| Tuan, merujuk(Kamus Dewan Edisi Keempat), definasi bagi tempat peranginan bermaksud beristirahat atau berangin-angin (rumah atau bahagiannya); 2. = tempat ~ = kawasan ~ tempat utk beristirahat yg biasanya agak jauh dr bandar (spt di tepi pantai, di puncak bukit, dsb). Di sini, saya ingin tahu, zoo adakah juga termasuk sebagai tempat peranginan? Minta pencerahan. Terima kasih | Berdasarkan Kamus Pelajar, tempat peranginan bermaksud tempat orang pergi berehat (di tepi pantai dan lain-lain). Secara tidak langsung zoo juga merupakan tempat untuk berehat, namun penggunaan yang lebih tepat ialah tempat pelancongan. | Tatabahasa | 04.09.2021 |
| Salam hormat, saya ingin tahu adakah perkataan "begitu", "banyak"dan "belaka" digolongkan dalam tatabahasa Kata Penegas? Terima kasih. | Kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu: (i) Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, -kah, -tah, dan -lah. (ii) Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Perkataan-perkataan begitu dan banyak boleh menjadi kata penegas apabila menerima proses pendepanan, seperti contoh: banyakkah dan begitulah. | Tatabahasa | 22.05.2013 |
| Sila jelaskan fungsi 'kurang' dalam ayat ini, iaitu Kopi ini 'kurang' manis, adakah 'kurang' ini merupakan kata penegas atau bukan? | Kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu: (i) Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, -kah, -tah, dan -lah. (ii) Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Perkataan-perkataan begitu dan banyak boleh menjadi kata penegas apabila menerima proses pendepanan, seperti contoh: banyakkah dan begitulah. | Tatabahasa | 07.04.2017 |
| Mengapakah kita perlu meletakkan partikel kah pada perkataan yang pertama apabila ayat tanya disongsangkan? | Partikel “kah” digunakan pada perkataan pertama dalam ayat songsang adalah untuk memberikan penekanan kepada predikat atau bahagiannya. | Tatabahasa | 04.11.2023 |
| saya hendak tahu makna sebenar perkataan perspektif | (perspéktif) 1. cara pelukisan (penggambaran) sesuatu benda dll pd permukaan yg rata sebagaimana yg kelihatan dr sesuatu tempat pd mata seseorang; 2. pandangan (pentafsiran) yg wajar bkn sesuatu dgn memperkirakan bahagian-bahagiannya dlm hubungan keseluruhannya: logika dan ~ amat penting dlm menghadapi hal ini; oleh yg demikian ~ latihan hendaklah dilihat dr sudut lain. | Makna | 24.10.2007 |
| Kenal pasti kesalahan ayat: 1. Bila gerangan kakanda akan pulang? 2. Berapa tahun dia belajar di luar negeri? | Dalam kedua-dua ayat tersebut perlu diletakkan partikel -kah (Bilakah ... dan Berapa tahunkah ...) sebagai penegas frasa predikat atau bahagiannya. | Tatabahasa | 13.09.2011 |
| 1. Penjodoh bilangan yang paling tepat untuk "tulang". 2. Penggunaan yang paling tepat - "seketul tulang" atau "sebatang tulang". | Tulang bermaksud rangka tubuh manusia atau binatang serta bahagian-bahagiannya yang bersifat agak keras dan kuat. Bagi tulang yang berbentuk panjang dan lurus, penjodoh bilangan yang sesuai ialah batang, manakala tulang yang berbentuk bongkah, potongan dan sebagainya yang keras, padu dan tidak terlalu besar, penjodoh bilangan yang sesuai ialah ketul. Pemilihan penjodoh bilangan yang sesuai haruslah digunakan mengikut bentuk dan struktur tulang yang dimaksudkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 217, 1101 dan 2420. | Lain-lain | 24.10.2025 |
| apakah maksud perkataan berikut beserta dengan contoh ayat a) pasang siap b) pasang besar c) pasang layar d) pasang turun e) pasang iklan f) pasang jaga | a. pasang siap = yang dibina atau dibuat dengsn mengena-ngenakan atau mencantum-cantumkan bahagian-bahagiannya yang telah disediakan atau dibuat terlebih dahulu. b. pasang besar = air pasang besar pada masa bulan muda (atau penuh); c. pasang layar = menaikkan (mengenakan) layar d. pasang turun = air laut (sungai) surut atau turun e. pasang iklan = memasukkan iklan (dalam akhbar, majalah, dan lain-lain); f. pasang jaga = menempatkan (mengadakan) jaga. | Makna | 13.02.2013 |
| salam, bolehkah perkataan "tersergamlah" digunakan dalam ayat? dalam kamus dewan cuma tertera "tersergam" sahaja. | Perkataan "tersergamlah" adalah betul dan boleh digunakan. Untuk makluman, kata penegas"-lah" ialah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat. Partikel "-lah" digunakan untuk menegaskan frasa predikat atau bahagiannya. | Tatabahasa | 14.09.2012 |
| Apakah maksud 'mancaperspektif'? | Untuk makluman tuan, tidak ada perkataan mancaperspektif dalam pangkalan data DBP, walau bagaimanapun, perkataan manca ialah bahasa Indonesia seperti perkataan mancanegara dan pancawarna yang bermaksud banyak. Menurut Kamus Dewan, perspektif bermaksud pandangan (pentafsiran) yg wajar berkaitan sesuatu dengan memperkirakan bahagian-bahagiannya dlm. hubungan keseluruhannya. | Istilah | 13.11.2018 |