Boleh tolong terangkan perkataan "BAN KELAPA"? | Ban kelapa ialah roti kecil yang manis dan bulat dan mengandungi kelapa di dalamnya. | Makna | 17.03.2012 |
Hai, apakah terjemahan yang sesuai bagi "banned"? Sesuai kah ia diterjemahkan kepada "diharamkan"? Contoh ayat: You are banned from this website and unable to login for 10 min. Terima kasih. | Untuk makluman terdapat beberapa istilah bahasa Melayu untuk ban, iaitu haram, halang, larang, sekat dan tahan. Berdasarkan konteks yang diberikan, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah dihalang atau disekat. | Istilah | 16.10.2012 |
Tn, kenapa "di bantah" harus dijarakkan sedangkan "bantah" adalah kata kerja dan "dipukul" pula boleh bersambung yang nama pukul juga kata kerja? Sila bagi nasihat dan panduan tentang penggunaan "di". Jasa baik pihak tuan "di dahului/didahului" ( sila pilih dan beri alasan ) dengan ucapan ribuan terima kasih. | Untuk pengetahuan tuan/puan, ejaan yang betul untuk 'di-ban-tah' ialah 'dibantah'. Ejaannya bukan dijarakkan seperti yang tuan/puan nyatakan. Begitu juga dengan ejaan 'di-pu-kul'. Ejaan yang betul ialah 'dipukul' kerana pukul ialah kata kerja. Untuk keterangan lanjut tentang persoalan atau permasalahan tatabahasa, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 18.12.2008 |
Salam sejahtera, kata 'menyumbang' membawa makna (i) memberikan sumbangan / bantuan (ii) membekalkan tenaga, fikiran dsb. berdasarkan Kamus Bahasa Melayu. Tampaknya, makna atau takrif untuk kata 'menyumbang' bersifat positif: Semasa menjayakan majlis Hari Guru, banyak pelajar yang menyumbang; Diharapkan kalian dapat menyumbang kepada PIBG dengan membeli tiket-tiket konsert amal yang kami anjurkan. Malangnya, sesetengah pihak menggunakan kata ini untuk menyatakan maksud negatif: Kemalasan Muthu menyumbang kepada kegagalannya dalam peperiksaan SPM; Adakah terlintas dalam minda kita tentang faktor-faktor yang menyumbang ke arah gejala pemanasan global yang semakin meruncing ini? Persoalannya, bolehkah kata 'menyumbang' digunakan untuk menyatakan makna negatif dalam bahasa Melayu? Mengapa? Sekian. Salam hormat Kay Seven | Untuk makluman, makna “menyumbang” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah: 1. memberikan sesuatu kpd orang yg mengadakan keramaian (sbg bantuan, sokongan); 2. turut membantu atau menyokong (dgn tenaga, wang, dll). Kedua-dua makna tersebut tidak mengkhususkan kepada maksud positif sahaja. Oleh itu, perkataan “menyumbang” boleh juga digunakan dalam maksud negatif. | Makna | 22.12.2016 |
Salam sejahtera. Penerangan tentang diftong dan vokal berganding senang difahami. Sebaliknya, Penerangan tentang digraf dan terutamanya konsonan bergabung amat mengelirukan. Digraf diterangkan sebagai konsonan bergabung iaitu dua huruf konsonan berturutan yang mewakili satu bunyi. Ada kali konsonan bergabung diterangkan sebagai dua huruf konsonan yang berturutan tetapi dipisahkan dalam suku kata. Soalan 1. Kalau tidak silap, konsonan berganding ialah konsonan berturutan yang terpisah dalam suku kata. Kini, masih wujudkah konsonan berganding? Adakah konsonan bergabung ialah konsonan berganding? 2. Perkataan "Klinik" tergolong sebagai digraf atau konsonan bergabung ataupun kedua-dua? 3. Adakah kemungkinan wujud kesalahan dalam definisi terkini bagi konsonan bergabung dalam buku teks? Ini adalah kerana krayon diberikan sebagai contoh bagi konsonan bergabung. Padahal contoh seperti konkrit (n k) , terminal (r m) , kompleks (mp) diberikan oleh dbp. Sungguh mengelirukan, manakah yang tepat sekali? Yang dahulu, tidak wujud kekeliruan , mudah difahami kerana definisi bagi konsonan bergabung hanyalah satu dan tepat. 4. (Yang terkini) Adakah hanya perkataan daripada b.Inggeris ( seperti trak, promosi, hibrid, program dan lain- lain ) diterima sebagai k. bergabung (contoh buku teks dan buku aktiviti) ? Harap tuan dapat menguraikan kekeliruan saya. Sekian, terima kasih. | Kamus Dewan memberikan takrifan digraf, iaitu dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny dan sy; atau disebut juga dwihuruf, dwilambang, huruf rangkap. Tidak ada maklumat yang jelas tentang konsonan berganding, konsonan bergabung dan konsonan yang berturutan dalam pangkalan data kami. Adapun perkataan lain yang mempunyai urutan huruf konsonan itulah yang disebut konsonan berganding atau konsonan bergabung, dan berkemungkinan dua huruf atau tiga huruf seperti dalam perkataan klinik dan bankrap. Tidak dinyatakan turutan huruf konsonan ini dalam satu suku kata atau sebaliknya. | Tatabahasa | 14.12.2015 |