Salam, apakah terjemahan bahasa Melayu untuk ungkapan inggeris, 'body of water'? Terima kasih. | Dalam pangkalan data kami, tidak terdapat istilah body of water. Walau bagaimanapun, terdapat istilah body water yang padanan bahasa Melayunya ialah air badan, air tubuh atau cecair badan. | Istilah | 19.09.2012 |
Merujuk soalan saya dan jawapan yang berikut: 2. perkataan yang manakah yang tepat? kita perlu minum untuk menggantikan/mengganti air yang keluar dari/ daripada badan. "kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan" mengapakah perkataan "mengganti" tidak sesuai dengan konteks ayat? harap berikan penjelasan. terima kasih. | Yang betul ialah Kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan. Menggantikan -kata kerja transitf daripada- sumber | Tatabahasa | 16.11.2007 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. 1. Apa yang membezakan penggunaan 'tiub' dan juga 'tabung'? Adakah kedua-duanya padanan kepada 'tube'? 2. Adakah 'badan', 'tubuh' atau 'tubuh badan' mempunyai makna yang sinonim? Mana yang paling tepat sebagai padanan kepada 'body' dalam bidang sains perubatan? 3. 'Tanah-tanih' merupakan istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian iaitu perlu diletakkan tanda sempang sekalipun 'tanah' dan 'tanih' boleh berdiri sendiri dengan makna tersendiri. Adakah terdapat senarai lengkap istilah yang termasuk dalam hukum kekecualian ini? Terima kasih. | 1. Tiub ialah 1. benda yang bulat panjang dan berlubang di tengahnya, torak: ~ kaca (getah); 2. sejenis bekas daripada plastik dll yang digunakan untuk mengisi cecair yang likat dsb: ~ ubat gigi; 3. bahagian dalam tayar basikal. Manakala tabung ialah 1. bekas ruas daripada buluh dll (untuk menyimpan sesuatu), bumbung: ~ air; 2. bekas yang berbentuk silinder: ~ gas oksigen; 3. peti atau kotak (utk surat dll); 4. tempat menyimpan wang (daripada buluh dll), celengan; 5. sesuatu yang berbentuk bulat torak (dlm enjin dll), silinder; 6. wang yang dikumpulkan (dengan mengutip derma dll) untuk maksud tertentu, dana. Dalam data kami, padanan istilah tube dalam bahasa Melayu ialah tiub, tabung dan salur. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, tubuh badan bermaksud keseluruhan jasad. Istilah yang sesuai digunakan dalam bidang perubatan ialah badan. 3. Tanah-tanih merupakan kata ganda yang bermaksud segala macam tanah. | Tatabahasa | 06.10.2013 |
air matanya meremang sewaktu melihat jenayah isteri dan anak kecilnya. soalan saya ialah mengikut kamus dewan edisi ketiga, maksud meremang kedua ialah mengalir perlahan-lahan, meleleh, bersimbah (peluh). bolehkah meremang bagi pernyataan di atas. air mata boleh digunakan? | Air matanya meremang sewaktu melihat jenayah isteri dan anak kecilnya. Maksud meleleh atau bersimbah peluh tidak lazim digunakan untuk meremang, makna yang lazim ialah tegak atau berdiri (bulu badan atau roma), kata lainnya seram. Oleh itu kata meremang tidak sesuai digunakan dalam ayat itu, yang betul ialah "Air matanya mengalir sewaktu melihat jenazah isteri dan anak kecilnya" | Tatabahasa | 22.06.2008 |
Salam sejahtera, Tuan/puan, Sila nyatakan ayat mana yang betul. 1. Badan kucing dilitupi bulu. 2. Badan kucing diliputi bulu. Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan edisi keempat, maksud liput dan litup adalah seperti yang berikut: litup bermaksud tertutup (tertudung dan lain-lain) rapat-rapat hingga tidak kelihatan; melitupi - menutupi rapat-rapat, menyelimuti, menyelubungi; terlitup - tertutup (tertudung) rapat-rapat; litupan - (Geo) sesuatu yg melitupi liput bermaksud 1. berselubung, bertutup, dipenuhi oleh 2. (kiasan) terselindung, tersembunyi; terliput 1. tertutup oleh sesuatu (air dll); 2. termasuk atau terlingkung (dlm sesuatu kawasan dll) Berdasarkan maksud yang diberikan, kedua-dua perkataan, iaitu dilitupi dan diliputi boleh digunakan. | Makna | 25.05.2012 |
Soalan 1 Yang mana betul? a) Banyak orang membanjiri stadium itu. b) Ramai orang membanjiri stadium itu. c) Orang ramai membanjiri stadium itu. Soalan 2 Yang mana betul? a) Ikan paus itu muncul di permukaan air untuk menyedut udara. b) Ikan paus itu muncul di permukaan air demi menyedut udara. Soalan 3 Bagaimanakah hendak menggunakan istilah baharu dan baru? Tolong sertakan beberapa contoh penggunaannya Soalan 4 Yang mana betul? a) Peluh keluar dari badan melalui kulit. b) Peluh keluar daripada badan melalui kulit. Soalan 5 Gariskan atau bulatkan jawapan yang betul. Tolong berikan penjelasan untuk setiap ayat di bawah. a)Faktor utama berlakunya kecelakaan jalan raya (adalah/ialah/-) disebabkan kecuaian pengguna jalan raya. b)Hukuman itu (adalah/ialah/-) tidak benar. c)Kejayaan kem itu (adalah/ialah/-) hasil usaha semua pihak. d)Keputusan rayuan itu (adalah/ialah/-) bergantung pada bukti-bukti yang dikemukakan. e)Kolej itu (adalah/ialah/-) merupakan kolej yang paling terkenal. Soalan 6 Dalam Bahasa Melayu, imbuhan ter- dan kata penguat sekali sudah menunjukkan darjah penghabisan. Justeru hanya salah satu sahaja boleh digunakan. Namun begitu, adakah istilah "terkenal" boleh diikuti dengan perkataan sekali sedangkan istilah terkenal tidak bermaksud paling? Soalan 7 Apakah perbezaan antara istilah agar dan istilah supaya? Tolong berikan beberapa contoh ayat yang menunjukkan penggunaan kedua-dua istilah tersebut. | 1. Ketiga-tiganya betul - a) Banyak orang membanjiri stadium itu. b) Ramai orang membanjiri stadium itu. c) Orang ramai membanjiri stadium itu. 2. Yang betul - Ikan paus itu muncul di permukaan air untuk menyedut udara. 3. Baru dan baharukedua-duanya boleh digunakan, contoh ayat; Kereta baharu, Dia baru sampai dari Kuala Lumpur. 4. Yang betul - Peluh keluar daripada badan melalui kulit. 5. Yang betul - a)Faktor utama berlakunya kecelakaan jalan raya ialah kecuaian pengguna jalan raya. b)Hukuman itu tidak benar. c)Kejayaan kem itu hasil usaha semua pihak. d)Keputusan rayuan itu bergantung pada bukti-bukti yang dikemukakan. e)Kolej itu merupakan kolej yang paling terkenal. 6. Imbuhan ter- dan kata penguat sekali boleh digunakan. Oleh itu terkenal sekali boleh digunakan. 7. agar dan supaya berfungsi sebagai kata perangkai yg menerangkan maksud ayat sebelumnya, dan digunakan dalam situasi yang sama, contohnya; ia berpesan agar/supaya kami pandai-pandai membawa untung. | Tatabahasa | 18.12.2008 |
1. Ayat yang manakah yang betul? I semasa mesyuarat itu, Fauzi mempertajam percakapannya. II pembacaan dapat mempertajam pemikiran. III Pak Ramli mempertajam parangnya. IV Raziah mempertajam telinganya di dalam bilik. 2. perkataan yang manakah yang tepat? kita perlu minum untuk menggantikan/mengganti air yang keluar dari/ daripada badan. | Ayat yang betul ialah, "Pembacaan dapat mempertajam pemikiran" dan "kita perlu minum untuk menggantikan air yang keluar daripada badan" | Tatabahasa | 31.10.2007 |
Tuan/ Puan, Saya Ms Summer dari Syarikat Wen Ken Sdn Bhd (Kilang Pembuatan Air Penyejuk Cap Kaki Tiga). Kami ingin mengetahui perkataan yang sesuai untuk menunjukkan seseorang dalam keadaan 'intense thirst'. Kami ingin menggunakan 'intense thirst' dalam indikasi baru untuk Air Penyejuk Cap Kaki Tiga, di mana Inggerisnya adalah" "Traditionally used to relieve fever, intense thirst and body heatiness." Harap Tuan/ Puan dapat membantu dan memberi cadangan yang sesuai untuk keadaan dahaga yang disebabkan oleh panas badan. Sekian terima kasih. | Untuk makluman puan, tidak terdapat istilah yang khusus untuk intense thirst. Walau bagaimanapun, dalam konteks ayat yang diberikan, perkataan yang sesuai ialah kedahagaan. | Istilah | 19.09.2012 |
Tuan/ Puan yang dihormati, mohon berikan pandangan pada tajuk forum kami. "Dilema Wanita Bandar: Tidakkah Glamor Menyusu Susu Ibu?" Keprihatinan kami adalah pada ayat 'menyusu susu ibu'. Adakah betul penggunaan 'menyusu' itu kerana selepas disemak, perkataan menyusu itu sendiri sudah mewakili 'menyusu daripada badan'. Kami mahu 'highlight' susu badan, bukan susu tiruan/tepung. Adakah pihak tuan/ puan mempunyai cadangan lain? | Menyusu bermaksud menghisap air susu daripada buah dada dan sebagainya. Ini bermakna menyusu juga boleh membawa maksud menghisap susu selain daripada buah dada seperti botol susu. Oleh itu, frasa "menyusu susu ibu" adalah betul. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
1. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "segar" dengan betul. I. Peristiwa lucu itu masih segar dalam ingatannya. II. Ayah suka makan buah-buahan segar untuk mengalas perut. III. Udara di kaki bukit pada waktu pagi sungguh nyaman dan segar. IV. Badan Ali kembali segar setelah dia mandi di perigi itu. A. I dan IV sahaja B. I, II dan III sahaja C. II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV 2. Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan "mencecah" dengan betul. I. Cikgu Ujang menegur Saidin kerana rambutnya mencecah telinga. II. Adik mencecah hujung jari telunjuknya pada permukaan air yang sejuk itu. III. Datuk mencecah biskut dengan air kopi sewaktu minum petang. IV. Air sungai itu telah mencecah paras bahaya. A. I dan III sahaja B. I, II dan IV sahaja C, II, III dan IV sahaja D. I, II, III dan IV | Sdr. Ong, Bagi soalan pertama jawapannya ialah D, semuanya betul. Manakala soalan kedua pula jawapannya ialah B, i,ii,dan iv. | Tatabahasa | 08.04.2010 |