Saya keliru ayat untuk soalan ujian Di bawah betul atau salah. Sejak akhir-akhir ini ramai pemuda gemarkan kerja-kerja bercucuk tanam kerana mendatangkan hasil yang lumayan. Dalam ayat ini,Ada kata bilangan jamak Dan menggunakan kata Ganda kerja-kerja. Harap dapat membantu dengan penjelasan. | Ayat yang betul ialah “Sejak akhir-akhir ini ramai pemuda menggemari kerja bercucuk tanam kerana mendatangkan hasil yang lumayan.”. Kata jamak ramai pemuda betul kerana ramai telah merujuk bilangan lebih daripada seorang pemuda. Untuk maklumat lanjut sila rujuk bahagian kata bilangan Tatabahasa Dewan (DBP, 2015) halaman 287. Kerja-kerja bercucuk tanam digantikan dengan kerja bercucuk tanam sahaja kerana perkataan “kerja” merujuk kepada perbuatan bercucuk tanam. | Tatabahasa | 18.01.2024 |
(i) Mereka bercucuk tanam di lembah bukit yang curam itu. (ii) Kawasan rekreasi itu terletak di lembah Gunung Korbu. Soalan: Mengikut jawaban buku, penggunaan perkataan "lembah" dalam kedua-dua ayat di atas adalah salah. Jadi apakah perkataan yang sesuai untuk menggantikan perkataan "lembah" dalam kedua-dua ayat itu. | Untuk makluman, lembah bermaksud: 1. Tanah rendah (di perkakian gunung atau bukit), tanah pamah (di kiri kanan sungai). 2. (Kiasan) jurang kehidupan, tempat yg paling rendah atau hina, berlembah ada atau terdapat lembah (berkenaan tanah). Berdasarkan maksud lembah tersebut, ayat yang tuan/puan kemukakan tidak ada kesalahan jika perkataan lembah digunakan. (i) Mereka bercucuk tanam di lembah bukit yang curam itu. (ii) Kawasan rekreasi itu terletak di lembah Gunung Korbu. | Makna | 02.11.2015 |
Selamat sejahtera. Adakah ejaan 'stereofoam' betul dalam bahasa melayu? Contoh ayat: Sistem akuaponik Raft merupakan kegiatan bercucuk tanam dengan menggunakan sterefoam. Sekian, terima kasih. | Istilah 'styrofoam' dalam bahasa Inggeris diberikan padanan 'stirofoam' dalam bahasa Melayu. Stirofoam ialah nama dagang bagi satu bentuk plastik yang dikenali sebagai busa polistirena. | Istilah | 21.02.2017 |
penggunaan kata nama 'petani' 1) petani menanam sayur di kebun atau 2) pekebun menanam sayur di kebun kalau dua-dua pun boleh terima, jadi bagaimana nak bezakan dua jenis pekerjaan ini? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "petani" bermaksud orang yang pekerjaannya bercucuk tanam (mengusahakan tanah), manakala "pekebun" pula ialah orang yang memiliki atau yang mengurus kebun. | Istilah | 18.05.2015 |
Assalamualaikum.Saya Nadia berasal daripada Johor Bahru. Saya disini berasa mushkil dengan perkataan 'pernyataan'. Saya ada diberi teguran oleh salah seorang pakar bahasa bahawa ejaan yang sebenarnya adalah 'penyataan'.Adakah itu benar?Jika benar, saya ingin memohon pertolongan daripada pihak anda untuk menjelaskan perkara tersebut dengan lebih terperinci.Terima kasih. | Adik Faridatun Nadia terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Mengikut kamus Dewan Pernyataan bermakna -1. kata-kata dsb yg menyatakan (mengumumkan) sesuatu, pemberitahuan, pemakluman: satu kajian tentang bahan-bahan galian arkeologi dan juga ~ kepercayaan dan pengetahuan tentang bercucuk tanam; 2. kenyataan rasmi yg di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dsb tentang sesuatu perkara, biasanya disiarkan melalui media: ~ bersama; manakala penyataan bermakna -perbuatan menyatakan (melahirkan dll): kesusasteraan bukanlah lahir drpd kekosongan, tetapi adalah ~ drpd pergolakan dan perkembangan masyarakat; | Makna | 03.08.2009 |
Assalamualikum tuan/puan. Terima kasih banyak kerana menjawab pertanyaan -pertanyaan saya. Ia sangat membantu. Saya ingin bertanya beza "hasil" dan "keberhasilan" Terima kasih. | Takrif dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) bagi hasil dan keberhasilan adalah seperti yang berikut: hasil n 1 dapatan atau faedah drp sst usaha, kegiatan dsb: Setelah lima tahun bercucuk tanam, ladang itu memberikan hasil yg lumayan.• Penangkapan Razlan itu ialah hasil pengintipan selama sebulan. 2 sst yg diperoleh atau dikeluarkan drp pokok, tanah, hutan dsb: Myanmar ialah sebuah negara yg kaya dgn hasil hutannya. • Orang Senoi mengutip hasil padi mereka dgn menggunakan tuai. 3 ki sst kebaikan atau keburukan yg timbul selepas berlakunya sst kejadian, tindakan dll: Mereka menggunakan senjata termoden hasil teknologi paling canggih. • Keselesaan yg dinikmati ialah hasil pengorbanan dan perjuangan generasi sebelum ini. 4 pendapatan yg diperoleh sso, syarikat atau negara drp kutipan cukai, denda, sewa dll: Sekiranya orang yg dituduh itu tidak hadir pd hari perbicaraannya, maka wang jaminannya itu akan hilang dan menjadi hasil kerajaan. keberhasilan n 1 hal beroleh hasil atau kesan: Keberhasilan penggunaan istilah banyak bergantung pd masyarakat penggunanya.• Dia menerangkan cara utk meningkatkan keberhasilan perniagaan di Internet. 2 sst yg dicapai atau diperoleh: Mari sama-sama kita berkongsi ttg keberhasilan yg dicapai sepanjang Ramadan. | Lain-lain | 06.07.2021 |