| Apakah yang dimaksudkan dengan kata kerja terbitan yang menunjukkan ragam reflektif? | Saudara Sitie, Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan.Perkataan refleksif ialah makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam ayat yang menandakan perbuatan yang melibatkan atau mengenai diri sendiri. Contohnya, bercukur, berhias, berjemur. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 01.09.2009 |
| Salamualaikum.. saya ada 2 soalan, pertama, apakah fungsi kata apitan 'ber'? contohnya; saya bermain bola sepak. apakah penerangan sebaiknya untuk diterangkan dan seerti dalam bahasa inggeris. untuk lebih memahami soalan saya ini. saya lanjutkan dengan contoh lain seperti' saya sedang bermain bola sepak'. penggunaan sedang menunjukkan 'masa sekarang@kini' dan seerti dalam bahasa inggeris adalah present tense. soalan kedua ialah apakah buku yang sesuai terdapat di pasaran untuk digunakan sebagai rujukan bagi pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa melayu. sekian terima kasih | Awalan beR- membentuk kata kerja yang bersifat tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap. Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar seperti bertukar dan bersenam. Namun begitu terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu seperti bercukur, bertumbuk dan bertulis. Kata kerja bermain membawa maksud yang terkandung dalam kata dasar main. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang menandai masa perbuatan didahului dengan perkataan telah, sedang dan akan. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat yang dapat menjelaskan masa berlakunya sesuatu perbuatan, maka perkataan telah, sedang dan akan boleh digugurkan. Contohnya ayat Ahmad sedang bermain bola sepak di Stadium Bukit Jalil menunjukkan perbuatan itu sedang dilakukan dan ayat Ahmad bermain bola sepak di stadium semalam, tidak perlu lagi didahului kata telah.
| Tatabahasa | 26.11.2012 |
| saya ingin bertanya, bolehkah DBP mewujudkan imbuhan baru untuk kata lawan bagi ber-? Seperti yang kita tahu, ber- mempunyai maksud 'memiliki' atau 'perbuatan persalingan' (daripada https://ejournal.ukm.my/gema/article/view/129). Jika kita lakukan perbandingan bahasa ( Melayu & Inggeris) bagi maksud 'memiliki' ber(sifat), baju berlengan pendek = short sleeve shirt. Tetapi baju tanpa lengan = sleeveless shirt. berguna = useful, tidak berguna = useless. Banyak lagi perkataan bahasa Inggeris yang berakhir dengan -less, memudahkan komunikasi dan memendekkan jumlah perkataan dalam perbualan. Saya berharap agar penambahbaikan ini dapat dipertimbang kerana bahasa Melayu sepatutnya sudah wujudkan banyak istilah sains, berbanding menterjemah begitu sahaja. Terima kasih | Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) telah merakamkan imbuhan "ber-(be-, bel-) sebagai entrinya. Terdapat 30 pecahan makna yang berjaya diisih dan disusun secara teliti berserta contoh kata terbitannya. Maklumat tatabahasa juga diberikan sebagai panduan pengguna bahasa. Berikut adalah sebahagian daripada pecahan makna imbuhan tersebut: ber- (be-, bel-) awalan 1 secara umumnya, apb bergabung dgn kata dasar tertentu membentuk kata terbitan yg menunjukkan perbuatan, kegiatan, cara, sifat dll yg berkaitan dgn kata dasar tsb, mis berdayung, berjumpa, berdalih, bersosial, bermusuh, bergotong-royong, berdakwah, berbuat, golongan berada, cukai berbayar, berjalan berjengket-jengket membawa sekole kopi, dan Berenang mampu menurunkan berat badan; 2 apb bergabung dgn kata kerja, kata nama atau kata adjektif tertentu membentuk kata terbitan yg membawa maksud berada dlm keadaan yg berkaitan dgn kata dasar, mis berlapar, bercelup, bertulis, berhujan, berembun, bergelap, bergembira, berpantang, berbara, bercatu, belum berbasuh, bermuram durja, kain berjahit dan kayu bergergaji; 3 membawa maksud ada atau mempunyai, mis berduit, berkudis, bermuatan, berayah, berasas, berbeza, berhasrat, tiada berbanding, gula-gula berangin, selekoh berbahaya, pihak berkuasa, renang berirama, berhalangan, bertujuan, berfikiran, berperanan, dan berkaitan; 4 apb bergabung dgn kata tertentu membentuk kata terbitan yg menunjukkan perbuatan yg dilakukan pd diri sendiri, mis berdandan, bercukur, bersolek, bercermin, berdiang, berdiet, bergambar dan berjemur; Untuk mendapatkan keseluruhan pecahan makna imbuhan ini, pengguna disarankan memiliki Kamus Dewan Perdana. | Lain-lain | 24.06.2021 |
| Tuan, apakah beda antara "puas" dengan "berpuas"? Pada saya, beda dua kata itu hanya golongan kata, iaitu "puas" sifat dan "berpuas" perbuatan tiada melampau kerana telah ditambahi awalan ber- pembentuk perbuatan tiada melampau. Dalam Tatabahasa Dewan pada halaman ke-169, apabila sifat rasa seperti gembira, sedih bergabung dengan awalan ber-, ber- bermaksud berada dalam keadaan sifat rasa itu. Maka bermaksudlah "berpuas" berada dalam keadaan puas. Saya tidak melihat beda makna antara "puas" dengan "berpuas", hanya cara penggunaan kedua-dua kata dalam ayat mungkin sedikit lain. "Berpuas" bermaksud berasa puas, maka berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan = berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan. Kalau digunakan kata "berpuas", digunakan kata "berpuas" sahaja, iaitu "berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan" tetapi jika yang digunakan "puas", mungkin perlu disertakan kata "berasa", iaitu "berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana berasa puas = berpuas. Namun begitu, tanpa kata "berasa", saya tidak melihat kesalahan frasa "puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana jika cerita frasa sifat "puas" dapat diluaskan dengan frasa sendi nama keterangan "kepada jayanya dalam peperiksaan". Saya telah mengetahui bahawa kedua-dua kata ini bermakna serupa dan golongan kedua-dua kata ini berbeda, yang hendak saya soalkan: adakah "puas" dan "berpuas" ini senjang kaedah penggunaannya dalam ayat? Bolehkah tuan menunjukkan kesenjangan tersebut? | Awalan beR- membentuk kata kerja yang bersifat tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap. Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar seperti bertukar dan bersenam. Namun begitu terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu seperti bercukur, bertumbuk dan bertulis. Kata kerja bermain membawa maksud yang terkandung dalam kata dasar main. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang menandai masa perbuatan didahului dengan perkataan telah, sedang dan akan. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat yang dapat menjelaskan masa berlakunya sesuatu perbuatan, maka perkataan telah, sedang dan akan boleh digugurkan. Contohnya ayat Ahmad sedang bermain bola sepak di Stadium Bukit Jalil menunjukkan perbuatan itu sedang dilakukan dan ayat Ahmad bermain bola sepak di stadium semalam, tidak perlu lagi didahului kata telah.
| Tatabahasa | 22.12.2016 |