1. Apakah makna perkataan "mantan"? Adakah sama maksudnya dengan "bekas"? 2. Manakah ejaan yang betul, "mampan" atau "mapan" | Mantan bermakna dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak; bekas. Bekas di sini bukan bermakna tempat meletak sesuatu. Ejaan mampan dan mapan betul. Kedua-duanya ada makna tersendiri; mampan bermakna mampu, dan mapan bermakna tidak berubah-ubah/kukuh. | Ejaan | 18.01.2008 |
Persatuan Alumni Institut Pertanian Sabah yang baru ditubuhkan ingin mendapat pengesahan mengenai penggunaan bahasa dalam "moto persatuan" dan juga "matlamat persatuan" yang telah dicadangkan. moto persatuan :- " BERWAWASAN, BERWIBAWA DAN BERWAJA" matlamat Persatuan :- 1. menaikan martabad dan imej Institut Pertanian Sabah. 2. meningkatkan taraf hidup sosial & ekonomi bekas-bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. mengujudkan kemuafakatan & usahasama dikalangan bekas-bekas pelajar | Moto yang dikemukakan boleh digunakan. Matlamat : 1. Menaikkan martabat dan imej Institut Pertanian Sabah 2. Meningkatkan taraf hidup sosial dan ekonomi bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. Mewujudkan semangat kemuafakatan dan usaha sama dalam kalangan bekas pelajar, | Tatabahasa | 27.03.2008 |
Salam. Yang manakah pernyataan yang betul? adalah/ ialah? 1. Isi padu air di dalam bekas R adalah 1/4 daripada isi padu air di dalam bekas S. 2. Isi padu air di dalam bekas R ialah 1/4 daripada isi padu air di dalam bekas S. | Jawapan yang betul ialah Isi padu air di dalam bekas R ialah 1/4 daripada isi padu air di dalam bekas S | Tatabahasa | 28.09.2021 |
Salam, saya ingin bertanya apakah bezanya mantan dan bekas? Siapakah yang sesuai digunakan sebagai mantan dan bekas? Terima kasih | Menurut definisi Kamus Dewan, mantan : dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak lagi, bekas: ayahnya seorang ~ ketua pengarang sebuah penerbitan; dia ialah ~ guru besar sekolah itu. bekas :1. tanda-tanda yg ditinggalkan, kesan: ~ tapak kaki di pasir; ~-~ kudis itu menghodohkan kakinya; ~-~ darah yg terdapat pd bajunya; 2. dahulunya (sekarang tidak lagi), pernah menjadi: ~ suami; duduk bersanding dan tepung tawar adalah ~-~ adat Hindu; 3. akibat (drpd sesuatu): perkahwinan campuran antara dua golongan itu membawa ~ yg mengaibkan; ~ luka parut (sesudah sembuh luka); ~ tangan a) tandatangan; b) tulisan tangan; c) hasil buatan sendiri; d) pukulan; ~ tubuh pakaian yg sudah dipakai; Berdasarkan pentakrifan dan penggunaan kedua-dua kata ini tidak salah digunakan, namun kata mantan kini lazim digunakan untuk seseorang yang pernah menjawat jawatan tertentu. | Makna | 25.06.2009 |
Askm.. mohon penjelasan berkenaan maksud : 1. Mantan - dikatakan memberi maksud bekas penjawat yang tiada hala tuju. Penggunaan perkataan mana lebih baik utk: A) Bekas guru besar B) Mantan guru besar. Terima kasih | Menurut Kamus Dewan terbitan DBP, mantan bermaksud dahulunya pernah menjawat jawatan tertentu, tetapi sekarang tidak lagi atau bekas. Sebagai contoh Tun Dr. Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia. Kedua-dua jawapan A dan B adalah betul. | Makna | 14.01.2018 |
1.apakah kesalahaan ayat ini? - cawan ialah bekas minuman. 2.bagaimanakah hendak digunakan ialah dan adalah? 3. yang manakah betul antara - sampah-sarap dengan sampah sarap | 1. Cawan ialah bekas minuman - tidak mengandungi sebarang kesalahan. 2. "Ialah" digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama atau frasa nama. Contohnya: Anak ialah anugerah Allah SWT, manakala "adalah" pula hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dan sebagainya. Contoh: Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta. 3. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ke-4, perkataan yang betul ialah sampah sarap, tidak perlu diletakkan tanda sempang kerana perkataan sarap membawa makna tersendiri. Terima kasih. | Tatabahasa | 16.01.2008 |
apakah maksud wadah paling berkesan? | wadah 1. Jw bekas (tempat) utk mengisi atau diisi sesuatu; 2. alat, asas, medan, saluran (utk melakukan atau menyampaikan sesuatu): pihak penganjur berharap seminar sedemikian akan menjadi ~ utk para pendidik bahasa dan sastera Melayu bertukar-tukar pendapat; ada orang melihatnya berfungsi sbg ~ pengiklanan, medan propaganda, suatu saluran utk menyampaikan informasi, dan bermacam-macam lagi , mungkin makna yang saudara maksudkan maksud yang kedua, iaitu sebagai asas/alat/medan yang paling berkesan. | Makna | 16.10.2007 |
Salam sejahtera. 1. Adakah penggunaan perkataan 'paras' bagi ayat ini betul: Curahkan bahan itu hingga paras yang telah ditetapkan. 2. Adakah penggunaan perkataan 'bekas' bagi ayat ini betul: Bekas hartanya menjadi rebutan anak-anaknya. Kalau tidak betul, sila cadangkan perkataan yang sesuai. Terima kasih. | 1. Curahkan bahan itu hingga paras yang telah ditetapkan. Betul. 2. Bekas hartanya menjadi rebutan anak-anaknya. Ayat ini perlu diubah menjadi Harta peninggalannya menjadi rebutan anak-anaknya. | Tatabahasa | 02.09.2022 |
Bekas graduan: Macam mana seseorang itu boleh jadi "bekas graduan". Adakah istilah ini betul kegunaannya. Mohon pencerahan. | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), graduan bermaksud seperti yang berikut: graduan kata nama 1 pelajar institusi pengajian tinggi yang akan menerima sijil, diploma atau ijazah pada hari konvokesyen; 2 orang yang lulus dan memperoleh ijazah daripada institusi pengajian tinggi: Universiti tempatan mengeluarkan lebih banyak graduan jurusan sastera berbanding sains. ASAL: [daripada bahasa Inggeris graduand daripada bahasa Latin graduandus] Penggunaan "bekas graduan" adalah tidak tepat dari segi semantik atau maknanya. | Makna | 31.10.2023 |
Perkataan alumni sesuai digunakan untuk pelajar lepasan sekolah menengah ke? Sekiranya tidak sesuai, apa perkataan lain yang sesuai digunakan? | Kata alumni bermaksud seperti yang berikut: alumni kata nama 1 bekas pelajar yang tamat dari sesebuah sekolah atau institut pengajian tinggi: Contoh penggunaan: Beliau telah dilantik sebagai Presiden alumni USM. Kelab Alumni Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia di Universiti Utara Malaysia. 2 bekas peserta, pelatih dan sebagainya sesebuah persatuan, program dan sebagainya: Contoh penggunaan: Pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab Umno Luar Negara; Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja. Kata lain yang boleh digunakan ialah bekas atau mantan mengikut kesesuaian konteks dan maknanya. Sila rujuk kamus yang terkini, Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk memperoleh maklumat berkaitan bahasa Melayu. | Makna | 16.12.2023 |