segala yang berkaitan dengan buaya, maksud, peribahasa, pantun, istilah, dan lain-lain....juga kearamat | Antara peribahasa yang berkaitan dengan buaya ialah; Adakah buaya menolak bangkai? Seorang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan. 2 . Air yang keruh-keruh kerak, alamat buaya di hulunya. Daripada perkataan dapat dimaklumi niat di dalam hati. keruh-keruh kerak = tiada jernih. 3 . Air yang tenang, jangan disangka tiada berbuaya. Orang yang diam jangan disangka pengecut. 4 . Asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya. Sangat perlu akan pertolongan, betapa pun jua pertolongan itu akan diterimanya. 5 . Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau. Membuat pekerjaan yang sia-sia. 6 . Besar berudu di kubangan, besar buaya di lautan. Tiap-tiap orang mulia dan besar pada tempatnya masing-masing. Sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Kurik KUndi Merah Saga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk rujukan himpunan pantun-pantun Melayu. Harap maklum. | Lain-lain | 27.11.2007 |
Adakah proses dan acara berbeza? | Ya, proses dan acara mempunyai makna yang berbeza. Proses bermaksud: 1. satu siri tindakan atau operasi yang dilakukan atau yang perlu diikuti untuk membuat atau melaksanakan sesuatu. Contoh ayat: Proses pelantikan perunding hendaklah dibuat mengikut prosedur. 2. perubahan yang biasanya berlaku secara semula jadi atau tanpa disedari, biasanya melibatkan tempoh yang panjang. Contoh ayat: Kekurangan nutrisi boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak. 3. kaedah atau teknik untuk membuat atau menghasilkan sesuatu barangan, khususnya dalam industri. Contoh ayat: Proses pembuatan coklat bermula dengan mengadunkan likuor koko, gula, susu dan sebahagian lemak koko selama kira-kira 5 minit pada suhu 45°C. Manakala acara bermaksud: 1. jenis permainan dalam sukan yang dipertandingkan, misalnya lari berganti-ganti, badminton atau menembak. Contoh ayat: Acara lompatan ialah lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang dan lompat bergalah. 2. perkara yang dilaksanakan oleh masyarakat mengikut adat atau kebiasaan, misalnya semasa majlis perkahwinan atau dalam kehidupan. Contoh ayat: Pengantin lelaki menyempurnakan acara membatalkan air sembahyang dengan menyarungkan sebentuk cincin. 3. bahagian atau seluruh kegiatan yang disusun dan dijadualkan untuk dilaksanakan bagi menjayakan sesuatu upacara, persembahan, sambutan dan sebagainya. Contoh ayat: Acara ini bermula dengan ucapan Ketua Pengarah. 4. kegiatan, program atau majlis khusus yang diadakan untuk tujuan tertentu. Contoh ayat: Acara Forum Remaja akan diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Terima kasih. | Makna | 08.11.2024 |
apakah maksud malu dan segan?? adakah malu dan segan mempunyai maksud yang sama atau berbeza?? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, malu bermaksud 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang: aku ~ pula apabila tidak pakai seluar dan baju; panglima tak bermalu, melerek-lerek macam kambing jantan pd perempuan yg tiada mahu kepadanya; 2. perasaan aib (hina, rendah diri, dll): utk menutup ~nya, ayah Zainab telah memujuk Salim supaya mahu menjadi menantunya; 3. menaruh hormat akan, berasa segan (agak takut): ia sendiri masih begitu ~ hendak mengemukakan pertanyaan ini; ~ besar malu yg amat sangat; ~ mata segan, hormat; ~ bertanya, sesat jalan = ~ berdayung, perahu hanyut = ~ makan, perut lapar prb kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan; ~ kalau anak harimau menjadi anak kucing (kambing) prb tidak patut kalau anak orang baik-baik atau pandai menjadi jahat atau bodoh; manakala segan pula bermaksud 1. tidak suka berbuat sesuatu, tidak mahu, tidak sudi, enggan, malas: mereka ~ hendak turun naik tangga mahkamah itu; 2. = ~-silu berasa malu (silu, hormat, dll): ada sesetengah ibu yg berasa ~ kerana mengandung; tak ~ a) mahu, sudi, suka; b) tidak malu; c) tidak takut-takut; tak ~-~ tidak malu-malu, tidak takut-takut, tidak harga-menghargai; ~ tak ~ tidak malu-malu, tidak takut-takut; ~ bergalah, hanyut serantau = ~ berkayuh perahu hanyut = ~ bertanya sesat jalan prb kalau tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan; | Istilah | 01.11.2009 |