Soalan yang berikut berdasarkan 'pernyataan' di bawah. 'Anda berpeluang mengelilingi sebuah pulau bersama-sama keluarga pada cuti persekolahan.' Bentuk muka bumi pantai yang dapat anda lihat ialah .... Soalan saya: Setahu saya perkataan 'pernyataan' di sini adalah betul tetapi kalau dilihat kertas soalan STPM (Majlis Peperiksaan M'sia) menggunakan perkataan 'penyataan' tanpa 'r'. Boleh beri confirmation tentang hal ini. Terima kasih | Pernyataan bermakna pengumuman, pemberitahuan atau pemakluman; manakala penyataan pula bermakna perbuatan menyatakan (melahirkan, dll). Dalam contoh ayat yang diberikan, penggunaan yang sesuai ialah pernyataan. | Makna | 12.03.2008 |
penggunaan perkataan bunda. apakah maksud perkataan bunda. mengapakah penggunaan perkataan tersebut digunakan jika, maksud perkataan bunda tiada di dalam kamus. | Perkataan bunda bermaksud depan yang berkaitan dengan bentuk muka bumi dan idea berasosiasi dalam bahasa suku kaum Bajau Tuaran. Perkataan ini belum dirakamkan dalam kamus kerana bahasa sukuan ini belum meluas penggunaanya dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa. | Istilah | 24.05.2010 |
Mohon bantuan untk muatturun bahan multimedia untuk sekolah Assalamualaikum, Tuan, Saya berhajat untuk memuat turun bahan berkenaan tetapi gagal. Mohon bantuan tuan. Pautan yang berkaitan adalah seperti berikut: http://lamanweb.dbp.gov.my/index.php/pages/view/764 Maklumat bentuk muka bumi. Terima kasih |
| Lain-lain | 18.09.2017 |
Assalamualaikum Saya Nurinee Chemudo berlajar bahasa Saya ingin bertanya tentng bahasa Apakah makna Wajah | Menurut data kami, maksud wajah ialah air muka; muka; paras: ~nya berseri-seri. berwajah 1 mempunyai atau menampakkan wajah (paras rupa, air muka dan sebaginya): ~ ceria. 2 mempunyai atau menampakkan keadaan luaran atau pemandangan sesuatu: Buku lama ~ baru. berwajahkah menggunakan atau mempunyai sesuatu sebagai wajah: Apakah benar kalian berani kerana benar? tanya ketua makhluk ~ semut itu. mewajahi memberikan rupa atau keadaan luaran kepada: Pemandangan alam semula jadi yang indah ~ pulau legenda itu. perwajahan perihal atau proses menjadikan sesuatu berwajah: ~ yang menarik telah dirancang untuk iklan bagi menarik pelancong. pewajahan perihal atau perbuatan memberikan wajah kepada sesuatu; proses mewajahi sesuatu: ~ merupakan salah satu usaha penting dalam mereka bentuk kulit majalah tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=wajah | Makna | 15.11.2015 |
Tuan, soal tentang bentuk yang betul antara "muka surat 159" atau "muka surat ke-159" dengan "tingkat sembilan" atau "tingkatan kesembilan" telah saya isikan dalam WordPad. Mohon tuan mendalilkan soal ini. Terima kasih tuan. | Penggunaan yang betul ialah muka surat 159 dan tingkat sembilan. | Tatabahasa | 19.11.2016 |
"...muka hadapan akhbar Sinar Harian." atau "...muka depan akhbar Sinar Harian." atau kedua-duanya betul dan tepat? | Salam saudara, Berdasarkan Kamus Dewan edisi ketiga, depan dan hadapan mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, kedua-dua bentuk, iaitu muka depan dan muka hadapan adalah betul dan boleh digunakan. | Makna | 09.10.2012 |
Apakah maksud: 1. Papan tanda 2. Papan jalan 3. Papan tulis 4. Reka atur 5. Reka letak 6. Muka pintu 7. Muka taip 8. Balai cerap 9. Bahu jalan sama dengan tepi jalan? Terima kasih atas penjelasan tuan. | 1. Papan tanda bermaksud papan nama sesuatu tempat (kawasan, syarikat, dan sebagainya). 3. Papan tulis ialah papan yang biasanya bercat hitam tempat menulis dengan kapur. 5. Reka letak ialah susunan bahan bertulis, fotograf atau kerja seni pada iklan atau halaman buku, surat khabar, dan lain-lain. 6. Muka pintu bermaksud ambang pintu. 7. Muka taip bermaksud a) permukaan cetakan bagi sesuatu jenis taip; b) reka bentuk permukaan jenis taip tertentu; 8. Balai cerap ialah bangunan yang dilengkapi peralatan tertentu untuk membolehkan ahli sains dan sebagainya membuat pemerhatian terhadap fenomena cuaca, bintang dsb; 9. Bahu jalan bermaksud bahagian tepi atau sisi jalan (di luar bahagian untuk laluan kenderaan). Istilah reka atur dan papan jalan tiada dalam data kami. Istilah yang betul papan tanda nama jalan, iaitu yang digunakan untuk meletakkan nama jalan. | Makna | 26.11.2013 |
Assalamualaikum. Apakah terjemahan untuk perkatasn 'Sheet Mask' dalam bahasa Melayu? Topeng muka kedengaran kurang sesuai. Ini sheet mask yang digunakan dalam industri kecantikan. Terima kasih | Pihak kami mencadangkan "sheet mask" diterjemahkan sebagai "topeng kepingan", topeng helaian" atau "topeng pipih". "Pupur muka" juga boleh dijadikan padanan bagi "sheet mask", bergantung pada jenis, bentuk dan kegunaan produk tersebut. Untuk makluman, topeng muka atau pelitup muka pula merupakan padanan bagi "face mask" dan bukannya "sheet mask". | Penyemakan dan penterjemahan | 13.08.2020 |
Bentuk pasif yang betul ialah "Batu itu saya tersepak." Untuk maklumat lanjut tentang awalan "ter-", sila rujuk buku Tatabahasa Dewan muka surat 170 - 175. Itu ialah jawapan tuan tentang bentuk kata kerja pasif dalam binaan ayat apabila menggunakan kata ganti nama diri orang pertama. Dalam Tatabahasa Dewan m/s 170-175 tiada penerangan khusus tentang penggunaan 'saya' dalam ayat pasif dengan kata kerja pasif 'ter'. Untuk pengetahuan tuan, jawapan tuan tidak konsisten. Pada masa yang lain tuan jawab begini Frasa "tidak terlawan oleh saya" betul, kata kerja pasif dengan awalan ter- + oleh + kata ganti nama diri pertama. Yang tidak gramatis islah kata kerja pasif dengan awalan di- + oleh + kata ganti nama diri pertama. (21.09.2012). Adakah adanya kata nafi 'tidak' membenarkan alasan jawapan tuan? Masalah utamanya ialah PRPM ruangan Khidmat Nasihat sering menjadi rujukan pelajar dan pengguna bahasa tentang pelbagai masalah bahasa dan jawapan tuan menjadi pegangan mereka. Jawapan yang tidak konsisten menyukarkan guru-guru untuk menjelaskan masalah kebahasaan seperti yang saya nyatakan. Sebanarnya yang mana jawapan yang betul? | Kami memohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Setelah berbincang dengan munsyi dewan, ayat yang betul ialah "Batu itu tersepak oleh saya." Kekeliruan timbul apabila melibatkan ayat pasif dengan kata ganti nama diri orang pertama iaitu saya. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-. Ayat pasif dengan kata kerja di- digunakan hanya dengan frasa nama objek orang ketiga. Untuk ayat pasif dengan kata kerja pasif ter-, kata sendi nama oleh tidak boleh digugurkan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 490. | Tatabahasa | 09.09.2013 |
Salam sejahtera, Saya ingin bertanyakan perbezaan antara perkataan dikurangkan dengan perkataan dikurangi. Terima kasih dan salam hormat. | Untuk makluman, apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi apitan meN-...-kan. Contohnya "mengurangkan" (bentuk aktif) dan "dikurangkan" (bentuk pasif). Manakala, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi apitan meN-...-i, contohnya "mengurangi" (bentuk aktif) dan "dikurangi" (bentuk pasif). Untuk maklumat lanjut, rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 202 dan 208. | Tatabahasa | 01.01.2020 |