Apakah ejaan Jawi bagi gugusan "TH" spt negara "Thailand", saya lihat di ejawiMakmur dieja beserta huruf Ha Simpul (تهايلند), sedangkan mengikut ejawiM dan DBP, ejaan bergugus TH spt kata Thaipusam pula adalah tanpa Ha Simpul (تايڤوسم). | Ejaan Jawi bagi kata yang mempunyai susunan konsonan "th" akan dieja menggunakan: a) sa (ث) jika sepadan dengan kata serapan bahasa Arab, dan b) ta (ت) jika sepadan dengan kata serapan bahasa Inggeris dsb dalam bahasa Melayu. Oleh hal demikian, kata seperti kata Thailand (تايلند) dan Thaipusam (تايڤوسم) dieja sebegini dalam bahasa Melayu. Sila rujuk Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan Kamus Dewan Perdana untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan bahasa Melayu. | Ejaan | 21.02.2024 |
Bolehkah anda terangkan maksud maksud pantun-pantun berikut? Petang hari pergi ke pekan, Pulang membawa sebungkus laksa; Hidup muhibah perlu diamalkan, Di negara Malaysia berbilang bangsa. Cantik bergugus buah papaya, Masak dipetik satu per satu; Walaupun berlainan bangsa budaya, Kerana muhibah hidup bersatu. Air mengalir dalam terusan, Mengairi sawah beratus relung; Bekerjasama segala urusan, Tanda bersatu bergotong-royong. Tuan Puteri dari kayangan, Senyuman manis seperti madu; Bermacam keturunan bukan halangan, Untuk membina bangsa yang padu. Enak nian air kelapa, Penawar sakit mujarab sekali; Kebudayaan asal tidak dilupa, Kebudayaan nasional mereka banggai. | Untuk makluman saudara, kelima-lima rangkap pantun yang diajukan secara umumnya membawa persoalan tentang semangat muhibah yang perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia. Muhibah yang bermaksud hubungan mesra pelbagai kaum dapat diwujudkan dengan perbagai cara, antaranya melalui aktiviti bergotong-royong, bersukan dan menghadiri perayaan-perayaan kaum di Malaysia. Semangat setia kawan , persefahaman dan kerjasama akan terbentuk melalui aktiviti tersebut dan secara tidak langsung perpaduan kaum juga akan dapat dicapai. Disamping itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah saling hormati menghormati pelbagai budaya dari pelbagai kaum yang ada di negara ini disamping merasa bangga dengan kebudayaan nasional. Walau bagaimanapun memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini adalah penting untuk pembangunan negara. Sekian. | Lain-lain | 13.12.2010 |
Apa beza antara sesisir pisang, sesikat pisan dan setandan pisang? | Sesisir bermaksud setangkai atau segugus pisang (sebahagian drpd tandan) atau sesikat. Setandan bermaksud tangkai pd buah-buahan yg bergugus (pisang, kelapa, pinang, dll). | Tatabahasa | 01.09.2007 |