Adakah perkataa guli-gundu wujud dalam kosa kata BM? Dan bolehkah berderet-deret digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk sebaris kereta? | Perkataan “guli” dan “gundi” wujud dalam kosa kata bahasa Melayu, tetapi tidak wujud kata ganda berentak “guli-gundu” kerana gundi juga merujuk kepada guli. Kata “berderet-deret” ialah kata kerja bukannya penjodoh bilangan. | Tatabahasa | 13.03.2014 |
Adakah pilihan jawapan bagi ayat yang diberikan ini betul? Kalau betul, yang mana satu jawapan yang sesuai? Sejak petang lagi, orang ramai sudah _________ ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan pertunjukan bunga api. A. Bergegas-gegas B. beratus-ratus C. Berduyun-duyun D. Berderet-deret | Jawapan yang betul ialah berduyun-duyun. | Tatabahasa | 25.07.2013 |
Assalamualaikum. Adakah tanda elipsis sesuai digunakan sebelum tanda seru? Contoh ayat, “Kepalaku rasa sakit ... ! Pandanganku gelap.” Jika melihat konteks ayat seperti tidak sesuai kerana ayat atau “rasa” yang hendak diluahkan itu tergantung (kerana menggunakan elipsis) kemudian disambung dengan tanda seru (seolah-olah meluahkan sesuatu). Terima kasih. | Elipsis ialah tiga titik berderet (...) yang digunakan sebagai penanda yang menunjukkan pengguguran bahagian teks khususnya petikan, sama ada pada bahagian awal, bahagian tengah atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks. Berdasarkan contoh yang diberikan, penggunaan tanda elipsis sebelum tanda seru boleh digunakan kerana tanda seru digunakan sebagai penanda perasaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, saudara boleh merujuk Buku Gaya Dewan (DBP, 2023) halaman 117 dan 122. | Tatabahasa | 21.05.2024 |
Assalamualaikum. Adakah selepas elipsis pada awal ayat, digunakan huruf kecil, contoh ayat, ("...aku akan ikut" balas Fahmi.) Adakah sama juga kaedah penulisan elipsis pada awal ayat untuk penulisan petikan terjemahan al-Quran dan hadis? Dimulakan huruf kecil atau besar. Terima kasih. | Elipsis ialah tiga titik berderet (...) yang mempunyai jarak biasa yang boleh digunakan sebagai penanda pengguguran teks, khususnya petikan, sama ada pada bahagian awal, bahagian tengah atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks. Oleh yang demikian, selepas tanda elipsis pada awal ayat atau teks perlu dijarakkan dan diikuti dengan huruf besar. Contoh “ ... Aku akan ikut,” balas Fahmi. Demikian juga petikan terjemahan al-Quran, contohnya ... Sesiapa yang bertakwa dengan Allah ... . (Surah al-Talaq 65:2) Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 117-118. | Tatabahasa | 03.07.2025 |