Betulkah ayat di bawah ini? "Demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Virus Denggi." | Ayat yang gramatis "Demam denggi ialah satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Virus Denggi". | Tatabahasa | 19.07.2012 |
Sektor Inspektorat dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam proses pindaan Akta Penyakit Berjangkit 1988. Pihak Jabatan Peguam Negara telah meminta penjelasan lanjut mengenai penggunaan kata nama bagi penyakit berjangkit sama ada "Kata Nama Khas" bagi penyakit perlu digunakan atau tidak. Mohon kerjasama dari pihak tuan/puan mengenai perkara ini. Bersama ini dilampirkan senarai penyakit untuk pengesahan tuan/puan. | Sila rujuk lampiran yang diberikan. Sila layari laman web prpm.dbp.gov.my untuk semakan terjemahan dalam bahasa Melayu | Makna | 21.11.2016 |
Assalamualaikum.Apakah perbezaan makna antara perkataan "mengelak" dengan "mengelakkan"? Ayat yang manakah betul: Ayat 1: Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi "mengelakkan" penyakit berjangkit terus menular? Ayat 2: Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi "mengelak" penyakit berjangkit terus menular? Mohon pencerahan. | Mengelak dan mengelakkan membawa maksud yang sama iaitu menjauhkan atau menghindarkan diri daripada kena bahaya (tanggungjawab dan lain-lain), menjauhkan atau menyingkirkan sesuatu supaya jangan mengenai diri dan lain-lain. Namun begitu, mengelak ialah kata kerja tak transitif, manakala mengelakkan pula ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek dalam ayat. Ayat yang betul ialah "Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan penyakit berjangkit terus menular." Perkataan yang menerima imbuhan meN-...-kan merupakan ayat kerja aktif transitif yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. | Tatabahasa | 18.02.2021 |
apakah maksud penyakit dan berjangkit menurut kamus dewan beserta halaman dalam kamus tersebut? | Sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layarihttp://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Lain-lain | 12.07.2010 |
Apa saranan terjemahan bagi perkataan 'passed' dalam konteks penyakit berjangkit/keturunan? Terima kasih. | Salam sejahtera, Puan, Sila beri contoh penggunaan dalam ayat untuk pihak DBP memberi padanan yang sesuai. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 23.12.2019 |
Apakah perbezaan antara Peraturan Tetap Operasi dan Prosedur Tetap Operasi | Peraturan ialah segala yang telah ditentukan (ditetapkan dan sebagainya) dan mesti diikuti atau dipatuhi dan peraturan yang berkuat kuasa contohnya, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. Manakala prosedur ialah aturan, tatacara, kaedah bekerja atau melakukan sesuatu yang perlu dipatuhi bagi mencapai tujuan tertentu. Prosedur juga termasuk sebahagian daripada peraturan contohnya, Prosedur Kerja Selamat Pencegahan COVID-19 di Tempat Kerja yang disediakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia merupakan sebahagian daripada Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. | Makna | 29.01.2021 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Antara dua ini, manakah penggunaan yang betul? Normal baharu-Patuh arahan PKPB atau Norma baharu-Patuh arahan PKBP. Terima Kasih. | Penggunaan perkataan yang betul ialah “Norma baharu-Patuh arahan PKBP” kerana “norma” bermaksud “peraturan baharu yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit”. Manakala normal pula membawa makna, tindakan atau tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit, dalam usaha mengadaptasi keadaan tertentu. | Makna | 12.05.2020 |
Perkataan baharu yang sering digunakan Di media sosial adalah "normal baharu" , yang mana Bahasa Inggerisnya adalah "new norms". Pada pengetahuan saya , norms= norma Soalan: 1. Adakah perkataan 'normal' tepat dan betul 2. Jika tidak tepat, apakah tindakan susulan pembetulan Yang DBP laksanakan supaya perkataan yang betul digunakan. | Padanan bahasa Melayu bagi new normal ialah kebiasaan baharu manakala new norm pula ialah norma baharu. Kebiasaan baharu (new normal) merupakan tindakan atau tingkah laku yang baharu atau, tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit, dalam usaha mengadaptasi keadaan baharu. Norma baharu (new norm) pula merupakan peraturan yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit. DBP menyebarluaskan penggunaan istilah yang betul melalui media sosial DBP seperti melalui laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, Instagram, Twitter dan aplikasi Whatapps. | Penyemakan dan penterjemahan | 15.06.2020 |
mohon analisis penggunaan perkataan 1. iaitu 2. di 3. pada 4. telah 5. kebanyakan / kebanyakannaya 6. berjangki / dijangkiti | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "iaitu" bermaksud kata yg digunakan untuk menentukan atau menjelaskan apa yang tersebut sebelumnya. "Di" ialah kata sendi nama yang menunjukkan tempat dan sebagainya. "Pada" ialah kata sendi nama yang bererti "di" tetapi digunakan untuk menunjukkan waktu atau kata nama abstrak dalam pembentukan frasa atau ayat. "Kebanyakan" bermaksud jumlahnya, banyaknya, manakala penggunaan "nya" sebagai penegas. "Berjangkit" bermaksud berpindah daripada seorang kepada seorang, menular, merebak, contoh penyakit. "Terjangkit" ialah dihinggapi penyakit dan sebagainya atau dijangkiti. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mendapatkan maklumat lanjut. | Tatabahasa | 09.11.2009 |
Assalamualaikum Mohon perhatian dan DBP,penggunaan Norma Baharu atau Normal Baharu yang lebih tepatnya dalam situasi sekarang.Kerana kalau di dalam Bahasa Inggerisnya di sebut NEW NORMAL bukannya NEW NORM. Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu bagi new normal ialah kebiasaan baharu manakala new norm pula ialah norma baharu. Kebiasaan baharu merupakan tindakan atau tingkah laku yang baharu atau tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangki, dalam usaha mengadaptasi keadaan baharu. Norma baharu pula merupakan peraturan yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit. Puan boleh rujuk laman FB Dewan Bahasa dan Pustaka untuk istilah semasa. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.06.2020 |