| Bolehkah peribahasa bagai menatang minyak yang penuh digunakan dalam karangan jenis autobiografi. Misalnya, Aku sepasang kasut. Contoh ayatnya. Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Terima kasih. | Penggunaan peribahasa dalam ayat "Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh" adalah betul. Tidaklah menjadi suatu kesalahan menggunakan peribahasa dalam penulisan asalkan disesuaikan dengan maknanya dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 10.08.2011 |
| Salam sejahtera. Adakah ayat ini betul: "Ali menjaga begnya dengan baik bagai menatang minyak yang penuh." Terima kasih. | Penggunaan peribahasa dalam ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 28.05.2017 |
| Saya merujuki buku “Ulang Kaji Total Bahasa Melayu Terkini Tingkatan 1, 2, 3, PMR” terbitan Sasbadi, 2006, halaman 245 – 246. Dinyatakan bahawa (1) kata nama khas seperti nama orang, nama tempat dan judul buku (2) kata majmuk seperti tanah tinggi dan kompleks beli belah dan (3) cogan kata, simpulan bahasa, ungkapan dan sebagainya dikira sebagai sepatah perkataan. Contoh lain yang dianggap sebagai sepatah perkataan berdasarkan panduan itu ialah “Syed Muhammad Amin”, “Kota Kinabalu”, “bahasa jiwa bangsa” dan “bagai menatang minyak yang penuh”. Apakah pendirian KNDBP? | 1. Pendirian kami jelas, iaitu seperti yang termaktub dalam buku Tatabahasa Dewan. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu termasuklah nama orang, nama tempat dan judul buku. 2. Tanah tinggi ialah frasa nama dan kompleks beli-belah ialah kata majmuk. 3. Dalam contoh yang diberikan, perkataan dikira berdasarkan jumlah kata yang terkandung dalam ungkapan tersebut. Walau bagaimanpun hal ini mungkin berbeza dengan skema peperiksaan. Lazimnya kami akan mengingatkan pengguna untuk tujuan peperiksaan, eloklah dirujuk kepada pihak yang berwajib melalui guru di sekolah. Wallahu'alam. | Tatabahasa | 09.05.2012 |