jawatankuasa Penerbitan (JKP), berapa lamakah masa diambil untuk kelulusan? Yg kedua, apakah kriteria yang dibincang dalam JKP walhal telah dinilai oleh penilai pakar DBP? Dan proses apa dilakukan selepas dilulus JKP ? Terima kasih. | Proses penerbitan terdiri daripada beberapa proses utama: Perancangan judul (perolehan manuskrip, penulisan), Editorial (penilaian, penyuntingan substantif, penyuntingan kopi, penyediaan manuskrip bersih), Pracetak (reka letak, atur huruf, semakan pruf, naskhah sedia kamera), Pencetakan, dan Penjualan/Pemasaran. Mesyuarat JKP biasanya diadakan empat kali setahun. Kelulusan judul diputuskan dalam Mesyuarat JKP bagi judul yang dilaporkan dalam mesyuarat tersebut. Walaupun telah dinilai, laporan manuskrip perlu dimajukan ke Mesyuarat JKP untuk pertimbangan kelulusannya. JKP merupakan punca kuasa untuk menerbitkan sesebuah manuskrip. Setelah manuskrip diluluskan oleh JKP, proses seterusnya ialah penyuntingan kopi, dan seterusnya seperti yang dijelaskan di atas. | Lain-lain | 30.03.2012 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah maksud JKE/JKP/Pembinaan/Tolak-JKE/Tolak-JKP/Pracetak pada status semakan manuskrip. Bolehkah terangkan secara terperinci. Status pada manuskrip saya ialah JKP. Terima kasih atas bantuan pihak tuan. | Salam sejahtera, JKE bermaksud Jawatankuasa Editorial. JKP bermaksud Jawatankuasa Penerbitan. Pembinaan bermaksud judul sedang ditulis sehingga siap manuksrip lengkap. Tolak JKE bermaksud judul ditolak pada peringkat Jawatankuasa Editorial. Tolak-JKP bermaksud judul ditolak pada peringkat Jawatankuasa Penerbitan. Pracetak bermaksud peringkat atur huruf, reka bentuk dan akhirnya cetak. Status manuskrip JKP bermaksud manuskrip tuan dalam peringkat diajukan untuk kelulusan JKP. Terima kasih. | Lain-lain | 23.03.2012 |
Terima kasih saudara/saudari pengarang di atas jawapan yang diberikan...tetapi,saya masih menghadapi masalah...Untuk pengetahuan saudara/saudari,saya merupakan ketua pengarang majalah sekolah.tetapi saya tidak mempunyai sebarang pengalaman untuk menjalankan tanggungjawab saya..bolehkah saudara/saudari membantu saya? | Tanggungjawab editor majalah sekolah 1. Membuat perancangan penerbitan majalah sekolah 2. Mengenal pasti dan melantik penyumbang karya dalam majalah sekolah 3. Memastikan karya penulis yang telah dilantik itu siap pada tempoh yang ditetapkan 4. Menilai karya penulis, sama ada sesuai atau tidak sesuai untuk diterbitkan. 5. Membuat penyuntingan karya 6. Menguruskan atur huruf majalah 7. Menemui Guru Besar dan Guru Kanan dan berbincang tentang bahan yang akan diterbitkan dalam majalah sekolah 8. Memastikan bahan yang diterbitkan itu tidak bercanggah dengan dasar sekolah, dasar Kementerian Pelajaran, dasar kerajaan, dan undang-undang negara. | Lain-lain | 01.06.2008 |
Yang berikut ialah kekerapan perkataan berkenaan dirakamkan dalam Kamus DBP tertentu: kadangkala Kamus Dewan - 33 kali Kamus Pelajar - 5 kali Kamus Pelajar II - 12 kali Kamus Komputer – 1 kali Jumlah 51 kali kadang kala Tiada dalam mana-mana kamus DBP ada kala Kamus Dewan - 1 kali Kamus Pelajar - 1 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Jumlah 7 kali ada kalanya Kamus Dewan - 47 kali Kamus Pelajar - 4 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Kamus Komputer - 1 kali Jumlah 57 kali adakalanya Kamus Dewan - 1 kali Jumlah 1 kali adakala Kamus Dewan - 3 kali Jumlah 3 kali 1. Ejaan untuk kata kadangkala adalah jelas satu perkataan. 2. Perhatikan bahawa adakala dimasukkan sebagai satu perkataan di tiga (3) tempat dalam Kamus Dewan termasuklah sebagai lema/entri utama/kata masukan, tetapi di tempat lain dimasukkan sebagai ada kala sebanyak tujuh (7) kali, malah ada kala dengan partikel -nya (ada kalanya) dirakamkan sebanyak 57 kali dalam Kamus DBP. Dengan kekerapan yang tinggi sebagai dua perkataan (ada kala/ada kalanya), mustahil berlaku kesilapan semasa penyuntingan, juga mustahil semasa atur huruf. Jadi, muktamadnya, kata ini harus dieja bagaimana? Qiu Syah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) | Kami ambil maklum atas kekeliruan yang berlaku. Pihak kami akan berbincang dengan bahagian lain yang terlibat di DBP seperti Bahagian Perkamusan serta Bahagian Peristilahan dan Leksikologi bagi mencari satu ketetapan untuk dijadikan panduan. Pihak kami akan menghubungi saudara melalui alamat e-mel yang diberikan dengan kadar segera. | Lain-lain | 15.08.2012 |
Saya perlukan maklumat berkaitan: 1. Panduan penulisan buku 2. Hak cipta dan royalti. 3. Penyediaan manuskrip. 4. Proses penerbitan. | Soalan pertama saudara, iaitu mengenai panduan penulisan buku sebenarnya kurang jelas dan ia terlalu umum. Saudara perlu menyatakan secara khusus sama ada panduan penulisan karya fiksyen atau karya ilmiah. Walau bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan ialah, sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: hlm separa judul, hlm judul, hlm hak cipta, dedikasi, hlm kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Bagi soalan kedua, iaitu hak cipta dan royalti, saudara boleh membaca buku Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010 atau menghubungi Ketua Bahagian Harta Intelek, DBP, Puan Asiah Daud di alamat e-mel asiah2@dbp.gov.my. Bagi soalan ketiga, iaitu penyediaan manuskrip, manuskrip hendaklah ditaip menggunakan perisian Microsoft Word dengan jarak langkau dua baris. Bahagikan manuskrip kepada beberapa fail yang mengandungi 30 halaman. Setiap manuskrip hendaklah dijilid kemas dan diberi judul pada bahagian kulit. Soalan keempat, iaitu proses penerbitan, ia terdiri daripada beberapa proses utama: Perancangan judul (perolehan manuskrip, penulisan), Editorial (penilaian, penyuntingan substantif, penyuntingan kopi, penyediaan manuskrip bersih), Pracetak ( reka letak, atur huruf, semakan pruf, naskhah sedia kamera), Percetakan, dan Penjualan/Pemasaran.Terima kasih. | Lain-lain | 13.10.2010 |
saya Sarina dari Kraftangan Malaysia.. saya sedang menyiapkan cadangan untuk melantik sidang editorial buletin. bolehkah saya mendapatkan bantuan dari DBP untuk mendapatkan penjelasan tentang fungsi dan peranan setiap anggota sidang redaksi (cth:ketua editor, editor grafik, editor teks dll). terima kasih atas segala maklumbalas.. sekian. | Dalam penerbitan buletin, struktur editorialnya merangkumi Ketua Editor, Editor, Pembantu Editor, dan Editor Pengeluaran. Fungsi umum sidang editor ini adalah seperti yang berikut: 1. Ketua Editor- Menjalankan tugas pengurusan penerbitan buletin secara keseluruhannya, seperti perancangan, pengorganisasian kerja, pengarahan, dan pengawalan. Perancangan penerbitan buletin merangkumi tugas seperti merancang strategi penerbitan buletin mengikut kehendak atau spesifikasi penerbit, dalam hal ini mengikut dasar penerbitan Kraftangan Malaysia. 2. Editor- Mengetuai operasi penerbitan buletin , seperti memastikan makalah siap mengikut tarikh yang dikehendaki; ertinya memastikan pengakuran kepada jadual penerbitan. Editor juga membantu Ketua Editor dalam hal pengurusan penerbitan buletin , seperti merancang strategi penerbitan, melantik penulis yang sesuai dan membuat penilaian makalah dan penyuntingan substantif pada makalah tersebut. 3. Pembantu Editor- Membuat kerja penyuntingan dari segi tatabahasa dan sebagainya termasuk menyemak pruf sebelum disahkan oleh Ketua Editor. 4. Editor Pengeluaran - Membuat kerja rekabentuk buletin seperti halaman pertama, , teks, dan sebagainya dan juga menguruskan atur huruf . | Lain-lain | 27.09.2010 |
dalam buku atur cara gunakan - 8.00 malam - Ketibaan Dif-Dif jemputan atau Ketibaan Dif-dif jemputan ( dimana huruf D di kali kedua perkataan Dif menggunakan huruf kecil | Yang betul ialah Ketibaan Dif-dif Jemputan. Huruf D yang kedua ditulis dengan huruf kecil. | Ejaan | 04.11.2011 |
Dif-Dif atau Dif-dif (D kedua huruf kecil.) Binti atau bte jika dicetak dalam buku atur cara majlis rasmi kerajaan | Yang betul ialah Dif-dif, huruf D yang kedua ditulis dengan huruf kecil. Ejaan yang betul ialah binti. | Ejaan | 04.11.2011 |
tambahan:- saya ingin mengetahui proses-proses yang perlu saya lalui untuk menerbitkan buku? bermula dari peringkat awal hingga akhir? | Assalamualaikum saudara, Sekiranya saudara ingin menerbitkan buku, maka proses yang perlu dilalui pertamanya ialah, saudara perlu mengetahui bidang yang hendak saudara tulis dan kepada siapa sasaran yang hendak ditujukan atau siapa pembacanya. Saudara perlu juga mengetahui cara bagaimana menulis kertas cadangan judul kerana sebelum mengemukakan bahan penulisan sebaik mungkin saudara perlu menyatakan cadangan penulisan ini dalam kertas tersebut dan dikemukakan kepada penerbit. Kertas seharusnya mengandungi halaman tajuk iaitu tajuk lengkap yang berupaya memancing pembaca. Kedua, ia harus juga mengandungi pernyataan konsep buku yang dinayatakan dengan jelas perkara dan skop buku, manfaat dan ciri terbaik buku, mengenal pasti khalayak dan menyatakan wibawa penulis. Perkara ketiga ialah jadual kandungan cadangan. Senaraikan kandungan kertas cadangan dan nomborkan mengikut susunan. Keempat, nyatakan tentang perihal buku - gagasan dan matlamat yang dilakarkan dalam pernyataan konsep. Mengapa buku ini perlu diterbitkan. Kelima, nyatakan perihal penulis, wibawa bidang, kerjaya, pendidikan, anugerah dan penghargaan yang diperoleh dan maklumat diri. Keenam, perihal saingan dan pasaran. Ketujuh, jadual kandungan buku. Kelapan, ringkasan bab dan kesembilan, bab contoh. Kertas ini perlulah dikemukakan kepada kami untuk diluluskan tajuk penulisannya. Setelah diluluskan, barulah penulisan bermula yang harus disiapkan dalam jangka waktu tertentu mengikut jadual yang ditetapkan. Setelah siap lengkap secara keseluruhannya, serahlah judul ini kepada kami untuk dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Editorial/Penerbitan. Apabila diluluskan, saudara dikehendaki menandatangani lesen perjanjian antara penerbit dengan saudara selaku penulis untuk tujuan pembayaran royalti. Proses seterusnya ialah penyuntingan, penyediaan manuskrip bersih, atur huruf, pruf dan seterusnya sehingga buku terbit. Sekiranya, perlukan pertanyaan yang lebih terperinci mohon hubungi saya di talian 03-21481532. Maklumat lebih lanjut akan diberitahu kepada saudara. Sekian, harap maklum. | Lain-lain | 12.06.2010 |