Tolong pastikan ayat-ayat di bawah ini betul atau tidak? Rosli ingin mencari calon isteri yang sehalus budi bahasa. Selendang kain kapas yang dibeli oeh ayah sehalus sutera. Banyak wanita menginginkan kuit muka yang sehalus bayi. Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur sehalus tepung. | Jawapan yang betul ialah Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur sehalus tepung. Rosli ingin mencari calon isteri yang sehalus budi bahasa. Yang betul : Rosli ingin mencari calon isteri yang halus budi bahasanya. Selendang kain kapas yang dibeli oleh ayah sehalus sutera. Yang betul: Selendang kain kapas yang dibeli oleh ayah selembut sutera. Banyak wanita menginginkan kuit muka yang sehalus bayi. Yang betul: Banyak wanita menginginkan kuit muka yang sehalus kulit bayi. Saudara digalakkan merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan Edisi Keempat untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 09.12.2010 |
Ayat yang manakah menggunakan kata BERHURUF BESAR yang betu? 1. SEHALUS (a) Rosli ingin mencari calon isteri yang SEHALUS budi bahasa. (b)Selendang kain kapas yang dibeli oleh ayah SEHALUS sutera. (c) Banyak wanita menginginkan kulit muka yang SEHALUS bayi. (d) Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur SEHALUS tepung. 2. BERARAK (a) Beberapa buah kereta BERARAK dari pusat bandar. (b) Kenangan silam BERARAK datang dalam fikirannya. (c) Ibu segera mengangkat kain di ampaian apabila terlihat awan mendung BERARAK yang menandakan hujan akan turun. (d) Ahli pasukan unit beruniform BERARAK semasa ketua melakukan pemeriksaan barisan. 3. BERANSUR (a) Meja itu BERANSUR sedikit setelah dilanggar oleh adik. (b) Kenderaan yang dipandu secara BERANSUR dapat mengelakkan kemalangan. (c) Penyakitnya BERANSUR pulih setelah dirawat di hospital. (d) Kami sekeluarga BERANSUR dari majlis itu ketika hari sudah lewat petang. | Jawapan yang betul ialah 1. (d) Kacang yang telah dikisar oleh ibu itu hancur SEHALUS tepung. 2. (a) Beberapa buah kereta BERARAK dari pusat bandar. 3. (c) Penyakitnya BERANSUR pulih setelah dirawat di hospital. | Lain-lain | 04.11.2010 |
Adakah imbuhan apitan memper..... i hanya boleh digunakan untuk empat perkataan sahaja iaitu 'suami' , 'isteri', 'ingat', 'kawan' ? Bagaimanana dengan perkataan 'memperkebuni', adakah betul ataupun salah? Terima kasih | Kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Apitan memper... i ini wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk berikut yang wajar dianggap sebagai jeis kata kerja yang terbentuk dengan apitan ini, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami, memperisteri. Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper....i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 211-212. Harap maklum. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Salam Sejahtera, Soalan 1 : Saya ingin mendapat penjelasan tentang penggunaan 'ialah' dan 'adalah' yang betul yang mudah difahami serta teknik mudah untuk diajar kepada pelajar-pelajar? Soalan 2 : Penggunaan kata 'ia' sesuai untuk manusia? Soalan 3 : Fungsi dan penggunaan imbuhan 'memper...' dan 'memper...kan' yang tepat. soalan 4 : Yang manakah betul penggunaannya? a)ibu bapa, b)ibu-bapa a)suami isteri, b)suami-isteri a)sanak saudara,b) sanak-saudara a)ipar duai, b)ipar-duai Berdasarkan, kata-kata yang disenaraikan, apakah relevan dan rasional penggunaan tanda sempang bagi perkataan-perkataan tertentu dalam bahasa Melayu? | 1. Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan untuk kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. 2. Ia kata ganti nama diri ketiga (untuk manusia) dan boleh juga digunakan bagi merujuk benda yang dibicarakan. 3. Awalan memper-... digunakan dengan kata adjektif, manakala apitan memper...kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama. Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 177. 4. Ejaan yang betul ialah ibu bapa, suami isteri, sanak saudara dan ipar-duai. Tanda sempang digunakan bagi perkataan berganda yang menunjukkan banyak/ramai. | Tatabahasa | 04.12.2009 |
Pantang larang merupakan kepercayaan masyarakat zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun temurun. Pantang larang orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam kehidupan.Pantang larang biasanya terangkum dalam acuan adat dan budaya, bukannya terus dari agama. Oleh itu sdikit sebanyak adat dan budaya itu didirikan atas prinsip asas kerangka agama.Dalam aspek yang lain, banyak pantang larang sebenarnya boleh difahami tujuan wujudnya pantang larang tersebut, yang boleh difikir secara logik, walaupun ada juga pantang larang yang memang bersifat khurafat dan tahyul. Pantang larang terdiri daripada pelbagai aspek iaitu cara hidup, perkahwinan, kehamilan, kematian dan misteri.Contohnya, dalam masyarakat melayu, anak dara tidak boleh menyanyi di dapur, nanti dikhuatiri akan berkahwin dengan orang tua. Hakikatnya, pantang larang tersebut wujud bagi mengelakkan masakan hangus kerana leka menyanyi.Tapi bagi pantang larang yang lain, seperti menyematkan rumput pada celah telinga apabila turun hujan panas, atau tidak boleh melilit tuala pada leher khusus ketika isteri mengandung tidaklah bersifat 'berpijak di bumi yang nyata', lebih bersifat kepercayaan karut, dan tidak pula ada sandaran dari segi agama. adakah betul setiap perkataan dan ayat yang saya guna? | Pantang larang merupakan kepercayaan masyarakat zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan pantang larang diturunkan secara lisan turun temurun. Pantang larang orang tua-tua bertujuan untuk mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar dapat membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan dalam kehidupan. Pantang larang biasanya terangkum dalam acuan adat dan budaya, bukannya terus dari agama. Oleh itu sedikit sebanyak adat dan budaya itu didirikan atas prinsip agama. Dalam aspek yang lain, banyak pantang larang sebenarnya boleh difahami tujuan wujudnya pantang larang tersebut, yang boleh difikirkan secara logik, walaupun ada juga pantang larang yang memang bersifat khurafat dan tahyul. Pantang larang terdiri daripada pelbagai aspek iaitu cara hidup, perkahwinan, kehamilan, kematian dan misteri. Contohnya, dalam masyarakat melayu, anak dara tidak boleh menyanyi di dapur, nanti dikhuatiri akan berkahwin dengan orang tua. Hakikatnya, pantang larang tersebut wujud bagi mengelakkan masakan hangus kerana leka menyanyi.Tapi bagi pantang larang yang lain, seperti menyematkan rumput pada celah telinga apabila turun hujan panas, atau tidak boleh melilit tuala pada leher khusus ketika isteri mengandung tidaklah bersifat 'berpijak di bumi yang nyata', lebih bersifat kepercayaan karut, dan tidak pula ada sandaran dari segi agama. | Tatabahasa | 20.11.2011 |
Apakah maksud hybrid dalam istilah puisi? | Salam Maal Hijrah 1432, Perkataan hibrid secara harfiah bermakna kacukan, bauran atau cantuman dua/atau lebih entiti yang berlainan identiti dan budaya sehingga membentuk entiti baru. Dalam karya sastera, termasuklah genre puisi, perkataan hibriditi menjadi salah satu unsur penting dalam teori pascakolonial untuk memperlihatkan permasalahan dan kesan representasi kolonial dan kolonialisasi sehingga membentuk identiti budaya baru dan unik kepada kalangan yang terjajah. Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, novel "Mencari Isteri" karya Mohamad Yusof Ahmad, memperlihatkan ciri-ciri hibriditi identiti dan budaya kalangan pegawai Melayu dalam "Malay Civil Service" walaupun berjiwa Melayu yang menyerap masuk nilai-nilai Barat sebagai nilai baru, antaranya melalui cara penampilan, cara pergaulan, jenis perabot dan susun atau hiasan dalamannya, lanskap dan pemikiran yang sendeng Barat. Dari segi pemikiran, unsur-unsur pemodenan ke atas bangsa Melayu menggunakan kayu ukur pemodenan kaedah Barat. Dalam karya puisi subjek yang sama mungkin juga dapat diteliti. Penggunaan mitonimi sebagai bahasa kiasan untuk menjustifikasikan kesan bauran dan cantuman identiti dan budaya dalam puisi itu juga dapat diteliti. Mutakhir ini terdapat pandangan yang lebih terbuka dan radikal terhadap penggunaan istilah hibriditi, apabila bauran atau cantuman budaya itu tidak lagi dilihat sebagai kesan dan akibat penjajahan semata-mata tetapi kesan daripada modernisasi, urbanisasi, sentralisasi dan globalisasi yang memungkinkan transmigrasi, percampuran dan bancuhan sesebuah budaya dan identiti itu menjadi dinamik sehingga membentuk identiti dan budaya baru yang unik. Banyak bahan rujukan yang saudara boleh teliti untuk menambah pengetahuan dalam bidang ini, misalnya karya Homi Bhabha The Location of Culture ((1994)atau tulisan G.Yao Taxonomizing hybridity (2003). Penjelasan lanjut juga boleh juga ssaudara peroleh dengan menghubungi tenaga pakar teori dan kritikan DBP iaitu sdr. Mohamad Daud Mohamad di talian 03-21482536 atau 0133236724. Salam takzim. | Lain-lain | 04.12.2010 |
perbezaan antara sultan dan raja | Kata 'raja' biasanya lebih umum dari segi makna dan penggunaannya berbanding kata 'sultan'. Contoh: 'Raja bola'. Agak janggal kalau kita menyebut 'sultan bola'. Berikut dilampirkan makna sultan dan raja menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 untuk rujukan saudara: Sultan: Ar raja (yg memerintah): S~ Pahang; S~ Perak; nafsu-nafsi raja di mata, ~ di hati = beraja di mata bersultan di hati prb melakukan sesuatu mengikut perhitungan sendiri (tidak mempedulikan teguran atau nasihat orang lain); Raja: 1. orang yg mengetuai dan memerintah sesuatu negara (bangsa), kepala negara (yg diwarisi): ~ Inggeris pd masa ini ialah seorang wanita; 2. kepala negeri, sultan: di Malaysia Barat lapan drpd ~-~nya bergelar sultan; 3. kepala suku (daerah): di Nusa Tenggara masih banyak ~; 4. gelaran orang bangsawan (keturunan sultan); 5. ark bp orang yg berkuasa, ketua, pemerintah: kompeni Inggeris akan kembali semula menjadi ~ di Melaka; di dlm kapalnya dialah ~, memerintah dr haluan ke buritan; kita boleh menjadi ~, boleh memerintah semua orang lelaki yg termakan budi kita; 6. orang yg besar kuasanya (pengaruhnya dll) dlm sesuatu lingkungan (spt dlm lingkungan perusahaan, kewangan, dll); ~ minyak orang yg berkuasa (berpengaruh) dlm perusahaan minyak; ~ getah orang yg berkuasa (berpengaruh) dlm perusahaan getah; 7. binatang (jin dll) yg menguasai binatang (jin dll); ~ jin; ~ laut; ~ rimba; ~ binatang singa; 8. nama buah catur yg terpenting; 9. nama kad (terup) besar yg bergambar raja; ~ agas gelaran seseorang yg berbadan kecil tetapi berani; ~ badar sj kain putih; ~ berpelembagaan raja yg pemerintahannya tertakluk pd peruntukan perlembagaan negara; ~ besar raja yg berkuasa (berpemerintahan) besar; ~ bola pemain bola yg pandai; ~ cacing orang yg sangat kurus; ~ jenang (jejenang) orang yg mengatur dlm penyabungan ayam; ~ kecil putera raja; ~ kecil besar putera mahkota; ~ kecil muda putera raja yg bongsu; ~ laut laksamana; ~ muda putera mahkota, tengku mahkota, pemangku raja yg memerintah (tanah jajahan dll); ~ penomah pemberian kpd bakal mentua; ~ permaisuri gelaran isteri raja yg memerintah sesebuah negeri (negara); ~ Permaisuri Agong gelaran utk permaisuri Yang di-Pertuan Agong; ~ putih penyakit keputihan; ~ sehari (sari) pengantin; ~ singa penyakit perempuan, sifilis; ~ wang orang yg sangat kaya; (si) ~ diraja usungan jenazah raja; ~ adil ~ disembah, ~ tak adil ~ disanggah prb raja yg adil disayangi, dan raja yg zalim dibenci; siapa pun menjadi ~ tanganku ke dahi juga prb siapa pun yg menjadi raja, dihormati juga; spt ~ dgn menteri prb bersetuju dlm segenap hal; tak ada (tiada) ~ menolak sembah prb tidak ada orang yg tidak suka dihormati; | Makna | 02.07.2009 |