Merujuk jawapan bagi soalan 46 yang telah saya tanya.Tuan mengatakan bahawa `cuba` ialah kata bantu. ` cuba` ialah kata bantu ragam atau kata bantu aspek? Bolehkah kata bantu `cuba ` boleh menerima imbuhan lalu menjadi `mencuba ` ? Terima kasih. | Cuba tergolong dalam golongan kata kerja, oleh sebab itu cuba boleh menerima awalan meN- (mencuba) dan dalam hal ini cuba bukanlah kata bantu. Untuk lebih memahami kata bantu termasuklah bentuk dan jenisnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 471. | Tatabahasa | 06.05.2009 |
Tolong jelaskan bagaimana frasa sendi nama boleh didahulukan dengan kata bantu? | Kata bantu, yang hadir sebelum frasa ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu dan ragam. Kata bantu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu kata bantu aspek (telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum) dan kata bantu ragam (hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dapat, enggan, patut, dan mungkin). Merujuk soalan yang saudara kemukakan, mohon kerjasama saudara agar dapat memberikan contoh ayat bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam perkara ini. | Tatabahasa | 02.02.2010 |
adakah kata bantu boleh digunakan di hadapan ayat? sekiranya boleh, nyatakan konteks ayat serta contoh penggunaannya. contohnya: 1) Untuk menjadi cantik... 2) Dengan hanya berbelanja... | Kata bantu, yang hanya hadir sebelum frasa, ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu dengan menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu dan ragam. Kata bantu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata bantu aspek menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu sama ada masa lampau, masa kini atau masa hadapan. Bentuk kata bantu ialah telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan, mula dan belum. Contoh penggunaan kata bantu dalam ayat adalah seperti yang berikut: 1. Pekerja itu telah pulang. 2. Murid-murid itu baru tiba. Kata bantu ragam ialah bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan, seperti hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dapat, enggan, patut dan mungkin. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut: 1. Kanak-kanak itu hendak masuk ke bilik. 2. Ramai pemuda kini mahu bekerja sendiri. Untuk makluman, untuk dan dengan ialah kata sendi nama. | Tatabahasa | 14.01.2011 |
Bantu saya mengenalpasti ejaan yang betul bagi perkataan deraf ataupun draft | Ejaannya yang betul ialah draf. | Ejaan | 10.07.2008 |
Bantu saya menyemak kesalahan ejaan dan penggunaan ayat yang tidak sesuai dalam ayat seperti berikut: Saya dengan hormatnya diarah merujuk surat tuan ABC/VB/MKNH/09/56 bertarikh 14 April 2008. | Ayat yang betul ialah ' Dengan hormatnya, surat tuan ............bertarikh... dirujuk.' Harap maklum. | Tatabahasa | 25.06.2008 |
Adakah penggunaan kami semua dalam ayat betul? Contoh ayat : Kami semua ke sekolah menaiki bas. Kami telah bantu atau telah kami bantu | Frasa kami semua (termasuk kita semua, mereka semua, kalian semua) boleh digunakan kerana semua di sini menunjukkan keseluruhan, bukan bilangan walaupun perkataan kami sudah menunjukkan unsur jamak. Kedua-duanya betul - kami telah membantu.../telah kami bantu... | Tatabahasa | 10.05.2010 |
Mohon bantu bagi penggunaan / ejaan dll kesalahan bahasa pada para di bawah: 2.0 ERTIKATA Perkataan-perkataan berikut di dalam pekeliling ini, ertikatanya .... ..... adalah pegawai yang bertanggungjawab ke atas sesuatu pusat seperti ....... | Salam saudari Hamidah, Sila lampirkan semula soalan yang lengkap, kerana pihak kami kurang pasti dengan kehendak soalan. Namun begitu, terdapat pembetulan dalam ayat yang dilampirkan di atas. 2.0 ERTI KATA Perkataan-perkataan berikut dalam pekeliling ini, erti katanya......... ialah pegawai yang bertanggungjawab terhadap sesuatu pusat seperti ....... | Lain-lain | 14.09.2012 |
Tolong bantu saya untuk memastikan penggunaan perkataan bagi ayat-ayat berikut. Harap berikan penjelasan. Terima kasih. 1. Tok Wan (memotong/menebas) rumput dengan sebilah sabit. 2. Cik Julia berjalan sambil (mengepit/mengelek) sebuah fail peribadinya. 3. "Jangan sekali-kali (kamu/kalian) melanggar peraturan sekolah," kata Puan Lai kepada anak-anaknya. 4. "Tekanan darah (awak/kamu/engkau/anda) masih tinggi. Oleh itu, berehatlah," kata doktor kepada pesakitnya. 5. Jenazah negarawan ulung itu akan ( disemadikan /dimakamkan/dikuburkan/dikebumikan) pada tengah hari esok. 6. Kedua-dua ekor ayam itu sedang (berlaga/beradu). 7. Ular sawa yang besar telah (melilit/membelit) badan anak kambing itu sehingga mati. 8. Saya suka makan (kek berperisa oren/kek oren ). 9. rapuh/rangup/garing a) biskut yang __________. b) keropok yang ________. c) ikan yang digoreng sehingga ___________. 8. Kertas soalan ini disedia/disediakan oleh Cikgu Ali dan disemak/disemakkan oleh Cikgu Abu. 9.Pasar itu sangat riuh-rendah dengan suara orang ramai. | 1. Tok Wan (memotong) rumput dengan sebilah sabit. 2. Cik Julia berjalan sambil (mengepit/mengelek) sebuah fail peribadinya. 3. "Jangan sekali-kali (kamu/kalian) melanggar peraturan sekolah," kata Puan Lai kepada anak-anaknya. 4. "Tekanan darah (awak/kamu/engkau/anda) masih tinggi. Oleh itu, berehatlah," kata doktor kepada pesakitnya. 5. Jenazah negarawan ulung itu akan (disemadikan/dikebumikan) pada tengah hari esok. 6. Kedua-dua ekor ayam itu sedang (berlaga/beradu). 7. Ular sawa yang besar telah (melilit/membelit) badan anak kambing itu sehingga mati. 8. Saya suka makan (kek berperisa oren). atau Kek Oren (nama kek) 9. a) biskut yang rangup. b) keropok yang rapuh/garing. c) ikan yang digoreng sehingga garing. 8. Kertas soalan ini disediakan oleh Cikgu Ali dan disemak oleh Cikgu Abu. 9.Pasar itu sangat riuh-rendah dengan suara orang ramai. - sila rujuk Kamus Dewan untuk melihat kesesuaian pilihan perkataan yang diberi pada setiap soalan. | Tatabahasa | 05.10.2008 |
Sila bantu saya untuk soalan berkaitan Hukum D-M di bawah. Yang manakah betul? `Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri`,`Pertandingan Bahas Akhir Piala Ketua Menteri`ATAU Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Akhir` Terima Kasih. | Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri. | Tatabahasa | 14.08.2008 |
Boleh Tuan bantu, ayat yang mana satu yang betul? 1) di tempat kediaman terakhir yang diketahui atau 2) di tempat kediaman diketahui terakhir. Terima kasih. | Frasa yang betul ialah ...di tempat kediaman terakhir yang diketahui... | Tatabahasa | 20.08.2013 |