Antara dua ayat yang berikut yang manakah betul. 1. Hanya nama mereka yang tertulis namanya layak mendapat bantuan kewangan. 2. Hanya nama mereka yang tersenarai namanya layak mendapat bantuan kewangan | Kedua-duanya kurang tepat, ayat yang betul ialah; "Hanya mereka yang tersenarai namanya layak mendapat bantuan kewangan". | Tatabahasa | 10.08.2009 |
Apakah kesalahan istilah dan tatabahasa dalam ayat di bawah? 1. Kejayaan seseorang pelajar banyak bergantung kepada kemajuannya melakukan daya usaha dalam pembelajarannya. 2. Pra-siswazah di luar negara diingatkan tidak terikut-ikut oleh dakyah kotor aktivis anti Malaysia yang memburuk-burukkan nama negara. 3. Satu jawatankuasa perlu dibentuk segera bagi memudahkan kertas kerja ditulis bagi mendapatkan bantuan kewangan dengan segera. | Salam Sejahtera, 1. Kejayaan seseorang pelajar banyak bergantung kepada kemajuannya melakukan daya usaha dalam pembelajarannya. Jawapan: Ayat yang betul ialah "Kejayaan seseorang pelajar dalam pelajaran banyak bergantung pada daya usahanya". 2. Pra-siswazah di luar negara diingatkan tidak terikut-ikut oleh dakyah kotor aktivis anti Malaysia yang memburuk-burukkan nama negara. Jawapan: Ayat yang betul ialah "Prasiswazah di luar negara diingatkan supaya tidak terikut-ikut dengan dakyah kotor anti-Malaysia yang memburuk-burukkan nama negara". 3. Satu jawatankuasa perlu dibentuk segera bagi memudahkan kertas kerja ditulis bagi mendapatkan bantuan kewangan dengan segera. Jawapan: Ayat yang betul ialah "Satu jawatankuasa perlu dibentuk bagi memudahkan penulisan kertas kerja untuk mendapatkan bantuan kewangan dengan segera". Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 28.02.2013 |
1.Apakah perbezaan perkataan "ialah" dan "adalah" 2.Contoh penggunaan perkataan tersebut dalam ayat | Kata pemeri ialah digunakan secara persamaan atau ekuatif dan hadir di hadapan frasa nama. Contoh: Antara perkara yang dibincangkan ialah masalah kemiskinan. kata pemeri adalah digunakan secara huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh: Sumbangan besar beliau adalah dari segi bantuan kewangan. | Tatabahasa | 31.10.2008 |
Salam sejahtera. Mohon kepastian penggunaan yang betul bagi perkataan dari/daripada dalam ayat-ayat ini; Hasil dari persetujuan-persetujuan tersebut atau hasil daripada persetujuan-persetujuan tersebut | Saudara, Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, jarak dan masa atau tempoh. Kata sendi nama daripada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan sumber, perbandingan, asal kejadian dan manusia. Contoh penggunaan adalah seperti yang berikut: i. Saya datang dari Ipoh. ii. Dari masa ke masa mereka menerima maklumat tentang perkara tersebut. iii. Adik mendapat hadiah daripada ibu. iv. Jabatan mendapat bantuan kewangan daripada kementerian. v. Ali lebih tinggi daripad Ahmad. vi. Meja dibuat daripada kayu. Ayat yang betul ialah : Hasil daripada persetujuan tersebut. | Tatabahasa | 13.10.2010 |
salam sejahtera tuan, setelah merujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, Saya masih keliru dengan penggunaan kata pemeri untuk yang terdapat soalan peperiksaan SPM 2012 ini, Ayat (a) Perbelanjaan untuk sewaan adalah ¾ daripada perbelanjaan pengangkutan (SPM Matematik kertas 1 soalan 28). Ayat (b) Diberi kebarangkalian memilih guli ialah 1/6, cara kebarangkalian memilih sebiji guli yang bukan putih (SPM Matematik kertas 1. Maklumat untuk calon, Muka surat 32). Ketidaktekalan penggunaan kata pemeri di atas mengelirukan. Adakah 'ialah' sepatutnya diletakkan di hadapan kata bilangan pecahan bagi kedua-dua ayat tersebut'? Harap mendapat tunjuk ajar dan penjelasan daripada tuan. Sekian, terima kasih. | Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama. Contoh: Antara perkara yang dibincangkan ialah masalah kemiskinan. kata pemeri adalah digunakan secara huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh: Sumbangan besar beliau adalah dari segi bantuan kewangan.
Ayat yang betul ialah ayat (b).Diberi kebarangkalianmemilih guli ialah 1/6 ,... | Tatabahasa | 30.08.2013 |
Salam tuan, Kemusykilan saya ialah : i) penggunaan 'banyak' dan 'ramai'. Saya telah banyak membaca kenyataan tentang fungsi penggunaan kata bilangan ini tetapi kurang faham. Saya amat berharap tian dapat permudahkan lagi penjelasan. ii) penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' - murid saya sering bertanya akan penggunaannya tetapi saya sekadar menjawab apa yang saya tahu. Justeru, saya mengharapkan penjelasan terperinci daripada tuan. Terima kasih. | i. Perkataan banyak dan ramai boleh digunakan untuk orang. Banyak menunjukkan bilangan orang manakala ramai menunjukkan suasana ketika itu. Contoh ayat: Banyak orang menyertai peraduan itu. Orang menyabung terlalu ramai. ii. Kata pemeri ialah digunakan secara persamaan atau ekuatif dan hadir di hadapan frasa nama. Contoh: Antara perkara yang dibincangkan ialah masalah kemiskinan. kata pemeri adalah digunakan secara huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh: Sumbangan besar beliau adalah dari segi bantuan kewangan. Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 263 | Istilah | 14.07.2009 |
Saya ingin bertanya adakah penggunaan perkataan "Solidariti pasca banjir' di dalam ayat di bawah sesuai atau menepati maknanya. Pada masa inilah rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman dan pegangan telah menunjukkan keutuhan solidariti pasca banjir menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir termasuk pengusaha kraf untuk bangkit semula meneruskan kehidupan. | Pada masa inilah rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman dan pegangan telah menunjukkan keutuhan solidariti, menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir termasuk pengusaha kraf untuk bangkit semula meneruskan kehidupan. Tiada masalah dengan penggunaan perkataan solidariti dalam konteks ayat yang tersebut, hanya gugurkan perkataan pascabanjir. | Tatabahasa | 06.03.2015 |
Assalamualaikum, Mohon panduan untuk membantu kami menterjemahkan istilah kewangan berikut ke Bahasa Melayu: - Global Custodian - Cross Border Non Affiliated – Top Rated in Emerging Markets Saya terlebih dahulu memanjangkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh pihak DBP. | Untuk makluman, tidak terdapat padanan bahasa Melayu yang khusus untuk istilah kewangan yang dikemukakan. Istilah yang terdapat dalam pangkalan data kami adalah seperti yang berikut: 1. global - sejagat/global, custodian - penjaga/penyimpan Cadangan terjemahan: penjaga sejagat/penjaga global 2. cross - rentas/silang, border - sempadan, non - tidak/bukan, affiliated - tergabung Sila berikan konsep istilah ini sekiranya memerlukan cadangan daripada pihak kami. 3. emerging - memuncul/bangkit, market - pasaran Cadangan terjemahan: tempat tertinggi dalam pasaran memuncul/tahap tertinggi dalam pasaran yang baru muncul | Istilah | 19.03.2013 |
Saya mohon bantuan untuk DBP komen /perbetulkan ayat di bawah: Pemberian ini diberikan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk membantu perbelanjaan mengurus dan pembangunan agensi lain seperti Badan Berkanun, Pihak berkuasa Tempatan, Koperasi dan Badan-Bandan Bukan Kerajaan mengikut undang-undang dan aturan dan peraturan kewangan yang lain atau keputusan Majlis Kewangan Negara atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri/Kabinet Negeri. Nota: 'aturan dan peraturan' adalah merupakan satu perkara. | aturan 1. cara mengatur, susunan: ~ buku dlm perpustakaan ini, menurut cara Dewey; 2. segala yg telah ditentukan atau ditetapkan utk diturut, peraturan: membuat sesuatu itu biarlah menurut ~nya; 3. adat sopan santun, ketertiban: tidak tahu ~ tidak tahu adat; 4. = ~nya Id sebetulnya, sebenarnya: ~(nya) harus diberitahukan terlebih dahulu; peraturan 1. segala yg telah ditentukan (ditetapkan dsb) dan harus diturut atau dipatuhi: setiap pekerja hendaklah mematuhi ~ pejabat; ~ lalu lintas; ~ mesyuarat; ~ kera jaan peraturan (ketentuan, garis panduan, dsb) yg dibuat oleh kerajaan; 2. sl hubungan keluarga (kpd); | Makna | 16.08.2007 |
Saya sedang menjalankan satu projek pengumpulan cerita-cerita rakyat tempatan/peribumi Sabah dan SARAWAK dengan bantuan pelajar-pelajar saya. Kami akan menganjurkan Malam Senandong Bahasa, Sastera dan Budaya Peribumi pada 10.10.2010 dan Program Sehati Sejiwa 1Malaysia pada 20.10.2010. Adakah pihak DBP sudi membantu terutama dari segi kewangan serta membukukan cerita-cerita dan puisi rakyat yang kami kumpulkan sebagai koleksi warisan bangsa? | Sdr. yang dihormati, Pertamanya diucapkan tahniah dan syabas kepada sdr. kerana merancang dan berusaha untuk melaksanakan projek pengumpulan cerita-cerita rakyat Sabah dan Sarawak dan menganjurkan Malam Senandung Bahasa, Sastera dan Budaya Peribumi. Berhubung dengan bantuan kewangan dari DBP yang sdr. maksudkan maka sdr. tulislah surat dan diajukan surat tersebut kepada Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sekiranya cerita-cerita rakyat dan puisi rakyat yang dikumpul sudah lengkap( sebagai sebuah manuskrip) dengan kajian, kata pengantar dan bibliografinya maka bolehlah dihantar kepada Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. | Lain-lain | 02.10.2010 |