Dalam halaman 201 dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Tiga, dalam contoh ayat 261-266, bolehkah saya ubah ayat kepada ayat yang seperti di bawah ini: 261. LAMPU-LAMPU yang bergantungan di dinding 262. BENDERA-BENDERA warna-warni berkibaran di sepanjang jalan. 263. BINTANG-BINTANG bertaburan di langit. 264. BURUNG-BURUNG layang-layang berterbangan di angkasa. 265. DAUN-DAUN/DEDAUN berguguran di halaman rumah. 266. (Ayat dikekalkan) Kanak-kanak berkejaran di padang sekolah. 1. Jika ayat tersebut tidak boleh diubah seperti yang saya tulis di atas, apakah sebabnya? Boleh berikan keterangan? 2. "Kanak-kanak" bukan kata ganda kerana "kanak-kanak" ialah satu perkataan? 3. "Dedaun" sama dengan "daun-daun"? | Perkataan bergantungan, berkibaran, bertaburan, berterbangan, berguguran dan berkejaran ialah kata kerja terbitan yang terhasil daripada penggunaan apitan beR-...-an yang membawa maksud perbuatan yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Oleh itu subjek seperti lampu, bendera, bintang, burung layang-layang, daun kering tidak perlu digandakan lagi. Manakala kanak-kanak pula ialah kata ganda semu dan membawa makna yang khusus apabila digandakan dan kata ganda semu bukan penanda jamak. Oleh itu, kanak-kanak betul dan boleh digunakan dalam ayat tersebut.. | Lain-lain | 05.05.2014 |
Tuan/Puan, Berkenaan Penjodoh Bilangan Saya telah menemui penggunaan penjodoh bilangan seperti berikut: 1)berhelai-helai baju bergantungan di dalam biliknya. 2)Sehelai demi sehelai kertas dibakar. 3)Helai-helai suratkhabar berkecamuk. Saya tidak pasti contoh-contoh tersebut dianggap mematuhi tatabahasah. Bolehkah penjodoh bilangan mengalami proses penggandaan seperti contoh-contoh tersebut? Terima kasih. | Ayat satu dan dua adalah betul kerana perkataan helai boleh menjadi penjodoh bilangan dan boleh juga membawa maksudnya sendiri. Ayat ketiga kurang tepat penggunaannya. | Tatabahasa | 28.06.2011 |
Tuan, Apakah jawapan untuk ayat di bawah: 1. Seluar yang _____________________ di tepi tingkap itu diambil oleh Encik Lim. A) bergantung-gantungan B) bergantungan C) bergantung D) bergantung-gantung (boleh melebihi 1 jawapan) Terima kasih. | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud bergantung ialah berpegang atau bersangkut pada sesuatu dengan tidak berjejak pada bumi, lantai dan sebagainya. Maka jawapan yang betul ialah C | Tatabahasa | 28.11.2016 |
Tuan, Saya ingin meminta nasihat berkenaan terjemahan atau padanan yang sesuai bagi perkataan "interdependency" sekian, terima kasih | Tidak ada perkataan interdependency dalam sumber rujukan kami, yang ada ialah interdependence iaitu saling bergantungan. | Penyemakan dan penterjemahan | 06.05.2010 |
Apakah perkataan bahasa melayu yang tepat bagi perkataan berikut? 1. Accumulation 2. Interdependence 3. Intensity Terima kasih. | Soalan yang puan kemukakan terlalu umum. Pihak kami tidak jelas dengan apa yang puan perlukan. Adakah padanan bagi perkataan tersebut dalam bahasa Melayu? Istilah? Atau, sekadar makna? Sehubungan dengan itu, kami berikan makna untuk setiap perkataan. Jika puan inginkan maklumat lebih lanjut, mohon layari lama web kami iaitu, http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Intensity&d=69812&#LIHATSINI 1. Accumulation bermaksud pengumpulan atau perhimpunan 2. Interdependence bermaksud saling bergantungan atau kesalingbergantungan 3. Intensity bermaksud perihal mendalam | Penyemakan dan penterjemahan | 01.03.2019 |
Salam sejahtera tuan. Saya faham kata nama sebelum imbuhan ber...an tidak perlu digandakan kerana ber... an bermaksud banyak. Jika perkataan yang berimbuhan ber...an yang membawa erti perbuatan yang dilakukan secara berulangan seperti berkibaran, berkerdipan, bergayutan dan sebagainya. Adakah salah sekiranya kata nama yang digunakan sebelum kata-kata tersebut digandakan? Contoh: 1. a. Bendera itu berkibaran ditiup angin. b. Bendera-bendera itu berkibaran ditiup angin. 2. a. Monyet bergayutan pada dahan pokok. b. Monyet-monyet bergayutan pada dahan pokok. 3. a. Bintang berkerdipan di langit. b. Bintang-bintang berkerdipan di langit. Adakah semua ayat di atas gramatis? Sekian, terima kasih. | Perkataan seperti berkibaran, bergayutan, berkedipan, bergantungan, berkibaran, bertaburan, berterbangan, berguguran, berkejaran dan sebagainya, yakni yang diimbuhkan dengan apitan beR- ... -an membawa maksud 'perbuatan yang menunjukkan jumlah yang banyak’. Oleh itu, perkataan sebelumnya yang berupa benda, orang dan sebagainya tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 05.08.2011 |