| apakah terjemahan yang sesuai untuk perkataan 'downline' (ahli yang ditaja di bawah seseorang pengedar) yang biasa digunakan dalam industri MLM? | Cadangan padanan perkataan "Downline" dalam bahasa Melayu ialah Ahli Bawahan atau Rangkaian Bawahan. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.05.2018 |
| • Pemimpin mengiktiraf sumbangan daripada orang bawahan untuk menjaga harapan dan penentuan hidup. Mohon pihak DBP untu memperbetulkan struktur ayat diatas dengan kadar segera. | Ayat yang diberikan kurang gramatis. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan ayat "Pemimpin menghargai sumbangan daripada orang bawahan demi kemakmuran bersama". | Lain-lain | 02.05.2017 |
| siapakah golongan marhaen? | Dalam bidang sejarah golongan marhaen dikelaskan kepada golongan bawahan atau rakyat biasa dalam tata tingkat masyarakat pada zaman Rom purba, sebab itulah dalam Kamus Dewan rakyat jelata seperti petani, nelayan, dan sebagainya dikatakan sebagai golongan marhaen. | Makna | 04.10.2009 |
| Adakah frasa "tiada kucing tikus menari-nari" yang merujuk kepada, ketiadaan pegawai atasan, pekerja bawahan tidak bekerja sebaiknya, ini peribahasa atau bahasa perbualan/ percakapan sahaja? Mohon penjelasan. | Peribahasa yang tepat ialah "kucing pergi tikus menari" yang membawa maksud perbuatan bersuka ria oleh pekerja apabila ketua tiada. | Lain-lain | 21.12.2020 |
| 12. Pengerusi juga turut menekankan keperluan Leading by Example, ahli perlu menunjukkan contoh yang terbaik di samping mempunyai sikap yang dedikasi dan juga preservation strategi. Selain itu, sikap adil dan saksama juga ditekankan agar sesuatu keputusan yang dibuat adalah tegas dan tidak mempunyai sikap terlalu banyak bersimpati kepada anggota bawahan terutamanya kepada 6 kesalahan besar yang telah digariskan di dalam TLDM. Pengerusi juga mahukan kesemua ahli memastikan kepada 2 sistem berjalan lancar iaitu divisional system yang melibatkan anggota bawahan dan mentoring system yang melibatkan pegawai-pegawai yang berpotensi tinggi. Penekanan perlu diberikan kepada kedua-dua sistem tersebut dan ianya akan memberikan kebaikan kepada TLDM. Pengerusi menghendaki satu mesyuarat diadakan di peringkat Markas Panglima masing-masing bagi memastikan kedua-kedua sistem tersebut dilaksanakan serta setiap Panglima memastikan pelaksanaan perkara tersebut. | Tidak ada pertanyaan yang dikemukakan. Maklumat yang tuan berikan berkaitan dengan minit mesyuarat. Untuk makluman tuan, dalam penulisan minit mesyuarat, Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam 2/1992 menjadi rujukan utama. Minit mesyuarat ialah dokumen sulit jabatan dan format minit mesyuarat lazimnya ditentukan oleh jabatan masing-masing. Walau bagaimanapun pada kelazimannya dalam ruangan tindakan dimasukkan nama pegawai yang berkenaan (tanpa nama jawatan). Untuk maklumat lanjut, tuan boleh merujuk buku Bahasa Laporan oleh Asmah Haji Omar, terbitan DBP. Tuan juga boleh merujuk buku tatabahasa atau laman web kami untuk melihat contoh pembentukan dan penggunaan kata yang betul bagi memastikan ayat yang digunakan itu tepat. | Tatabahasa | 13.01.2014 |
| Selamat sejahtera tuan/puan. Menurut Soalan Khidmat nasihat DBP pada 15/1/2008, 22/8/2014 dan 4/8/2016, "beta" boleh digunakan oleh raja dan kerabat diraja apabila bertitah kepada rakyat. Manakala, pada 30/11/2014, pihak tuan/puan menjawab soalan lain dengan jawapan "beta" hanya digunakan oleh Raja/Sultan sahaja, tidak termasuk keluarga diraja. Pada 7/7/2015, pihak tuan/puan cadankan putera atau puteri boleh gunakan "beta". Jadi, saya ingin memastikan lagi, adakah "beta" boleh digunakan oleh permaisuri, puteri, puteri atau kerabat diraja? Kalau tidak, apa kata ganti nama diri pertama yang sesuai untuk permaisuri/puteri/puteri/kerabat diraja apabila bercakap dengan orang yang berpangkat lebih rendah/ orang bawahan/rakyat/? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, beta merupakan kata ganti nama diri pertama untuk raja, permaisuri atau anak raja apabila bercakap dengan orang awam. Oleh itu, kata ganti nama diri ‘beta’ sesuai digunakan untuk permaisuri, puteri dan kerabat diraja apabila bercakap dengan orang yang berpangkat lebih rendah, orang bawahan atau rakyat. | Tatabahasa | 26.10.2022 |
| Apakah aspek yang boleh kita sentuh untuk menjawab soalan bagaimana coaching and mentoring membantu memberi kesan yang baik kepada sesebuah organisasi. Baik seandainya pihak tuan dapat memberikan contoh-contoh sekali. Terima kasih. | Padanan istilah bagi "coaching" dan "mentoring" ialah kejurulatihan dan pementoran, iaitu suatu konsep pemantauan daripada pihak atasan/pengurusan terhadap pekerja bawahan dalam sesebuah organisasi. Sila rujuk buku-buku yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang istilah atau pun menghubungi badan kaunseling institusi berkaitan. | Lain-lain | 25.03.2010 |
| Salam dan terima kasih kerana membantu. Istilah "subordination of debt" merujuk kepada proses yang melaluinya sesuatu hutang ditempatkan pada taraf keutamaan yang lebih rendah dalam pemungutan hutang itu daripada aset peminjam, berbanding dengan hutang yang lain. Begitu juga istilah "subordinated debt" yang merujuk kepada hutang atau pinjaman yang ditarafkan di bawah pinjaman atau sekuriti yang lebih tinggi berhubung dengan tuntutan ke atas aset peminjam. Apakah terjemahan yang sesuai untuk "subordination of debt" dan "subordinated debt"? "Penarafan bawah hutang" dan "hutang bawahan" atau apa-apa istilah lain yang lebih sesuai? Terima kasih. | Subordination of debt dikenali juga dengan istilah subordinated debt dan subordinated debenture dan dalam bahasa Melayu subordinated debenture diterjemahkan kepada debentur subordinat. | Penyemakan dan penterjemahan | 26.10.2019 |
| Tajuk Soal: "Di satu pihak" atau "Pada satu pihak"? Selamat petang tuan DBP. Saya kurang pasti akan pemilihan antara dua frasa, "di satu pihak" atau "pada satu pihak". Satu ayat misal saya nukilkan daripada buku Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2000) oleh Awang Sariyan: (1) Ertinya saya tidak menitikberatkan soal wujudnya golongan pengguna bahasa Melayu tinggi yang sekali gus membayangkan kelas menegah atau atasan di satu pihak dan golongan pengguna bahasa Melayu rendah yang terdiri daripada kelas bawahan di satu pihak. Adakah frasa "di satu pihak" tepat akan peraturan kata sendi? Setahu saya, kata sendi "di" digunakan untuk menunjukkan tempat sesuatu benda atau orang berada. Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa "pada satu pihak" lebih ghalib digunakan orang marcapada, tetapi apakah rasional atau dasar di balik penggunaan itu? Penggunaan tersebut bersandarkan peraturan apa? Minta tuan tafsir soal ini. | Penggunaan yang betul ialah pada satu pihak. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu serta sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. | Tatabahasa | 14.08.2016 |
| Salam sejahtera. Apakah kata ganti nama diri yang sesuai? Tuan Puteri tidak hadir kerana ( ) gering. Bolehkah permaisuri, putera dan puteri gunakan beta, tuanku dan baginda? Jika tidak boleh, apakah gelaran yang betul? Terima ksih. | Tuan puteri bermaksud anak perempuan raja, sultan, maharaja dan sebagainya. “Beta” merupakan kata ganti nama diri pertama untuk raja, permaisuri atau anak raja apabila bercakap dengan orang yang berpangkat lebih rendah, orang bawahan atau rakyat. Manakala, gelaran “Tuanku” dikhususkan terhadap raja, sultan atau isteri baginda. Gelaran “Baginda” pula merupakan kata ganti diri ketiga bagi raja, khalifah atau nabi. Oleh itu, ayat “Tuan puteri tidak hadir kerana gering” sudah mantap dari segi binaannya tanpa perlu meletakkan kata ganti nama diri. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 172, 280, 2409, 2410 dan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) halaman 81 – 87. | Tatabahasa | 11.09.2025 |