apakah maksud enau dalam belukar? | Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri. | Lain-lain | 21.08.2007 |
saya berikan soalan yang sebenarnya agar pihak tuan dapat memberikan penjelasan dengan mudah. Kami akan bersihkan kawasan belukar di belakang dewan itu secara bergotong-royong. A Akan dibersihkan oleh kami B Kami akan membersih C Akan kami bersihkan D Kami akan bersihkan jawapan yang manakah yang lebih sesuai digantikan dengan frasa 'Kami akan bersihkan' dalam ayat di atas? atau, adakah frasa tersebut tidak mengandungi kesalahan? harap berikan jawapan secepat mungkin. terima kasih. | Ayat yang betul ialah " Kami akan membersihkan kawasan belukar di belakang dewan itu secara bergotong-royong. Ayat pasifnya : Kawasan belukar di belakang dewan itu akan kami bersihkan secara gotong-royong. | Tatabahasa | 20.09.2007 |
Salam Tuan/Puan, Menurut Kamus Dewan (2004), "denai" merujuk kepada jejak binatang di hutan (semak, belukar dll). Saya kurang pasti sama ada "denai" juga boleh digunakan bagi merujuk jalan-jalan kecil di dalam hutan. Atau ada apa-apa perkataan yang lebih sesuai bagi merujuk lorang/jalan-jalan kecil yang berliku-liku di dalam hutan/belukar? Sekian, terima kasih. | Seperti yang tuan maklum, denai ialah jejak binatang. Ada beberapa perkataan yang boleh kita gunakan bagi merujuk jalan kecil atau lorong di dalam hutan seperti jalan serap yang bermaksud jalan kecil yang hanya dapat dilalui orang (terjadi kerana kerap dilalui) dan rintisan, iaitu jalan kecil yang baru dibuka dalam hutan. | Istilah | 05.11.2012 |
Mohon semakan terjemahan You gave those bushes a nice trim. Awak memotong pokok renek itu dengan baik sekali. *Saya menggunakan pokok renek kerana bushes itu merujuk kepada rose bush bukan semak atau belukar. Terima kasih | Anda memotong pokok renek itu dengan baik sekali. | Penyemakan dan penterjemahan | 06.11.2017 |
Salam sejahtera, baik pelajar mahupun guru bahasa Melayu menggunakan tanda petik semasa mengungkapkan ungkapan / peribahasa, misalnya "Mereka juga harus memahami bahawa ‘bersatu teguh bercerai roboh’."; "Kita haruslah mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing' untuk memastikan perpaduan rakyat terus berkekalan." dan lain-lain. Saya mengajukan kemusykilan ini kerana tudak dinyatakan dalam Gaya Dewan tentang penggunaan tanda petik untuk peribahasa. Lebih-lebih lagi, apabila perkara ini dipanjangkan kepada para pemeriksa, pelbagai jawapan yang diberikan; tiada satu jawapan yang mantap. Jawapan yang biasa diterima ialah bergantung pada budi bicara pemeriksa. Dengan ini, diharapkan pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan yang dapat digunakan sebagai tunjuk ajar ketika mendidik anak-anak watan kita. Sekian. Salam hormat kay Seven | Untuk makluman tuan, kami di DBP berpegang hanya pada buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan. Jika berlainan daripada apa yang ditulis, hal berkenaan di luar bidang kuasa kami. Untuk lebih jelas, mohon rujuk halaman 64. | Tatabahasa | 22.12.2016 |
apakah perbezaan di antara mengharungi sungai dan menyeberangi sungai? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. perkataan "menyeberangi" bermaksud 1. pergi ke seberang sana sungai, jalan, dll, melintasi, mengharungi: dgn apa hendak diseberangi lautan? 2. ki me-nempuh (melalui, merasai) kesusahan dll: tiga kali kita ~ hidup, apabila ketiga kalinya telah diseberangi dgn selamat, bahagialah kita; Manakala perkataan "mengharungi" pula bermaksud 1. berjalan menyeberangi air (semak, sungai, dll), meranduk: takut ~ air yg deras; budak itu sedang ~ sungai; ~ belukar berjalan melalui belukar; 2. menempuh, melayari (lautan dll): sedang kami ~ lautan India, angin turun dgn hebatnya; kegagahan wau ~ angkasa; 3. ki menghadapi (mengalami) kesusahan (kesukaran dsb): kejayaan dicapai setelah ~ berbagai-bagai kesulitan; | Istilah | 08.04.2013 |
Salam. Adakah sarang buaya juga dikenali sebagai "jerumun"? Apakah makna sebenar jerumun? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, jerumun bermaksud 1. pondok tempat berteduh (yang terdapat di bendang dan lain-lain), dangau 2. rumpunan semak (belukar) 3. sejenis tumbuhan, derumun. Oleh itu, tidak terdapat dalam pangkalan data DBP yang menyatakan bahawa jerumun ialah sarang buaya. | Makna | 17.01.2014 |
Apakah kesalahan ejaan dan kesalahan penghunaan imbuhan dalam ayat di bawah? 1)Penemuan beberapa artifek di pulau itu terbukti bahawa pulau itu pernah mempunyai penghuni pada suatu ketika dahulu. 2)Mereka yang mengalami tiada masalah untuk menentukan ketulinan sesuatu barang yang terdapat di pasaran. 3)Pengkaji tersebut belum dapat pengesahan spesis haiwan yang dijumpai keletihan di belukar itu. | Kesalahan tatabahasa dalam ayat seperti yang digariskan. 1)Penemuan beberapa artifek di pulau itu terbukti bahawa pulau itu pernah mempunyai penghuni pada suatu ketika dahulu. 2)Mereka yang mengalami tiada masalah untuk menentukan ketulinan sesuatu barang yang terdapat di pasaran. 3)Pengkaji tersebut belum dapat pengesahan spesis haiwan yang dijumpai keletihan di belukar itu | Tatabahasa | 01.04.2014 |
mengapakah pihak dbp mengambil masa yg lama untuk menjawab soalan saya. padahal soalan ini ialah soalan yang dikeluarkan untuk dijawab oleh pelajar tingkatan 3 dalam masa 1 jam sahaja. soalan ini saya anggap soalan yang mudah bagi pihak dbp. pihak dbp mempunyai tenaga kerja yang ramai dan berpengalaman dalam bidang bahasa. tidak mungkin soalan untuk pelajar sekolah menengah ini tidak mampu dijawab dalam masa yang singkat. saya telah menghantar soalan ini pada bulan ogos dan sehingga kini masih tidak menerima jawapan. mungkin pihak dbp langsung tidak mengkaji tentang soalan saya ini, tetapi hanya menghantar emel yang mengatakan soalan belum berjwb. perlukah dbp menyediakan kertas kerja atau thesis untuk menjwb soalan ini? saya masih menunggu jawapan dari pihak dbp dengan sabar. saya memohon maaf sekiranya tulisan saya ini menyinggung mana-mana pihak. | Ayat ' kami akan bersihkan kawasan belukar' sepatutnya ditulis 'kami akan membersihkan kawasan belukar' kerana ayat ini merupakan ayat aktif. Ayat 'akan kami bersihkan kawasan belukar' ialah ayat pasif seperti yang dinyatakan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, halaman 469-470 . | Tatabahasa | 14.09.2007 |
Salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Antara kemusykilan-kemusykilan yang saya hadapi termasuklah: (i) Sehubungan dengan penggunaan peribahasa dalam penulisan karangan, ‘bak kata pepatah’ tidak boleh digunakan dalam karangan. Sesetengah guru pula menegaskan bahawa pengikat kata (“………..”) tidak perlu digunakan ketika memasukkan peribahasa. (ii) Ungkapan ‘kuman menjadi barah’ dan ‘belukar menjadi rimba’ seharusnya digantikan dengan ungkapan ‘kudis menjadi tokak’. (iii) Penanda wacana ‘dengan sedemikian’ tidak boleh digunakan dalam penulisan karangan. Semoga penjelasan tuan akan meleraikan kemusykilan-kemusykilan tersebut. Sekian, terima kasih. Munsyi K’Seven, Pulau Pinang. | (i) Dalam buku Gaya Dewan, DBP di bawah tajuk penggunaan Tanda Petik. tidak menyenaraikan panduan penggunaan tanda petik bagi penggunaan peribahasa. Untuk penggunaan di sekolah atau dalam peperiksaan sila rujuk guru yang berwibawa. (ii) Penggunaan peribahasa hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya dalam ayat. Justeru, kami tidak dapat memberikan pengesahan dalam pertanyaan tuan kerana tidak ada maklumat tentang penggunaan peribahasa tersebut dalam ayat. (iii) Frasa yang betul ialah "oleh hal yang demikian". | Tatabahasa | 17.04.2015 |