Bagaimanakah penggunaan tanda sempang (-) di dalam perkataan berganda apabila menulis? Adakah perlu dijarakkan antara perkataan dan tanda sempang. Contoh : haiwan - haiwan atau haiwan-haiwan terima kasih. | Tanda sempang (-) yang digunakan dalam kata ganda tidak perlu dijarakkan. Ejaan yang dijarakkan ialah tanda pisah ( - ) seperti yang digunakan dalam ayat bagi memisahkan keterangan idea atau mengganti perkataan hingga seperti Jun - September. | Tatabahasa | 19.07.2012 |
1) Apakah yang salah dalam ayat "Pohon-pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka"? Adakah dua kata berganda dibenarkan dalam satu ayat? 2) Adakah penggunaan terdapat dalam ayat berikut betul? "Kawasan rumah itu terdapat jalinan jalan raya yang sistematik." Terima kasih banyak-banyak! | 1. Untuk membentuk ayat yang gramatis, hanya satu kata ganda wujud dalam ayat tersebut. Penggunaan dua kata ganda menjadikannya lewah dan penggunaan kata yang lewah dalam pembinaan ayat perlu dielakkan. Ayat yang gramatis ialah Pohon-pohon di taman itu tinggi belaka atau Pohon di taman itu tinggi-tinggi. 2. Penggunaan perkataan 'terdapat' dalam ayat tersebut betul, tetapi perlu ada kata sendi nama pada frasa 'Di kawasan rumah'. | Tatabahasa | 27.02.2012 |
1) Perkataan berganda contoh ( Buah-buahan Tempatan Malaysia ) atau ( Buah-Buahan Tempatan Malaysia ) - sama ada huruf b yang kedua itu ( b - huruf kecil atau B huruf besar) - sama juga seperti Penasihat Undang-Undang. huruf u yang kedua itu huruf besar atau huruf kecil. 2) Perkataan negeri. di tulis dengan huruf kecil atau besar. - Kalau Negeri Melaka. perkataan negeri itu di tulis dengan huruf besar. - kalau negeri sahaja tanpa diikuti dengan nama khas. Adakah ia juga ditulis dengan huruf kecil atau huruf besar. terima kasih. (Rusli Kamaruddin) PA YB. Dato' Speaker Merangkap Ketua Pelapor Perbahasan Dewan Undangan Negeri PULAU PINANG. 04-2611955 | 1) Perkataan kedua dalam kata ganda ditulis dengan huruf kecil seperti contoh Buah-buahan Tempatan Malaysia, begitu juga dengan Penasihat Undang-undang. 2) Perkataan negeri ditulis dengan huruf kecil seperti negeri-negeri di Malaysia dan negeri Melaka kecuali nama yang telah diwartakan seperti Negeri-Negeri selat (kata gandanya hururf besar dan negeripun huruf besar). | Ejaan | 24.12.2011 |
Assalammualaikum, saya ingin bertanya tentang penggunaan koma sebelum perkataan dan. Adakah dibolehkan menggunakan koma sebelum perkataan 'dan'? Saya ada terbaca beberapa buku yang menggunakan penggunaan sedemikian. Bagaimanakah penggunaan yang sebetulnya? Contoh : telur, roti dan susu atau telur, roti, dan susu ? Seperkara lagi, bagaimanakah penggunaan 'al-Quran' yang sebetulnya? Adakah 'al' itu sepatutnya 'Al-Quran' atau 'al Quran dalam sesuatu ayat? Soalan terakhir, bagaimanakah penggunaan ayat dalam konteks huruf besar?misalnya tajuk Kesan-Kesan Buruk atau Kesan-kesan Buruk.Jika ia berupa tajuk,bagaimanakah penggunaan huruf besar untuk kata berganda seperti ini dan bagaimana pula penggunaan kata ganda dalam konteks ayat(bukan tajuk). Contoh: Negeri-Negeri Melayu atau Negeri-negeri Melayu. Sekian sahaja soalan saya. Sekian,terima kasih. | 1. Penggunaan tanda koma sebelum ‘dan’ lebih kepada gaya penulisan, boleh ada atau tiada. Penggunaan koma sebelum ‘dan’ biasanya untuk kategori yang berbeza, contohnya: Emak ke kedai membeli ikan, sayur, dan surat khabar. 2. Ejaan yang didaftarkan dalam Kamus ialah al-Quran. 3. Kata ganda yang berfungsi sebagai tajuk dieja dengan huruf kecil seperti Hari Kanak-kanak Sedunia kecuali kata ganda tersebut telah didaftarkan dengan huruf besar. | Tatabahasa | 18.11.2011 |