Bara api masih lagi menyala walaupun sudah dua jam berlalu. Ayat ini mempunyai kesalahan dari segi tatabahasa? (maksud "masih" sama dengan "lagi") | Ayat tersebut betul. Penggunaan perkataan "masih lagi" betul dalam ayat.Namun, penggunaan salah satu perkataan lebih gramatis kerana penggunaan dua kata tugas dianggap lewah. | Tatabahasa | 04.07.2013 |
Tuan, 1.Soalan:Mak Kiah ............ ikan keli itu di atas bara api. jawapannya : memanggang atau membakar . 2 Soalan :Pak Hamad sedang ............ sebiji durian untuk anaknya. Gambar menunjukkan seorang lelaki memegang sebiji buah durian pada tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang sebilah parang. jawapannya : membelah atau mengupas | 1. Mak Kiah memanggang ikan keli itu di atas bara api. 2 Pak Hamad sedang membelah sebiji durian untuk anaknya. | Tatabahasa | 06.03.2012 |
Tolong jelaskan perbezaan antara memanggang,membakar dan menyalai.Terima kasih | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, memanggang bermaksud memasak (memanaskan, mendiangkan) di atas bara api. Membakar bermaksud 1. memanaskan sesuatu (seperti ikan, daging, pisang dan sebagainya) di atas api supaya masak, memanggang. 2. Memasak sesuatu (seperti kuih, ikan, daging, dll) dengan jalan memanaskannya dalam ketuhar. Menyalai bermaksud mengeringkan (mengasapi, memanggang) di atas api. Berdasarkan penerangan di atas, ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai maksud yang sama. | Makna | 01.04.2011 |
Bina ayat ' sate' membakar sate atau memanggang sate? | Membakar bermaksud memanaskan atau memanggang sesuatu di atas api supaya masak, memanggang bermaksud memasak sesuatu di atas bara api dan sebagainya. Berdasarkan makna tersebut "membakar sate" dan "memanggang sate", kedua-duanya adalah betul tetapi lazimnya kita menggunakan frasa membakar sate. | Tatabahasa | 16.06.2011 |
Apakah judul novel terbaharu terbitan DBP Sarawak? | Judul-judul novel terbaharu terbitan DBP Cawangan Sarawak bagi tahun 2007 ialah Katarsis Perjuangan (Mohd. Faizal Jamil), Naluri Hidayah (Sarimah Alit), Bara Yang Menyala (Jaya Ramba), Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Dayang Puteri (diselenggara oleh Jiso Rutan), Bunga Yang Menangis (Jaafar Hamdan) dan Sari Rahsia Terindah (Rosani Hiplee) | Lain-lain | 12.11.2007 |
apakah beza penggunaan 'per' dan 'pe'? | Perbezaan penggunaan awalan peR- dan pe- seperti yang dinyatakan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 114-115 adalah seperti yang berikut: Awalan peR- sebagai penanda alat atau tempat : perasap(tempat membakar kemenyan); perbara(tempat bara api untuk membakar kemenyan). Awalan peR- sebagai penanda makna orang yang melakukan kerja(dengan awalan ber-): perburu(orang yang berburu);pertapa(orang yang bertapa). Awalan pe- sebagai penanda makna orang atau benda yang mengalami perbuatan dalam kata dasar atau keadaan: petinju(orang yang bertinju)petaruh(benda yang dipertaruhkan). Awalan pe-sebagai penanda makna orang yang melakukan kerja yang terkandung dalam maksud kata dasar:pekebun(orang yang berkebun);pekedai(orang yang berkedai). | Tatabahasa | 16.03.2009 |
Pak Dollah ( memanggang / membakar / mendiang / menyalai ) beberapa ratus cucuk sate di pasar malam untuk mencari rezeki. Jawapan yang mana betul? | Salam sejahtera, Membakar bermaksud memanaskan atau memanggang sesuatu di atas api supaya masak, memanggang bermaksud memasak sesuatu di atas bara api dan sebagainya. Berdasarkan makna tersebut "membakar sate" dan "memanggang sate", kedua-duanya adalah betul tetapi lazimnya kita menggunakan frasa membakar sate. | Tatabahasa | 16.11.2012 |
Saya ingin bertanya.Apakah penggunaan yang betul bagi panggang dan bakar.Misalnya roti bakar.Apabila saya melihat Kamus Dewan edisi ketiga lebih sesuai untuk roti panggang.Tolong terangkan penggunaan yang lebih tepat untuk panggang dan bakar. | Yang lebih sesuai digunakan ialah roti bakar. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, panggang ialah sesuatu yang dimasak di atas bara api, manakala roti dimasak di dalam pembakar roti, oleh itu dinamai roti bakar dan dalam bahasa Inggeris ialah toast. | Lain-lain | 11.09.2009 |
macam mana hendak bezakan antara ejaan yang memerlukan imbuhan per... dengan pe....?? | Antara panduan yang boleh digunakan untuk mentukan kata terbitan yang terhasil sama ada dengan awalan pe-... atau per-.... Lazimnya awalan pe-... membawa maksud pelaku, iaitu orang yang melakukan kerja yang terkandung dalam maksud kata dasar seperti pekebun dan peguam. Awalan per-... pula lazimnya penanda makna alat atau tempat seperti perasap (tempat membakar kemenyan) dan perbara (tempat bara api). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 115. | Tatabahasa | 30.05.2011 |