Ayat berikut yang manakah betul? 1. Cara ini banyak berfaedah kepada murid. 2. Cara ini berfaedah banyak kepada murid. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Cara ini banyak berfaedah kepada murid" berbanding ayat "Cara ini berfaedah banyak kepada murid". Hal ini disebabkan oleh maksud perkataan yang hendak diberi penekanan/penegasan harus diletakkan di bahagian hadapan kata penyambut, iaitu " banyak berfaedah". Terima kasih. | Tatabahasa | 05.06.2014 |
apakah perbezaan dalam penggunaan 'bagi' dan 'untuk' dalam ayat? - "kitab ini amat berfaedah bagi pembaca" dan "kitab ini amat berfaedah untuk pembaca". | "kitab ini amat berfaedah bagi pembaca" "kitab ini amat berfaedah untuk pembaca". Kedua-dua ayat di atas betul penggunaan kata sendi nama. Kata sendi nama 'untuk' dan 'bagi' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama dengan fungsi tertentu seperti yang berikut: i. menunjukkan kegunaan untuk sesuatu. Dalam penggunaannya yang demikian,kata sendi nama 'untuk' dapat bervariasi dengan kata sendi nama 'bagi'. Contohnya : Asrama untuk/bagi penuntut Sabah sedang dibina. ii. menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Dalam penggunaan yang demikian, 'untuk' tidak boleh bertukar dengan 'bagi'. Contohnya: hadiah itu untukmu bukan Hadiah itu bagimu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 276. | Tatabahasa | 05.10.2012 |
Kita dapat memanfaat masa dengan aktiviti berfaedah. Adakah ayat ini betul? Minta penjelasan daripada pihak dbp. | Ayat yang betul ialah “Kita dapat memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah”. | Lain-lain | 19.05.2020 |
Amalan membaca kegemaran yang berfaedah. apakah predikat ayat tersebut? dan apakah frasa yang membentuk predikat ayat stersebut? pengarang novel panas salju tingkatan 3 ialah Talib Samad atau Talib Samat? | Predikat tersebut ialah kegemaran yang berfaedah. Bagi ayat kedua, perkataan ialah boleh dimasukkan ataupun ditinggalkan. | Tatabahasa | 25.06.2010 |
Yang manakah betul? Murid-murid menjalani aktiviti yang berfaedah ( dalam, pada ) percutian sekolah. | Ayat yang gramatis adalah seperti yang berikut: Murid-murid menjalani aktiviti yang berfaedah pada musim cuti sekolah. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.06.2017 |
Makna kesusasteraan terlalu luas. Bagaimana untuk kita menghuraikannya dengan lebih mendalam | Secara umum, erti kesusasteraan dipecahkan seperti yang berikit: Su bererti indah, baik dan berfaedah dan Sastera bererti aksara atau buku, maka kesusasteraan bererti kumpulan buku yang indah, baik dan berfaedah. Untuk menghuraikan lebih mendalam erti kesusasteraan, saudara boleh menumpukan perhatian kepada pemikiran dalam sesebuah karya yang baik dan berfaedah. Manakala dari segi keindahan pula, saudara boleh melihat dari segi bahasa dan perasaan. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 05.07.2009 |
maksud imarah | menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. | Tatabahasa | 24.11.2007 |
Berikan makna maslahat dan contoh ayat. Bagaimana untuk membezakan ayat aktif dengan ayat aktif transitif. | Maslahat ialah sesuatu yang berfaedah atau berguna. Contoh ayat : Setiap langkah, peraturan dan undang-undang yang dapat melindungi dan mempertahankan perkara yang disebut tadi adalah maslahat. Bagi mendapatkan perbezaan ayat aktif dengan ayat aktif transitif, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, bab 17, hlm.484. | Makna | 19.06.2008 |
1. Bagaimanakah menggunakan perkataan dasawarsa, maslahat,konklusi dan enigma dalam ayat? | Dasawarsa ialah masa sepuluh tahun, dekad. Maslahat dr bahasa Arab bermaksud sesuatu yang berfaedah. Konklusi pula dr bahasa Inggeris yg bermaksud kesudahan ataupun penutup (conclusion). Manakala enigma bermaksud sesuatu yg sukar difahami (kabur). Contoh penggunaan dlm ayat: 1. Hampir satu dasawarsa Amilah menunggu kepulangan suaminya yang telah ditahan oleh pihak Belanda.2. Para pembaca kitab Tajussalatin akan memperoleh maslahat seperti yang dinyatakan oleh pengarangnya. 3. Pengguna bahasa digalakkan menggunakan bahasa Melayu terlebih dahulu disebabkan bahasa Melayu mempunyai nilai estetika yg tersendiri. 4. Sama penerangan seperti dalam 3 di atas. | Tatabahasa | 01.07.2008 |
Adakah diperbolehkan menambah perkataan dalam suatu peribahasa untuk menyesuaikannya dengan ayat yang ditulis. Sebagai contoh, peribahasa balayar mengadang pulau, apabila ditulis dalam suatu ayat ; remaja tidak sepatutnya membuang masa pada perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya belayar hendaklah mengadang pulau. | Untuk makluman, perkataan dalam peribahasa tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya. Sehubungan dengan itu, mohon rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. | Lain-lain | 16.12.2016 |