1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV | Sdr. Ong, Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv. | Tatabahasa | 08.04.2010 |
Askm.Saya ingin bertanyakan beberapa soalan mengenai maksud arahan dan soalan:ARAHAN:-Tulis perkataan BETUL pada penyataan betul dan SALAH pada penyataan salah dibawah. Soalan: Ayah,boleh saya tolong ayah mencuci kereta. Jawapan - BETUL. 1. Apakah maksud penyataan dalam konteks arahan ini? 2. Perlukah ayat (soalan)perlu diletak tanda soal di akhir ayat?(kerana tidak salah saya hanya ada perkataan kata tanya sahaja perlu diletak ini kerana ia adalah ayat penyata). 3. Kalau perlu diletak tanda baca,adakah ayat itu salah dan jawapannnya adalah SALAH dalam konteks arahan?kenapa? terima kasih. | Puan Norsyariza,Berdasarkan ayat yang diberikan oleh puan, iaitu: Ayah, boleh saya tolong ayah mencuci kereta. (1) Dalam menentukan jenis ayat ini, puan disarankan agar mengenal pasti jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu. Ayat bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu (i) ayat penyata, (ii)ayat tanya, (iii) ayat perintah dan (iv) ayat seruan.(i) Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Contoh ayat: Abdullah sedang tidur.(ii) Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Contoh ayat: Siapakah orang itu?(iii) Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu suruhan, larangan, silaan dan permintaan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:(i) Ayat suruhan (ii) Ayat larangan (iii) Ayat silaan dan (iv) Ayat permintaan. Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Contoh ayat: Keluar kamu dari bilik ini!. Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contoh ayat: Jangan ambil harta orang. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat: Sila serahkan borang ke pejabat. Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan. Contoh ayat: Tolong tutup pintu itu. Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru dan diakhiri dengan tanda seru (!). Contohnya: Aduh, sakitnya kepalaku! Berdasarkan ayat puan seperti di atas, maka jelaslah ayat ini merupakan ayat permintaan. Hal ini demikian, kerana anaknya memohon permintaan untuk menolong ayahnya mencuci kereta. Tambahan kata yang digunakan ialah "tolong". (2) Contoh ayat yang puan berikan ini tidak perlu diletakkan tanda tanya (?) kerana ayat ini bukan ayat tanya atau ayat seruan. | Tatabahasa | 23.03.2009 |
I) Cuaca hari itu redup dan suram kerana hendak hujan. II) Kakak pulang dari tempat kerja dengan wajah yang suram. III) Suasana di tanah perkuburan itu kelihatan suram sekali. IV) Adik berasa suram kerana permainannya yang baru dibeli oleh ayah telah hilang. (Yang manakah ayat yang betul penggunaan perkataan 'suram') | Keempat-empat ayat yang menggunakan perkataan suram boleh diterima. Ayat yang paling gramatis ialah ayat kedua dan ketiga. | Tatabahasa | 23.07.2013 |
Pilih ayat yang betul A. Basikal berwarna perak itu tidak milik saya. B. Beberapa orang pemuda berakit ke muara sungai. C. Salmah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang lepas. D. Ayah menyambut dan berbual dengan para-para tetamu yang hadir. Pilih ayat yang betul I. Mereka melayari internet di kafe siber. Ii. Suraya membeli jeruk mempelam di gerai Pak Kasim. Iii.Kaki tangan di Jabatan Pengangkutan Jalan itu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan telus. A. 1 dan iii B.1 dan IV C. II dan III D. III dan I | 1. Ayat yang betul: B. Beberapa orang pemuda berakit ke muara sungai. 2. Ayat-ayat ini betul: I. Mereka melayari internet di kafe siber. II. Suraya membeli jeruk mempelam di gerai Pak Kasim. III. Kaki tangan di Jabatan Pengangkutan Jalan itu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan telus. Ayat IV tidak dikemukakan. | Tatabahasa | 23.06.2015 |
9) Van yang membawa pekerja kilang itu tersengguk-sengguk kerana hampir kehabisan minyak. 10) Ayah telah membeli beberapa tangkai tasbih semasa mengerjakan umrah di Mekah. | 1. Perkataan tersengguk-senguk tidak sesuai kerana perkataan tersebut bermaksud terangguk-angguk(orang mengantuk).2. Perkataan tangkai tidak sesuai kerana perkataan ini bermaksud i.gagang pada buah ii. penjodoh bilangan untuk bunga. | Tatabahasa | 22.07.2008 |
Selamat malam! Manakah yang merupakan ayat yang betul. Sila juga menjelaskan kesalahan ayat yang lain, terima kasih! I Pusat beli-belah itu sungguh hingar-bingar dengan suara para pengunjung. II Menjadi pelajar terbaik sekolah merupakan hasrat hati Fiazal setelah sekian lama. III Usaha untuk mencapai kejayaan dalam PMR akan dilakukan okeh Aizat sebaik-baik mungkin. IV Hajatnya yang setinggi gunung itu diluahkan abang kepada ayah pada malam itu. | Ayat yang betul ayat II dan ayat IV. Ayat I perlu dipinda menjadi Pusat beli-belah itu hingar-bingar dengan suara pengunjung. Ayat IV menjadi Untuk mencapai kejayaan dalam PMR, Aizat akan berusaha sebaik mungkin. | Tatabahasa | 25.07.2014 |
meN-...-kan : diikuti objek tidak bernyawa meN-...-i : diikuti objek bernyawa konsep di atas diterangkan dlm prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=bernyawa&d=10 Persoalannya , adakah ayat benefaktif tidak mengikut konsep spt di atas? saya keliru krn penggunaannya berlainan spt yg terdpt dlm tatabahasa dewan edisi ketiga (ms/ 197). cth ayat 'Ayah membelikan adik buku'. Dlm ayat tersebut perkataan 'adik' ialah objek bernyawa. Mohon penjelasan yang selengkapnya. | Penggunaan meN-..-kan diikuti objek tidak bernyawa, manakala meN-...-I diikuti objek bernyawa hanya pada kata kerja tertentu sahaja, dan bukan untuk semua kata kerja. Itu pun untuk menentukan penggunaan apitan men-...-kan atau men-...-i yang sesuai dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya. Contohnya: Memberi 1. Ali memberi kucing makanan. 2. Ali memberikan makanan kepada kucing Sila lihat Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207 perenggan bertanda (II) Manakala contoh ayat "Ayah membelikan adik buku" tidak termasuk dalam penerangan di atas. Ayat ini dibawah tajuk aspek makna apitan men-...-kan yang menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud benefaktif atau manafaat. Contoh: 1. Ayah membelikan adik buku. (memberi manfaat kepada adik) 2. Saya memasakkan tetamu gulai ikan (memberi manfaat kepada tetamu) | Lain-lain | 27.08.2014 |
dengan menggunakan digunakan bersama atau pilih antara satu?contohnya,dengan dan menggunakan digunakan berasingan.Terima kasih | Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) Berdasarkan penerangan pada nombor iii di atas, perkataan "dengan" tidak perlu digunakan bersama-sama dengan "menggunakan" keranan telah membawa maksud "menggunakan". | Tatabahasa | 02.03.2012 |
Saya berjanji "pada", "kepada", "dengan" atau "terhadap" dia? Mohon berikan contoh untuk menunjukkan bezanya. Terima kasih. | Salam sejahtera, "Pada", "kepada", "dengan" dan "terhadap" merupakan kata sendi. 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkanketerangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. 3. Kata sendi "dengan" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh: (i) Ayah pergi ke pecan dengan ibu. (ii) Hasilnya tidak setimpal dengan usahanya. 4. Kata sendi "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: (I) Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya. (ii) Air bersifat lengai terhadap logam adi. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.10.2017 |
Selamat sejahtera. Saya ingin bertanya tentang apakah perbezaan dalam penggunaan imbuhan mem..kan dengan mem..i ? Dan buku manakah yang sesuai dalam kajian tatabahasa Bahasa Malaysia? | Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, fungsinya dapat dibahagikan kepada tiga: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i mendakan lokatif. Contohnya: Ayah menghadiahkan sebuah basikal kepada Osman, Ayah menghadiahi Osman sebuah basikal. ii. Bagi kata kerja tertentu, lazimnya apitan meN-...-kan menerima objek yang tidak bernyawa, manakala meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Contohnya: Ali memberi kucing makan, Ali memberikan makanan kepada kucing. iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Mereka cuba melupai/melupakan peristiwa itu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207-208. | Tatabahasa | 24.06.2011 |